Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, August 3, 2011

Sumbangan kepada mangsa kebuluran

BERMULA Ramadan umat Islam seluruh dunia melahirkan penyatuan mereka untuk menjiwai kelaparan sebagaimana yang dideritai oleh umat manusia di negara miskin.

Pemimpin negara yang melimpah ruah dengan makanan patut menjadikan Ramadan sebagai keinsafan untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang dilanda kebuluran.

Dianggarkan 12 juta orang yang berdepan dengan masalah tersebut ekoran kemarau paling buruk di Somalia dalam tempoh 60 tahun.

Penyelaras kemanusiaan PBB untuk Somalia, Mark Bowden yang mengisytiharkan di selatan Bakool dan Hulu Shabelle dilanda kebuluran berkata, pihaknya menganggarkan 3.7 juta penduduk, atau hampir separuh populasi negara yang musnah akibat peperangan itu berdepan dengan krisis makanan.

“Jika kita tidak bertindak sekarang, kebuluran akan merebak ke wilayah selatan Somalia dalam masa dua bulan akibat hasil tuaian tanaman yang buruk dan merebaknya penyakit berjangkit,” katanya.

Somalia yang berdepan dengan konflik sejak 20 tahun lalu adalah negara paling teruk terjejas.

“Sebahagian daripada Kenya, Uganda, Habsyah dan Djibouti juga berdepan dengan masalah itu,” kata Bowden.

Sementara itu, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (presiden.pas.org.my) berkata bagi pihak Pas mengucapkan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak kepada seluruh umat Islam.

“Bulan kita dijemput menjadi tetamu dan menyahut seruan Allah swt. Inilah ibadat yang merupakan hadiah yang sangat berharga daripada Allah swt yang wajib kita terimanya,” ujarnya.

Ramadan petunjuk betul dan salah

Menurut beliau bulan Ramadan yang diturunkan al-Quran menjadi petunjuk kepada manusia dan yang membezakan antara perkara yang betul dan salah.

Oleh kerana itu, kata beliau maka, Allah ta’ala memilih berlakunya perang Badar di bulan Ramadan.

Peperangan yang memaksakan Nabi saw dan para sahabatnya dalam jumlah kecil dan kurang kelengkapan, berdepan dengan musuh Islam, yang menegakkan kebatilan, kezaliman dan kejahatan.

“Walau pun mereka tahu benarnya Islam. Baiknya diri Nabi saw, tidak ada kesalahan dan dosa yang dilakukan. Melainkan kerana melaksanakan perkara yang baik yang diperintah oleh Allah swt.

Perkara yang jahat, itu pun disanggah dan ditentang habis-habisan. Memaksa berlakunya pertembungan secara bersenjata di bulan Ramadan. Yang menentang itu di kalangan bangsa Arab, keluarga Nabi saw.

Peristiwa yang sangat menguji perasaan hati nurani umat Islam yang dipimpin oleh Nabi saw. Allah ta’ala pilih peristiwa yang menyayat hati berlaku di bulan Ramadan. Mereka yang sanggup meletakkan Islam perintah Allah mengatasi segala kepentingan yang lain.

Tidak ketinggalan dalam membicarakan tentang puasa iaitu blog Sebuah Kehidupan (zharifalimin.blogspot.com) turut merungkaikan cara berpuasa Rasulullah.

Selain menyeru melewatkan sahur kerana sabda Rasulullah saw: “Perbezaan antara puasa kami dengan puasa ahlu al-Kitab adalah makan sahur.” (Hadis riwayat Muslim)

Dan menyegerakan berbuka yang terdapat hikmah antaranya agama itu akan sentiasa zahir (jelas) selagi mana umatnya menyegerakan berbuka puasa, ini kerana orang Yahudi dan Kristian, mereka melewat-lewatkannya.

Tidur qailulah

Beliau juga menyentuh tentang tidur qailulah iaitu tidur sekejap sebelum zohor. Dari Ibnu Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w telah bersabda; Carilah kekuatan melalui sahur untuk puasa keesokan hari dan melalui Qailulah (tidur sekejap sebelum Zohor) untuk mendirikan ibadah malam.

Katanya ia bukan tidur sepanjang hari yang menyalahi sunnah. Berpuasa bukanlah bulan tidur kerana keletihan. Puasa adalah bulan untuk melakukan seberapa banyak amalan sunnah kerana padanya pahala dilipatgandakan.

Menurut beliau faktor orang berpuasa tidak dapat pahala tetapi hanya dapat lapar dan dahaga kerana tidak menjaga lidah antaranya mengumpat, mencaci, mengeluarkan kata kesat dan lucah, mengadu domba, banyak bercakap, berbohong dan menyanyi lagu yang lagha.

Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda: “Sesiapa yang tidak menghentikan percakapan dusta dan terus melakukannya, Maka Allah swt tidak mempunyai hajat pada orang tersebut untuk dia meninggalkan makan minumnya.

Doa orang puasa

Beliau juga berkata tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka iaitu: Pemimpin yang adil, Orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, dan doa mereka yang dizalimi...

Mesti Milik – Inspirasi Kehidupan (mestimilik.blogspot.com) turut menganjurkan umat Islam beriktikaf di masjid sempena bulan amal ini.

Iktikaf, yakni diam di masjid untuk melakukan ketaatan kepada Allah dan secara total beribadah di dalamnya. Ia tidak sah, kecuali dilakukan dalam masjid yang diselenggarakan shalat lima waktu.

Selain itu kata beliau umat Islam wajib memenuhi seruan Allah dengan beriman kepada-Nya dan tunduk mentaati-Nya. Dan yang demikian itu adalah syarat dikabulkannya doa.

Wajib konsisten dengan mentaati perintah Allah dan larangan-Nya. Allah Ta'ala berfirman: “ltulah larangan Allah maka kamu jangan mendekatinya.”

Mana janji SPR

Baru-baru ini satu wacana yang dikira hangat melibatkan orang kuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dianjurkan oleh Sinar di Shah Alam.

Ramai yang melahirkan kekecewaan dengan program tersebut termasuk blog Bila Kentong Berbunyi (kentong-suhaizan.blogspot.com).

Katanya: “Sudah dua kali hak saya sebagai warganegara Malaysia dihalang untuk bebas bergerak dan bersuara.

“Pertama pada 9 Julai 2011 saya dihalang untuk berada di beberapa lokasi di Kuala Lumpur dan semalam (26 Julai) saya pula dihalang untuk mengajukan soalan kepada Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar kononnya atas arahan orang atasan.

Bagaimana pun saya mengucapkan tahniah kepada Sinar yang telah menganjurkan “Dialog Apa selepas 9 Julai?” dengan mempertemukan Bersih 2.0 dan SPR. Bersih 2.0 telah dianggap sebuah pertubuhan haram oleh Menteri Dalam Negeri.

“Sebenarnya saya mahu mengajukan beberapa soalan kepada Datuk Wan Ahmad iaitu berkaitan dengan Double Voting, Daftar Pemilih, Pengundi Pos dan Advance Voting. Pada 7 Oktober 2009 telah diadakan pertemuan antara SPR dan pemimpin Pas yang dianggotai oleh Datuk Mustafa Ali, Datuk Abdul Halim Abd Rahman, Mohzit Mohid dan saya sendiri.

Pemuda Pas telah mengemukakan senarai 253 pengundi pos yang bertindan. Mereka mempunyai nama sebagai pengundi pos di Bagan Pinang tetapi mempunyai nama yang sama di tempat lain. Pertindanan ini telah berlaku dalam pilihan raya umum 2008.

Dalam perbincangan itu SPR telah berjanji untuk menghapuskan pertindanan itu. Malangnya pertindanan tersebut masih lagi berlaku pada tahun 2011. Pertindanan ini bertentangan dengan perkara 119 Perlembagaan Malaysia.

Dalam kenyataan Datuk Wan Ahmad kepada The Star pada 24 Julai 2011, bahawa beliau bersetuju bahawa terdapat kad pengenalan klon dalam daftar pemilih SPR yang sah.

Secara tidak lansung juga SPR telah mendaftarkan pengundi yang tidak sah. Itulah yang dinamakan pengundi hantu. Persoalannya mengapa SPR menafikan pengundi hantu? “Walaupun saya tidak dapat mengajukan soalan tetapi soalan ini dapat disampaikan oleh Mohzit Mohid.

“Malangnya Wan Ahmad menjawab bahawa soalan itu hanya sesuai untuk taraf seorang kerani sahaja bukan ahli suruhanjaya diraja sepertinya.

“Sebab itu jawapannya telah di “boo” oleh penonton. Persoalannya apakah dasar yang dipakai oleh SPR jika masih terdapat pertindaan pengundi walaupun telah ditegur pada tahun 2009?

Jijiknya perangai Umno

Kedah La (kedahla.blogspot.com) berkata seorang pemimpin Umno Pulau Pinang yang sebelum ini sering buat kecoh dengan publisiti murahan, kini buat satu lagi gimik politik iaitu hadiahkan coli dan seluar dalam pada Ketua Menteri, Lim Guam Eng.

Apa yang nak digambarkan di sini ialah begitulah kotornya mentaliti Umno menjadikan apa yang berkaitan dengan wanita sebagai objek untuk dipersenda guraukan.

Malunya jadi ahli Umno melihat perangai pemimpin mereka. Kepada masyarakat non Muslim pula, perbuatan tersebut betul menjatuhkan maruah umat Islam.

“Kalau macam tu perangai orang yang mengaku Islam, apa lagi yang bukan Islam mahu contohi dari Islam. Akibat hilang negeri Umno dah jadi sasau. Kalau hilang pula Pusat tak dapatlah nak digambarkan bagaimana pula gelagat mereka.

“Cukuplah, kalau kita umat Islam mahu selamatkan maruah Islam dari terus dilihat jijik oleh pihak yang belum Islam, marilah umat Islam semua bersatu menjatuhkan Umno sehingga tercabut akar umbinya sekali,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP