Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, March 19, 2010

APCO tidak wajar campur tangan urusan negara

London 18 MAC: APCO Worldwide, sebuah firma perunding antarabangsa berpangkalan di Amerika Syarikat tidak seharusnya terbabit dalam sebarang urusan politik di negara ini, tegas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat itu juga menyifatkan tindakan yang mungkin dikenakan terhadapnya melalui Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Parlimen berikutan pendedahan slogan Malaysia dan Isreal, sebagai jenaka basi.

Anwar apabila diminta menjawab penafian Apco terlibat dalam mengilhamkan Satu Malaysia semalam, mempersoalkan untuk apa Apco dibayar jika bukan untuk membantu menasihati parti pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Bercakap pada sidang media selepas berucap di London School of Economics, semalam, Anwar yang sebelum ini ditohmah kononnya ejen Yahudi, menyifatkan persamaan Satu Malaysia dan One Israel sebagai satu “kebetulan aneh”.

Ironinya, Umno yang mendabik dada sebagai juara Melayu dan memperjuangkan Islam khususnya dalam isu kalimah Allah, melantik APCO yang dipimpin sebahagian Yahudi berfahaman Zionis.

Anwar menyifatkan beban tanggungjawab bagi menerangkan peranan sebenar Apco terletak di bahu pimpinan Umno.

Mengikut Malaysia Insider, APCO dibayar dengan nilai kontrak yang bernilai 20 juta ringgit.

APCO juga disyaki terlibat dalam pengaturan beberapa keputusan politik selain mendalangi beberapa isu politik bagi mengembalikan sokongan rakyat terhadap Umno.

Pada 10 Ogos lalu, Ketua Pegawai Eksekutif APCO, Margery Kraus mengumumkan syarikat akan membuka pejabat baru di Malaysia pada September dengan Paul Stadlen sebagai pengarah urusan.

Berita berkaitan:

BN cadang heret Anwar ke jawatankuasa khas
S Pathmawathy 18 Mac

Jemaah menteri akan bermesyuarat esok untuk memutuskan sama ada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diheret ke jawatankuasa mengenai hak dan keistimewaan Parlimen.

Tindakan berkenaan berhubung dengan dakwaan ketua umum PKR itu yang 1Malaysia adalah diciplak daripada 'One Israel'

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata: “Saya akan membawa perkara ini ke pengetahuan kabinet berhubung dakwaan itu kerana kami berpendapat ia adalah keterlaluan.

"Jawatankuasa khas itu kemudiannya akan memutuskan sama ada tindakan perlu diambil ke atas ketua pembangkang kerana meluahkan kenyataan palsu di dalam Dewan, khusus berhubung perkara yang tidak benar mengenai perdana menteri,” katanya.

Ditanya mengenai hukuman yang bakal dikenakan ke atas Anwar jika beliau didapati bersalah, Nazri berkata beliau tidak mahu membuat seberang spekulasi.

"Bagi seorang pemimpin Islam untuk dikaitkan dengan Zionis adalah perkara yang serius. Seperti yang diketahui, kita menyokong Palestin dan kita menentang Zionis dan juga pentadbiran Israel, jadi untuk mengaitkan dengan Zionis Israel adalah serius," katanya.

Apa-apa yang diluahkan oleh ahli parlimen ketika sidang Dewan Rakyat dilindungi oleh imuniti dan tiada tindakan yang boleh dikenakan, termasuk didakwa di mahkamah kecuali dihadapkan ke jawatankuasa khas itu.

"Di Dewan Rakyat, mereka ada imuniti, tetapi masih ada peraturan dan ada perkara yang tidak boleh dilakukan. Sebab itu ada jawatankuasa khas, ia badan yang paling sesuai untuk menentukan perkara seumpama itu," terang Nazri.
Sekiranya Anwar didapati bersalah, beliau boleh digantung daripada menghadiri sidang parlimen untuk jangka masa yang ditetapkan oleh jawatankuasa berkenaan.

Semasa ucapan lebih tiga jamnya ketika hujah penggulungan terima kasih ke atas titah Yang di-Pertuan Agong, semalam, Anwar mendakwa Apco Worldwide, sebuah agensi perunding dilantik oleh kerajaan Malaysia adalah syarikat yang sama melakarkan slogan "One Israel'.

Menurut beliau, Apco pada 1999 menasihatkan perdana menteri Israel ketika itu, Ehud Barak untuk memperkenalkan slogan 'One Israel'.

Bagaimanapun, Apco dalam satu kenyataan hari ini menafikan pembabitan pihaknya dengan konsep "One Israel' itu.

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP