Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, May 5, 2010

Dua lagi saksi sedia bantu siasatan kes Aminulrasyid

Oleh Neville Spykerman

Shah Alam; Rabu 5 Mei: Dua lagi saksi tampil untuk membantu siasatan insiden Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati polis awal minggu lalu.

Pengakuan mereka mengesahkan keterangan yang diberikan rakan Aminulrasyid, Azamuddin Omar (gambar, kanan) baru-baru ini, kata Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad kepada The Malaysian Insider hari ini.

Khalid berkata, kedua-dua saksi berkenaan mengesahkan detik-detik yang berlaku sebelum kejadian ditembak berlaku dan kereta mereka dikejar polis.

Perakuan Azamuddin berbeza daripada versi polis yang mendakwa kereta mereka hendak dirempuh oleh Aminulrasyid, menyebabkan mereka melepaskan tembakan.

Azamuddin mendakwa rakannya itu berada dalam keadaan panik selepas terlibat dalam kemalangan kecil dan dikejar oleh beberapa motosikal.

Menurut Khalid, saksi terbaru yang tampil mahu membantu merupakan pemilik dan juga pemandu kereta yang dirempuh oleh kereta Proton Iswara dipandu Aminulrasyid.

“Mereka berada di restoran ketika kejadian berlaku dan apabila tidak berhenti, tiga rakan mereka menunggang motosikal dan kejar mereka,” katanya.

Bagaimanapun salah satu motosikal terlanggar bahagian belakang kereta Proton Iswara dan jatuh sebelum dikejar oleh polis.

“Mereka tidak melihat apa yang berlaku kemudian tetapi pengakuan mereka menunjukkan bahawa mereka cuma takut dan panik. Mereka bukan penjenayah yang melarikan diri daripada polis,” katanya.

Apa yang penting kata Khalid, Azamuddin tidak mereka-reka cerita apabila mengatakan yang dia dikejar beberapa penunggang motosikal.

“Ia memperkukuhkan pengakuannya tentang apa yang berlaku. Jika dia mengatakan yang benar tentang ini, kita juga perlu percaya dengan apa yang diperkatakan tentang kejadian selepas itu,” katanya.

Ketika sidang media kelmarin yang diuruskan oleh peguam-peguam mewakili keluarga Aminulrasyid, Azamuddin juga ada mengatakan bahawa rakannya terlalu takut dan mahu pulang ke rumah kerana memandu kereta kakaknya.

Dia juga menceritakan bagaimana rakannya ditembak dari belakang dan rebah di ribanya.

Khalid memberitahu saksi terbaru ini menemui beliau semalam dan rasa takut untuk bertemu dengan polis.

Bagaimanapun kata Khalid, beliau menasihatkan mereka membuat laporan polis dan ia dibuat malam tadi.

“Saya tidak menemani mereka kerana sejak kebelakangan ini saya didakwa cuba mempolitikkan isu ini,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP