Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, March 12, 2010

Umno perintah macam tadbir sebuah kesatuan

Apakah kecerdikan orang Melayu makin berkurangan sejak Umno memerintah? Tanpa kita sedar Umno perintah kearah Malayan Union yang satu ketika ditentang orang Melayu semasa usaha itu dibawa oleh penjajah British.

Dakwaan Ku Li mungkin ada kebenarannya apabila seringkali berlaku ketidakadilan kerajaan pusat kepada kerajaan negeri. Berikut laporan Malaysian Insider:

Ku Li: Malaysia berubah ke arah ‘Malayan Union’
Oleh Debra Chong

KUALA LUMPUR, 11 Mac — Tengku Razaleigh Hamzah, yang kini menjadi tumpuan isu royalti minyak, menyamakan Malaysia yang ditadbir Barisan Nasional (BN) sekarang mirip Malayan Union — sistem pentadbiran yang digerakkan British tetapi mendapat tentangan hebat lebih enam dekad yang lalu.

Sehubungan itu, kata putera Kelantan ini, kajian semula tata urusan antara kerajaan persekutuan dan negeri amat diperlukan untuk mengembalikan “hak berperlembagaan” negeri yang dilucutkan sejak kebelakangan ini.

“Putrajaya bertindak seperti kita sebuah negara kesatuan dan bukannya persekutuan,” kata Ahli Parlimen Gua Musang ini, wakil rakyat paling lama berkhidmat, pada forum umum mengetengahkan hubungan antara persekutuan dan negeri anjuran Majlis Peguam di sini hari ini.

“Secara ironis, dari segi amalan kita menjadi Malayan Union yang mana generasi terdahulu membantah dan menewaskannya,” kata Tengku Razaleigh sambil menambah, kerajaan persekutuan merampas kuasa-kuasa negeri dan mengawal ketat sumber-sumber negeri, malah haknya untuk menentukan bagaimana agama boleh diamalkan.

“Ini tidak berperlembagaan dan mesti ditahan dengan segera sebagaimana Malayan Union ditentang dengan penuh bertenaga.

“Dalam jangka panjang Malaysia tidak boleh berdaya maju sebagai sebuah negara kesatuan,” kata Ketua Umno Bahagian Gua Musang ini kepada hadirin dalam lingkungan 50 hingga 70 orang termasuk duta-duta, antara dari Kanada dan Belgium.

Beliau menekankan bahawa kesimbangan kuasa antara persekutuan dan negeri adalah mengecewakan dan kini memihak kepada kerajaan pusat, serta “tertumpu dalam tangan perdana menteri”.

Sehubungan itu kata beliau, kajian untuk mengembalikan keseimbangan sangat diperlukan.

Tambah Tengku Razaleigh, perkara itu boleh dilakukan sama ada menerusi undi di dewan undangan negeri ataupun menerusi Majlis Raja-raja Melayu.

Beliau yang bertanggungjawab dalam soal menubuhkan Petronas mengkritik kerajaan persekutuan pimpinan BN yang terus menafikan hak bagi Kelantan untuk mendapatkan bayaran “royalti” minyak.

Selain penafian itu dihebohkan menerusi akhbar-akhbar, kata beliau, ia diulangi oleh pegawai-pegawai kerajaan yang sewajarnya dilihat dengan serius.

Ini kerana menurut beliau, “kuasa kerajaan persekutuan terhadap sumber-sumber ini, sebagaimana dalam semua perkara lain, adalah satu kuasa yang diturunkan daripada kedaulatan asal setiap negeri.”

Tengok berita sebelum itu:

Peguam Umno: Kelantan tak layak royalti minyak sebab Ordinan Darurat

KUALA LUMPUR, 11 Mac — Kelantan tidak layak dalam tuntutan royalti minyak di luar perairan negeri itu kerana Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1969 masih berkuatkuasa, kata seorang pengamal undang-undang.

Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata peruntukan No. 7 Ordinan itu menetapkan sempadan negeri iaitu bumi negeri berkenaan serta perairan wilayah negeri itu sejauh tiga batu nautika yang diukur dari paras air surut.

Namun dua telaga minyak dipertikai Kelantan terletak di luar “kawasan” itu.

“Setahu saya Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1969 itu masih kekal dan belum dimansuhkan kerajaan. Malah ada Ordinan yang digubal pada ketika itu, seperti ESCAR (Peraturan-Peraturan Perlu (Kes-Kes Keselamatan) 1975), masih digunakan,” katanya dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Ketua Menteri Sarawak Tun Abdul Rahman Yakub yang menyokong pendirian Kerajaan Pusat bahawa Kerajaan Negeri tidak berhak menuntut royalti minyak kecuali ia dapat membuktikan perairan wilayah negeri itu melebihi tiga batu nautika.

Hafarizam berkata peruntukan seperti ESCAR yang digunakan untuk mendakwa 29 anggota Al-Maunah pada tahun 2000 yang merancang untuk mengkhianati negara dengan menentang kerajaan yang dipilih secara demokrasi, membuktikan peruntukan yang digubal pada ketika itu masih belum dimansuhkan.

Pendakwaan kes Al-Maunah itu bagaimanapun dibuat secara terbuka mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melancarkan serangan terhadap Yang di-Pertuan Agong atau pemerintah atau Yang Dipertua Negeri dan membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.

“Keadaan adalah sebaliknya jika Kerajaan Negeri Kelantan dapat membuktikan secara dokumen bahawa peruntukan itu (Ordinan Darurat) telah dimansuhkan mengikut nas-nas undang-undang,” kata Hafarizam.

Sebelum ini, Kerajaan Kelantan bertegas menuntut bayaran royalti berbilion ringgit terhadap operasi carigali minyak di perairannya daripada kerajaan pusat, namun negeri itu didapati tidak layak mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Dua telaga minyak dipertikai itu terletak di kawasan 150 batu nautika dari perairan Kelantan di kawasan pelantar benua bertindih di Teluk Siam, Laut China Selatan, yang dibangunkan secara bersama Pihak Berkuasa Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA) sejak 1979.

Selain peruntukan Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) 1969, Artikel 3 Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) pula menyebut, perairan wilayah Malaysia diukur dari garis pangkal hingga ke kawasan tidak melebihi 12 batu nautika.

Bagi Artikel 57, konvensyen yang sama, menjelaskan kawasan “di luar dan bersebelahan” kepada perairan Malaysia yang tidak melebihi 200 batu nautika dari garis pangkal ialah Zon Eksklusif Ekonomi.

Abdul Rahman dalam laporan sebuah portal berita hari ini berkata Sarawak layak untuk mendapat royalti minyak kerana Queen Elizabeth mengisytiharkan pada 1954 bahawa “bahawa wilayah perairan negeri di Malaysia Timur itu diperluas di luar had tiga batu nautika”.

Ini menyebabkan kedudukan undang-undang mengenai perkara itu berbeza di antara negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak yang turut menandatangani perjanjian dengan Petronas sekitar 1975/1976, melalui Akta Kemajuan Petroleum 1974.

Kerajaan Negeri Kelantan berhujah berdasarkan Akta Kemajuan Petroleum 1974, negeri itu layak menerima bayaran royalti lima peratus daripada jumlah pengeluaran di dua telaga minyak terbabit selain mungkin membawa perkara itu ke mahkamah.

Kerajaan pusat bersetuju memberi wang ihsan RM20 juta yang juga merupakan lima peratus daripada hasil pengeluaran gas sejak Mei 2008 di Blok Medan Bumi Selatan, Blok PM301, yang berdekatan dengan perairan negeri itu.

Satu lagi kawasan dipertikai iaitu Blok PM302 belum mengeluarkan hasil. — Bernama

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP