Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, October 11, 2010

Umno perkuda SPR cabul hak pengundi Dun Galas

Oleh Adnan Ibrahim

Setelah melalui tiga pilihan raya kecil pada hujung minggu tiba-tiba Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengubah kembali format hari mengundi dan penamaan calon kepada waktu bekerja dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas akan datang.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar mengumumkan tarikh pilihan raya kecil Dun Galas, di Gua Musang, Kelantan ditetapkan pada 4 November iaitu jatuh hari Khamis manakala penamaan calon ditetapkan pada Selasa, 26 Oktober.

Semua parti politik sama ada daripada BN bahkan terutama Pakatan Rakyat (PR) secara rasmi setuju dengan tatacara hari penamaan calon dan pengundian yang dibuat SPR pada Sabtu dan Ahad ditiga kerusi bermula pilihan raya kecil Dun Bagan Pinang, Parlimen Hulu Selangor dan Parlimen Sibu.

Sebaliknya kenapa hari penamaan calon yang diterima secara baik pada Sabtu itu diubah kepada hari Selasa manakala hari mengundi pada Khamis? Ini bukti jelas bahawa SPR membantu Umno untuk mengalahkan PAS.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dilaporkan pada 3 Oktober lalu, di Bachok, berkata, modul dan gerak kerja serta kempen politik di Manek Urai adalah yang terbaik pernah dicapai oleh BN sebelum ini berbanding pilihan raya kecil lain yang pernah diadakan di negeri ini.

Apa yang jelas modul dan gerak kerja BN itu telah dipaksakan keatas SPR bagi memastikan calon Umno menang dalam pilihan raya kecil Dun Galas nanti. Hari mengundi jatuh pada hari bekerja menyukarkan pengundi Dun Galas yang tinggal diluar Dun tersebut untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Sebelum ini, SPR menerima desakan daripada orang ramai dan PR, lalu mengubah hari membuang undi dalam pilihan raya kecil bermula pilihan raya kecil Dun Bagan Pinang. Hari mengundi yang jatuh pada Ahad 11 Oktober itu ternyata memberi keputusan baik kepada kemenangan Umno mengalahkan PAS.

Begitu juga dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, PKR meletakkan calon bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim juga kecundang di hari pengundian pada Ahad, 25 April.

Cuma satu kerusi dimenangi PR bila hari mengundi jatuh pada hari Ahad iaitu DAP menang dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu pada Ahad, 16 Mei. Walaupun keputusan itu tidak menyebelahi PR tetapi mereka tidak menyalahkan hari hujung minggu sebagai punca kekalahan malah menyifatkan Ahad atau Sabtu adalah hari paling sesuai dijadikan hari mengundi disamping memenuhi selera pengundi.

Mengulas hari mengundi dan penamaan calon pada Ahad dan Sabtu bermula pilihan raya kecil Dun Bagan Pinang, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, hari penamaan calon ditetapkan pada Sabtu dan pengundian pada Ahad adalah berdasarkan maklum balas yang diterima berikutan peratusan undi yang menurun pada pilihan raya kecil sebelum ini di Dun Permatang Pasir.

“Banyak di tempat lain sebelum ini kita pilih hari bekerja (hari penamaan calon dan pengundian), kita dapati jumlah pengundi yang datang ramai, contohnya di Manek Urai sebanyak 88 peratus.

Kecuali di Permatang Pasir, kita tidak tahu kenapa pengundi yang turun hanya 73 peratus sahaja. Jadi berdasarkan maklum balas itu, kita tukar kepada Sabtu dan Ahad,” katanya.

Penamaan calon pilihan raya kecil Dun Permatang Pasir pada Isnin 17 Ogos manakala pengundian pada hari Selasa, 25 Ogos. SPR menggunakan alasan peratus mengundi kurang untuk menukar hari mengundi kepada hari cuti iaitu Ahad.

Langkah SPR itu disambut baik kerana hari mengundi pada Ahad atau Sabtu juga memenuhi hak asasi rakyat Malaysia sebagai pengundi yang sah. Demokrasi bermaksud kerajaan milik rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat. Maka kuasa pemerintah perlu mengambilkira kehendak sebenar rakyat seperti yang di manifestasikan oleh proses pilihan raya yang dijalankan dari masa ke semasa secara adil dan jujur disamping hak keselesaaan serta kemudahan rakyat membuang undi.

Jika keadaan tersebut tidak dapat ditunaikan maka amat ketara SPR mencabuli hak asasi pengundi Dun Galas dan rakyat Malaysia yang berhasrat mengikuti pemilihan calon secara adil, bersih dan telus. SPR tanpa disedari diperkuda oleh Umno kerana menjadi badan yang menyusahkan para pengundi.

Dun Galas wujud selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 1985 iaitu menjelang pilihan raya umum 1986 dalam Parlimen Gua Musang. Sebanyak tiga Dun dalam parlimen tersebut iaitu Dun Galas, Nenggiri dan Paloh.

Sebelum 1985 kawasan Galas termasuk dalam Dun Gua Musang manakala Parlimen Gua Musang sekarang dikenali pada waktu itu Parlimen Ulu Kelantan. Sebelum 2003 Dun Nenggiri dipanggil Dun Dabong.

Kerusi Galas dikira pemilikan Umno kerana PAS tidak pernah menang kecuali dapat menawan Dun tersebut dalam pilihan raya umum Mac 2008 lalu. Bagaimanapun pembangkang pernah menguasai Dun tersebut melalui Parti Semangat 46, iaitu Haji Omar Mohammad pada pilihan raya umum 1990 dan 1995.

Pemimpin Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang memenangi Parlimen Ulu Kelantan sejak 1974 terus menguasai kekuasaan beliau di Parlimen Gua Musang walaupun keluar daripada Umno dan menubuh serta menjadi Presiden Semangat 46. Beliau dikatakan sinonim dengan Gua Musang kerana tetap unggul di parlimen itu walaupun kembali kepada Umno pada pilihan raya umum 1999.

Bagaimanapun Dun Galas yang ditawan PAS itu bukan kerusi mudah boleh dirampas kembali oleh Umno memandangkan posisi kaum amat berbeza dengan Dun Manek Urai. Pada pilihan raya kecil Dun Manek Urai, ramai pengundi Melayu baru yang dibawa masuk beralih angin mengundi Umno sehingga meninggalkan majoriti 65 daripada 1,352 ketika PAS menang dalam pilihan raya umum Mac 2008.

Pengundi Melayu di Manek Urai adalah majoriti sehingga 99.3 peratus. Cina hanya 0.4 peratus, India (0.2 peratus) dan lain-lain (0.1 peratus). Pengundi Melayu dikira mudah bagi Umno untuk manipulasi dan membeli undi dengan tawaran wang ringgit yang tinggi sehingga dilaporkan seorang pengundi biasa memperolehi RM1,000.

Suasana politik Umno yang sering menimbulkan ketegangan dengan orang bukan Melayu disamping campurtangan Perkasa sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) orang Melayu, dalam politik Umno bermakna Umno sukar mendapat undi bukan Melayu.

Di Dun Galas sebanyak 24.6 peratus orang Cina, lain-lain bangsa (11.2 peratus), India (1.9 peratus) manakala Melayu (62.3 peratus). PAS dipercayai mendapat sokongan penuh bukan Melayu dalam pilihan raya kecil akan datang berikutan kesedaran tinggi bukan Melayu terutama orang Cina dalam politik.

Kalau dalam pilihan raya umum Mac 2008 perubahan masyarakat Cina berlaku di sebelah utara menjalar ke tengah Pantai Barat Semenanjung. Namun kali ini kesedaran politik orang Cina sudah meliputi seluruh Malaysia apabila DAP menang mudah dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu.

Oleh kerana itu modul atau gerak kerja Awang Adek langsung tidak berguna di Dun Galas tetapi modul yang tersembunyi di Manek Urai boleh memenangkan Umno kerana BN mungkin berjaya membawa masuk ramai pengundi sehingga melebihi peratus undi di Manek Urai.

Peratus keluar mengundi tinggi akan mengkambus undi bukan Melayu dan majoriti yang diperolehi PAS pada pilihan raya umum Mac 2008. Sebab itu Umno arah SPR jalankan pengundian pada hari Khamis iaitu hari bekerja. Maka senang bagi Umno untuk buat kerja kotor dalam pilihan raya kecil ini dalam masa PAS terkapai-kapai meminta pengundi pulang mengundi.

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP