Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, August 17, 2011

Umno perlu menghayati kemerdekaan

PEMIMPIN Umno perlu menghayati kembali kenapa merdeka dilaungkan sebanyak tujuh kali?

“Kenapa tidak tiga kali atau 10 kali? Kenapa tujuh? Sebab tujuh kerana angka suci bagi orang Islam. Bumi dikaitkan tujuh lapis begitu juga langit.

“Ia seolah angka keramat yang sinonim dengan Islam maka kalangan pemimpin masa itu setuju melaungkan merdeka sebanyak tujuh kali,” kata Raja Mohd Yusof Raja Othman.

Menurut beliau, angka tersebut juga seumpama resam atau budaya orang Islam, maka daripada situ pemimpin negara perlu ada penghayatan terhadap Islam mengingati pembalasan syurga dan neraka yang juga dikaitkan dengan tujuh angka.

Beliau menyifatkan kemerdekaan yang diberikan penjajah bukan secara total kerana banyak perkara yang merugikan bangsa Melayu malah kemerdekaan itu diberi dengan bersyarat.

“Sepatutnya bila sebut merdeka tidak ada syarat,” ujarnya yang mendakwa cicit kepada Engku Raja Husain Raja Laut yang membuka Semenyih pada 1865 dan beberapa tahun kemudian membuka Beranang.

Raja Husain mendapat gelaran Diraja sebagai `Tengku Kecil Muda Semenyih’ yang diberikan oleh Yamtuan Antah tetapi tidak dapat di sahkan kerana tidak ada bukti secara bertulis namun dilihat dari segi adat diraja adalah munasabah dan logik.

Ini adalah kerana beliau dari keturunan Raja, tentulah tidak sesuai dari segi adat diberi kedudukan Penghulu sebagai Pemerintah. Alasan ini dapat dibuktikan bahawa Raja Husain mempunyai kuasa memungut cukai dan diberi alat kelengkapan pertahanan sebagai Pemerintah dengan berasaskan kepada fakta iaitu beliau mempunyai tiga jenis cop mohor, lima pucuk meriam katak, selaras senapang pemburas peribadi, sebilah pedang kuasa dan puluhan bilah tombak serta perisai.

Raja Yusof mendakwa beliau adalah pewaris daripada Raja Husain itu.

Sementara penceramah bebas, Yazid Jaafar mendakwa Umno bukan pertubuhan yang membangkitkan kesedaran kemerdekaan orang Melayu untuk menentang penjajah kerana penubuhan direstui penjajah untuk mengimbangi gerakan kesedaran atau reformasi.

Menurut beliau semangat perjuangan berteraskan Islam untuk menentang penjajah secara tidak langsung membebaskan tanah air telah wujud sejak 1906 lagi.

Mereka yang awal mencetuskan kesedaran dan membangkitkan semangat orang Melayu terdiri daripada Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin dan Haji Abbas Mohd Taha.

Mereka ini merupakan golongan pembaharuan yang mendapat pendidikan di Timur Tengah. Gerakan mereka ini berpusat di Singapura, Melaka dan Pulau Pinang.

Golongan pembaharuan ini bukan sahaja berjaya menyedarkan masyarakat Melayu tentang betapa pentingnya menghapuskan penjajah barat bagi mewujudkan sebuah negara Islam, malah turut menyuarakan pendapat bahawa kelemahan umat Islam sebenarnya adalah berpunca daripada masyarakat Islam yang tidak mahu mengikut ajaran Islam dengan betul sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah.

Dalam usaha mereka menyedarkan masyarakat tentang betapa pentingnya kembali semula kepada Islam, pada tahun 1906 mereka telah berjaya menerbitkan sebuah majalah di Singapura yang diberi nama al-lmam.

Selanjutnya pada tahun 1925 terbit pula akhbar Edaran Zaman di Pulau Pinang, majalah al-Ikhwan pada tahun 1926 dan Suara pada tahun 1928.

Dengan terbitnya akhbar dan majalah tersebut, golongan ini telah berjaya mencetuskan revolusi intelektual di kalangan masyarakat Melayu dan akhirnya bibit kesedaran yang ditanamkan itu telah mendorong masyarakat Melayu untuk menubuhkan beberapa pertubuhan bagi memajukan bangsa Melayu dan umat Islam pada tahun berikutnya.

Persatuan Melayu pertama bercorak politik secara nyata ditubuhkan di negara ini ialah Kesatuan Melayu Muda (KMM) pimpinan lbrahim Haji Yaakob. la ditubuhkan pada Mei 1937.

Kesatuan ini ditubuhkan atas kesedaran mahu memperjuangkan kemerdekaan negara serta membebaskan Tanah Melayu daripada terus ditindas dan dijajah oleh penjajah British.

Malangnya, kesatuan ini tidak dapat bertahan lama kerana ia telah diharamkan oleh Jepun semasa Jepun menguasai Tanah Melayu pada tahun 1941 - 1945.

Selepas tamatnya perang dunia kedua, sebuah parti politik baru Melayu dibentuk, iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). la ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di Ipoh, Perak.

Pemimpin awalnya ialah Mokhtaruddin Lasso, yang kemudiannya berpindah tangan kepada Dr. Burhanuddin al-Helmi - iaitu seorang tokoh agama yang mampu menguasai bahasa Arab dan lnggeris disamping bahasa Melayu.

PKMM telah mengisytiharkan matlamatnya untuk mencapai kemerdekaan negara secara penuh.

Dr. Burhanuddin banyak berkorban untuk PKMM dan beliau mendapat kepercayaan golongan agama untuk menyertai gerakan politik bagi menentang penjajah.

PKMM telah berjaya memperluaskan pengaruhnya dalam masyarakat Melayu sehingga ia berjaya menubuhkan pula beberapa sayap atau bahagian dalam struktur organisasinya.

Selain Angkatan Pemuda Insaf (Api), Angkatan Wanita Sedar (Awas) dan Barisan Tani Se-Malaya (Batas), Majlis Agama Tertingga Se-Malaya (Mata) juga merupakan antara sayap atau bahagian dalam struktur organisasi PKMM.

Mata merupakan bahagian agama parti berkenaan. Melalui Mata dalam satu mesyuarat agung tahunannya telah berjaya melahirkan Hizbul Muslimin pada 14 Mac 1948. Tujuan PKMM melahirkan Hizbul Muslimin sebagai sayapnya adalah bagi mengumpulkan tenaga para ulama.

Sebagai sebuah parti Islam pertama di negara ini, Hizbul Muslimin yang dipimpin oleh Ustaz Abu Bakar al-Baqir mempunyai matlamat untuk mencapai kemerdekaan negara yang berdaulat bagi membentuk sebuah masyarakat yang berasaskan kepada kefahaman Islam serta mewujudkan sebuah negara Islam atau Darul Islam.

Dalam pendiriannya, ia menyokong PKMM tetapi sekeras-kerasnya menolak perjuangan Umno.

Bagaimanapun, riwayat hidup Hizbul Muslimin berakhir pada Ogos 1948 apabila British bertindak mengharamkannya disamping menahan seramai tujuh orang pucuk pimpinannya, termasuklah Abu Bakar sendiri di bawah Undang-undang Darurat atau Emergency Regulations.

Sungguhpun aktiviti Hizbul Muslimin terhenti, namun keghairahan sokongan rakyat khususnya dari alim ulama terhadap perjuangan politiknya amatlah memberangsangkan.

Menurut Yazid semangat dan sokongan kental inilah yang akhirnya merintis jalan mudah ke arah penubuhan Pas pada tahun 1951.

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP