Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, May 6, 2010

Malaysia ada peraturan bukan negara polis

Sebagai sebuah negara tidak mengamalkan hukum rimba setiap penjenayah sekalipun mesti melalui prosedur undang-undang sebelum dijatuhkan hukuman.

Hukuman pula mesti diputuskan oleh hakim bukan pihak penguatkuasa atau keselamatan. Jika penguatkuasa menjatuhkan hukuman sendiri maka akan berlaku kes kematian seumpama Amirulrasyid Amzah, 15, akibat ditembak polis pada awal pagi Isnin, 26 April lalu, di Seksyen 11, Shah Alam.

Rakyat Terengganu khasnya masih belum lupa bagaimana senjata diguna sewenangnya dalam pengalaman ngeri yang dihadapi oleh Suwandi Abdul Ghani, 37 dan Muhammad Azman Aziz, 21, ketika ditembak polis dengan peluru hidup dalam jarak dekat oleh seorang anggota polis sewaktu menyuraikan satu perhimpunan aman di Batu Buruk pada 8 September 2007.

Malah di Malaysia pun sudah tidak asing lagi menahan orang tanpa bicara dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ia menyekat hak setiap insan untuk hidup dan kebebasan serta tidak boleh diganggu hak hidupnya dengan cara apa sekalipun.

Tindakan pihak keselamatan menembak rakyat tanpa usul periksa dan terburu-buru merupakan manifestasi daripada ISA dan akta lain yang zalim diamalkan di negara ini.

Ibu kepada Amirulrasyid, Norsiah Mohamad, 60, ketika menerima kunjungan simpati Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang, pada 28 April, di rumah beliau sempat mengingatkan kedua tokoh DAP itu supaya tidak mempolitikkan kes anak beliau itu.

Namun perlu dingat kepada ibu Amirul bahawa jika tidak ada peranan orang politik isu tersebut tidak hangat dan tersebar oleh media sebagaimana sepinya kes mangsa seperti yang dialami oleh Shahril Azlan Ahmad Kamil, 25, yang terkena tembakan rambang seorang anggota polis pada 16 April 2009.

Beliau terpaksa berjuang keseorangan untuk menuntut keadilan disamping ada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu.

Norizan Salleh, 30, juga pernah menjadi mangsa tembakan tanpa sebab oleh seorang anggota polis sebanyak lima kali di bahagian dada dan tangan dalam satu peristiwa pada 30 Oktober 2009 sehingga hampir meragut nyawanya.

Norizan parah dan terlantar dua minggu dihospital, tiada yang tolong sehingga beliau menemui NGO dan aktivis parti politik dan membawa beliau menemui Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein tetapi menteri itu sering mengelak.

Norizan tidak putus asa dan terpaksa naik turun Parlimen, Putrajaya dan Bukit Aman dalam usaha beliau mendapat keadilan: "Saya datang hari ini untuk mengetahui kenapa saya ditembak pada malam tersebut."

"Sebab sampai sekarang saya tidak tahu sebabnya, dan saya sangat terkejut dengan peristiwa itu," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, 1 April lalu.

Peguam Norizan, N Surendran menemani beliau mempertikai tindakan polis melepaskan tembakan itu tanpa sebarang alasan yang jelas.

"Mengikut undang-undang Malaysia dan antarabangsa, polis tidak ada hak menembak sesiapa tanpa sebab kecuali kepada individu yang dikesan mengancam keselamatan pihak polis," tegasnya.

Begitu teruk pengalaman mereka yang ditembak polis mahu mendapat keadilan kerana setengah masyarakat memandang serong dengan tanggapan kononnya penjenayah.

Namun Norsiah dikira beruntung kerana ada pemimpin tertinggi dan kanan parti politik PAS, PKR dan DAP turun ke rumah beliau mendengar khabar dan melahirkan simpati.

Sekiranya kes Amirulrasyid tidak dijadikan isu politik, maka mudah bagi Hishamuddin dan pihak polis menutup kes tersebut tetapi akibat tekanan politik sekurangnya kerajaan terpaksa menubuhkan Inkues seumpama kes Teoh Beng Hock atau Suruhanjaya Diraja.

Sementara jiran Norsiah pula menyifatkan ia masalah masyarakat terutama soal remaja masa kini dan tiada kaitan politik.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata politik tidak boleh diasingkan dalam hal agama. Ini sama juga politik tidak boleh dipisahkan dalam soal masyarakat kerana peranan politik menentukan keamanan society.

Norsiah dikatakan ahli jawatankuasa wanita Umno Bahagian Shah Alam akan bertambah beruntung kalau mendapat pembelaan dibawah undang-undang jenayah qisas dalam Islam.

Firman Allah SWT; "Dan dalam qisas ada jaminan kelapangan hidup bagimu, hai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertaqwa." (Surah al-Baqarah, ayat 179)

"Dan kami telah menetapkan kepada mereka dalam (Taurat) bahawasanya jiwa dibalas dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi dan luka pun ada pembalasannya." (Surah al-Maidah, ayat 45).

Dalam soal pembunuhan Amirul ia mungkin perlu kepada siasatan rapi sama termasuk dalam kes tidak sengaja kerana tanggungjawab polis menjaga keselamatan atau perbuatan terburu-buru.

"Dan tidak layak bagi seorang mukmin membunuh orang mukmin (lainnya) kecuali kerana keliru (tidak disengajakan). Dan barang siapa membunuh orang mukmin kerana sengaja hendaklah ia memerdekakan seorang hamba sahaya yang beriman serta membayar diat yang diserahkan kepada keluarganya, kecuali jika mereka (keluarga mangsa) bersedekah (memaafkannya)." (Surah An-Nisa, ayat 92).

Hakim menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh sama ada bersalah atau tidak. Jika didapati bersalah maka hakim menjatuhkan hukuman mati berdasarkan qisas jiwa dibalas jiwa.

Apa yang menjadi kelainan undang-undang Islam dengan sivil ialah Islam memberi hak kepada keluarga yang dibunuh sama ada jiwa si pembunuh itu boleh diganti dengan diat atau memaafkannya.

Diat atau ganti rugi ditetapkan Rasulullah saw iaitu sebanyak 100 ekor unta atau 200 ekor sapi. Boleh juga dengan seribu dinar emas atau dua belas ribu dirham perak.

Sementara itu ahli keluarga Norsiah ada menyuarakan sekiranya pihak polis jujur dan tidak menuduh jenayah terhadap Amirulrasyid, pihaknya boleh terima hakikat tersebut sebaliknya tuduhan polis itu menyebabkan imej keluarganya tercemar.

Polis sebelum ini mendakwa Amirulrasyid cuba mengundurkan kereta yang boleh mengancam nyawa polis sebab itu tembakan dilepaskan.

Namun cerita saksi utama insiden itu bahawa Amirulrasyid ditembak dikepala ketika tengah memandu semasa dikejar peronda.

Menurut laporan itu mereka terserempak dengan peronda dan tidak ada laporan mengatakan terdapat sekatan polis turut bercanggah dengan kenyataan polis.

Bulatan Kayangan Seksyen 12 bersebelahan dengan rumah ibu Amirulrasyid di Jalan Makyong. Bagaimanapun laluan ke rumah di jalan itu terpaksa melalui Jalan Wau dan Jalan Tarian.

Jarak Bulatan Kayangan dengan lalaun terbabit hingga ke rumah ibu Amirulrasyid tidak sampai satu kilometer. Laluan tersebut terdapat dua simpang yang menyukar kelajuan kereta.

Adengan kejar mengejar dalam jarak tersebut mungkin tidak sampai dalam tempoh 10 minit, bagaimana polis boleh membuat keputusan tergesa hingga menembak pemandu sedangkan tayar kereta sudah ditembak yang juga menghalang kelajuan?

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP