Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, October 9, 2010

Umno pening, pilihan raya kecil berpanjangan

Sejak BN kalah berterusan dalam pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum Mac 2008, Umno pernah putus asa dan tidak bertanding semasa pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti di Pulau Pinang.

Bagaimanapun semangat Umno pulih sedikit bila menang di Dun Bagan Pinang pada Oktober 2009 dan Hulu Selangor, April 2010 tetapi lemah balik selepas pilihan raya kecil Parlimen Sibu di Sarawak apabila BN kalah dengan DAP.

Kali ini pilihan raya kecil berlaku di Dun Galas, Gua Musang Kelantan. Dalam Umno terkial-kial dalam kelemasan terpaksa menggunakan khidmat Tengku Razaleigh Hamzah untuk pulihkan Umno, BN terkejut lagi kerana kematian Ahli Parlimen Batu Sapi pagi tadi.

Ahli Parlimen itu meninggal kerana kemalangan jalan raya. Barangkali, apakah selepas ini Umno akan pinda undang-undang mahu pastikan ahli Parlimen atau Dun jangan naik motorsikal kerana mahu jaga nyawa mereka? Kalau Umno kemungkinan boleh berlaku.

Berita berkaitan

MP BN Batu Sapi maut nahas jalan raya

KOTA KINABALU, 9 Okt — Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Ir Edmund Chong dari PBS-BN meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu hari ini.

Mendiang berusia 54 tahun yang memenangi kerusi itu tanpa cabaran pada 2004 mengekalkannya dua tahun lalu.

Chong (gambar) dipercayai menunggang motosikal Kawasaki 750 di Jalan Coastal, Tanjung Aru membabitkan kereta Mercedez kira-kira 11.40 pagi tadi.

Wakil rakyat ini meninggal dunia dua hari sebelum Parlimen dijadual bersidang.

Kematian ini turut membuka laluan kepada pilihan raya kecil ke-13 ketika negara bersiap sedia untuk menyaksikan pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Galas di Kelantan.

Pada 8 Mac 2008, Chong memperoleh 9,479 undi berbanding calon Bebas Chung Kwong Wing yang mendapat 5,771 undi.

Chong lahir di Sandakan dan merupakan jurutera mekanikal sebelum dipilih sebagai wakil rakyat enam tahun lalu.

Mendiang yang beristerikan Linda Tsen Thau Lin mempunyai empat anak dan beliau juga bendahari agung PBS dan ketua bahagian Elopura.

Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menyifatkan pemergian Edmund sebagai kehilangan besar untuk rakyat dan negeri Sabah.

“Beliau adalah seorang pemimpin yang dedikasi dan komited terhadap tanggugjawabnya sebagai Ahli Parlimen Batu Sapi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Queen Elizabeth, dekat sini.

Musa yang juga Pengerusi Barisan Nasional negeri berkata beliau dan keluarga mengucapkan takziah kepada keluarga Edmund dan juga PBS atas pemergian itu.

Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang turut berada di situ, berkata “kehilangannya adalah amat menyedihkan bagi negeri dan negara terutama PBS. Beliau juga kawan rapat saya.”

“Ia adalah peristiwa yang tidak pernah terlintas di fikiran saya akan berlaku, saya sentiasa berdoa sepanjang masa, agar perkara seperti ini tidak berlaku.

“Datuk Edmund Chong sebagai seorang Ahli Parlimen dan bendahari agung parti, sentiasa meberi perhatian terhadap mengenai masa depan negara dan negeri... (jika masih hidup), beliau sudah pasti akan memberikan khidmat yang baik kepada negara,” katanya.

Katanya kali terakhir mereka berjumpa adalah semasa hari terbuka Program Transformasi Ekonomi (ETP) di sini, Khamis lalu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Ahmad Sofi Zakaria berkata siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan dan mayatnya telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk dibedah siasat.

“Kita masih menyiasat. Siasatan awal mendapati ada berlaku pertembungan sebab bahagian kanan kenderaan Mercedez kemek, dipercayai bertembung. Tapi siapa langgar siapa, kita masih siasat,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Ahmad Sofi menambah pemandu kenderaan Mercedez itu bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan.

Chong dilahirkan pada 9 April 1956 di sini dan beliau berkahwin dengan Linda dan dikurniakan empat orang anak terdiri daripada tiga perempuan dan seorang lelaki.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Mekanikal dari Polytechnic of South Bank United Kingdom pada 1983.

Mendiang pernah bekerja di beberapa syarikat kejuruteraan di Sabah antaranya sebagai jurutera projek di Jasmeg Agronomics Sdn Bhd (1983-1984), jurutera mekanikal di Sistem Konsult Sdn Bhd (1984-1987) dan dilantik menjadi Pengarah Ranhill Bersekutu (Sabah) Sdn Bhd (1987-1991).

Chong juga pernah memegang jawatan Naib Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dari 1994 hingga 1996 dan sebelum dilantik ke jawatan itu, beliau merupakan ahli majlis MPS sejak 1991.

Beliau yang merupakan Ketua PBS Elopura menjadi wakil rakyat berikutan pengwujudan Parlimen baru Batu Sapi dan memenanginya pada pilihan raya 2004, tanpa bertanding.

Pada pilihan raya 2008, beliau mengekalkan kerusi Parlimen kawasan itu selepas menewaskan calon Bebas Chung Kwong Wing.

Parlimen Batu Sapi meliputi dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sekong dan Karamunting.

Di peringkat pucuk pimpinan parti PBS, Edmund merupakan Bendahari Agung sejak 1996.

Pada Jun 2009, beliau dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan dalam aktiviti sukarela, Edmund menjadi penasihat kepada Persatuan Teksi Sandakan dan Persatuan Bekas Polis Sandakan.

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP