Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, March 25, 2010

Google berkomplot dengan agensi perisikan Amerika

Akhbar People's Daily, yang merupakan lidah rasmi Parti Komunis China, semalam menuduh Google berkomplot dengan agensi perisikan Amerika, dan berkata penarikan diri Google dari tanah besar China berhubung soal penapisan mewajarkan langkah Beijing untuk meningkatkan teknologi sendiri.

'Kerjasama dan persekongkolan Google dengan agensi perisikan Amerika sudah diketahui ramai,' kata akhbar berkenaan.

Manakala di Washington, Amerika Syarikat mengingatkan China bahawa ia mesti menimbangkan 'implikasi' daripada keputusan Google menutup jentera pencariannya di tanah besar China disebabkan oleh penapisan dan penggodaman siber.

China membidas keras tindakan Google kerana enggan menapis jentera pencariannya di China, Google.cn. Tetapi Beijing menegaskan tengkarah sekarang tidak akan menjejas hubungan China-Amerika, asalkan isu tersebut tidak dipolitikkan oleh pemimpin Amerika.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika, Encik Philip Crowley, berkata Amerika menghormati keputusan Google tetapi ia 'tidak terlibat' dalam keputusan Google mengalihkan pencarian maklumat di Internet dari tanah besar China ke laman tidak ditapis di Hongkong, Google.com.hk.

Meskipun Washington menyokong kebebasan Internet, 'terserah kepada mana-mana syarikat untuk menilai peluang pelaburan di China,' kata Encik Crowley kepada pemberita kelmarin.

'Kami menghargai hubungan ekonomi antara Amerika dengan China. Tetapi jika saya ialah China, saya akan menimbang implikasi dengan serius apabila sebuah syarikat terkemuka memutuskan bahawa amat sukar menjalankan urus niaga di China,' tegasnya.

Jurucakap Kementerian Luar China, Encik Qin Gang, menegaskan bahawa isu Google hanya merupakan tindakan terpencil sebuah syarikat perniagaan.

'Saya tidak fikir ia akan mempengaruhi hubungan China-Amerika, kecuali ada orang yang mahu mempolitikkannya,' tegas beliau.

Beberapa jam selepas pengumuman Google, Beijing menegaskan bahawa rundingan strategi peringkat tinggi dengan Washington akan diteruskan Mei ini.

Media pemerintah China semalam berkata Google telah membuat kesilapan besar kerana menarik diri daripada pasaran online yang terbesar di dunia.

'Dengan memindah perkhidmatan pencarian dari tanah besar China ke Hongkong semalam, Google telah membuat satu kesilapan besar dalam pasaran yang menguntungkan di China,' kata akhbar Global Times. -- Agensi.

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP