Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, March 20, 2010

Bantah buku teks yang berbaur anti-Islam

PHILADELPHIA: Aktivis Islam di Amerika Syarikat telah melancarkan kempen membantah satu siri buku teks yang dilapor menggalakkan sentimen anti-Islam di kalangan pelajar sekolah di negara itu.

Majlis Hubungan Amerika-Islam (Cair) yang merupakan pertubuhan sokongan Islam terbesar di Amerika berkata The World of Islam, yang berupa siri 10 buku, menggalakkan pembaca muda mempercayai bahawa penganut Islam adalah pengganas, selain boleh menjejaskan masyarakat negara ini.

Satu perenggan daripada siri tersebut menyebut: 'Buat kali pertama, orang Islam mula berhijrah ke Amerika Syarikat dalam usaha mengubah masyarakat Amerika, kadangkala dilakukan melalui keganasan.'

Pengarah Hak Sivil Cair di Pennsylvania, Encik Moein Khawaja, berkata pihaknya menerima berpuluh-puluh aduan berkenaan buku teks itu daripada ibu bapa pelajar Islam.

Encik Moein berkata beliau tidak sedar tentang sebarang diskriminasi terhadap Islam yang dipaparkan dalam buku teks tersebut, yang diterbitkan untuk pelajar sekolah menengah dan tinggi.

Buku tersebut diterbitkan pada akhir 2009 oleh syarikat penerbit, Mason Crest Publishers of Broomall, Pennsylvania, yang bekerja dengan Institut Dasar Asing (FPRI) Philadelphia bagi memastikan ketepatan fakta.

Masih belum jelas sama ada buku itu telah digunakan di sekolah-sekolah.

Encik Moein, dalam satu sidang media, berkata buku tersebut 'diterbitkan dengan maklumat tidak tepat dan tidak berasas' selain menyifatkan FPRI sebagai 'satu kumpulan pemikir yang menyokong kuat perang di Iraq pada masa lalu dan masih kekal dengan pendirian tersebut.'

Timbalan Presiden FPRI, Encik Alan Luxenberg, bagaimanapun menafikan buku berkenaan anti-Islam.

'Kenyataan itu tidak berasas dan tiada cara lain untuk memastikan kebenaran melainkan dengan membaca buku berkenaan,' kata institut itu dalam satu kenyataan media. -- Reuters

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP