Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, October 21, 2010

Jangan sambil lewa tangani sifat agresif pembangkang daftar pengundi

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Angka dan sifat agresif pembangkang dalam mendaftar pengundi baru perlu dilihat sebagai satu amaran dan tidak lagi boleh menganggap ia “satu keadaan biasa” pada Umno.

Wakil Terengganu Saiful Bahri Baharuddin berkata sekiranya anggota Umno masih sayang kepada agama, bangsa, parti dan impikan masa depan lebih baik, mereka perlu berbuat sesuatu agar angka-angka yang “tidak selesa” itu tidak menghantui pengikut parti.

“Survival Umno bergantung kepada angka. Saya berasa sangat khuatir kerana di kalangan orang Umno ramai yang masih menganggap ‘satu keadaan biasa’, sedangkan angka-angka semasa sepatutnya menggerakkan kita dalam mood peperangan.

“Kita tidak mahu orang lain mengambil alih tempat kita di Putrajaya hanya kerana kita lalai dalam memberi perhatian terhadap angka,” katanya ketika membahaskan Usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Beliau berkata terdapat 11.2 juta pengundi berdaftar di Malaysia tidak termasuk 4.3 juta yang layak mengundi tetapi masih belum berdaftar. Daripada jumlah itu 1.9 juta adalah orang Melayu yang layak mengundi tetapi masih belum berdaftar.

“Umno perlu mengambil kira angka tersebut kerana sekiranya mereka berdaftar apakah mereka akan mengundi Barisan Nasional (BN) dan apakah tindakan untuk memastikan mereka memilih parti yang memerintah, yakni BN,” katanya.

Beliau berkata fakta itu berkait dengan statistik pendaftaran pengundi baru di mana setakat Jun lepas Umno dan BN terlalu jauh ketinggalan dalam pendaftaran pengundi baru berbanding pembangkang.

Statistik menunjukkan dari Januari hingga Jun tahun ini DAP berjaya mendaftar 55,321 pengundi baru diikuti Umno (54,000); PAS (38,000), Parti Keadilan Rakyat (PKR) (13,000) manakala MCA dan MIC masing-masing 3,000 dan 1,000.

“Kita nak buat macam mana kalau parti komponen juga langsung tidak berusaha? Jadi, Umno harus memimpin. Justeru saya ingin menyeru semua pimpinan cawangan dan bahagian memberikan sokongan kepada Wanita, Pemuda dan Puteri supaya kita dapat mendaftar lebih ramai pengundi baru sebelum pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Perwakilan Wilayah Persekutuan Datuk Mustafa Kamal Mohd Yusoff ketika mengambil bahagian dalam perbahasan mendakwa wujud anggota DAP dan PKR dalam parti komponen BN yang bertujuan untuk memecah-belahkan parti.

Merujuk peristiwa yang berlaku semasa pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, Mustafa Kamal, yang juga Ketua Umno Bahagian Seputeh, meminta pucuk pimpinan parti dan BN menyiasat perkara itu.

Anggota perwakilan Selangor Datuk Ir Mohd Bashro Mat Johor, yang juga Ketua Umno Bahagian Subang, berkata pencalonan wakil rakyat haruslah tidak terbatas kepada hirarki Umno bahagian sahaja tetapi turut memberi peluang kepada anggota
dipercayai dan diyakini rakyat.

“Kalau Ketua Bahagian tidak layak, kita naikkan Naib Ketua Bahagian dan kalau tidak layak juga, beri kepada sesiapa yang layak supaya kita boleh menang,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP