Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, April 8, 2010

Zul, Zahrain di Washington hadir pelancaran kokus Parlimen

Oleh G. Manimaran

Kuala Lumpur; Khamis, 8 April: Dua bekas Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang kini bertindak sebagai wakil rakyat Bebas, akan menyertai pelancaran Kokus (Kongres) Malaysia-Amerika Syarikat di Washington, Rabu depan.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin dan rakannya Datuk Zahrain Hashim dari Bayan Baru, Kedah merupakan antara tiga anggota Dewan Rakyat akan berada di Amerika Syarikat (AS) minggu depan.

Turut menyertai kedua-dua mereka ialah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika dihubungi mengesahkan Rais dan dua wakil rakyat berkenaan akan menghadiri majlis berkenaan, yang dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Kami tiada maklumat lanjut, bukan kami yang uruskan perkara ini. Tetapi Datuk Seri Rais akan sertai bersama dan dua Ahli Parlimen yang akan hadir ialah Zulkifli Noordin dan Datuk Zahrain,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Wan Junaidi memberitahu kokus itu akan dilancarkan oleh Najib pada 14 April.

Zulkifli, yang dipecat dari PKR bulan lalu berkata, beliau akan berada di AS untuk menghalusi beberapa kerja menjelang pelancaran kokus berkenan.

Zahrain pula meninggalkan PKR pertengahan Februari lalu.

“Saya akan pergi minggu ini, Rabu dan akan berada kira-kira seminggu di Washington,” kata Noordin ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Bagaimanapun kata Zulkifli, kunjungannya ke AS tiada kaitan dengan lawatan Perdana Menteri ke negara itu dalam waktu terdekat ini.

“Saya akan ke Washington, Perdana Menteri pula ke New York. Saya pergi lebih awal, ia tiada kaitan dengan lawatan Perdana Menteri... tidak, tidak,” katanya.

Zulkifli berkata beliau telah diminta menghadiri kokus ini Februari lalu dan sepatutnya berada di AS awal bulan lalu, yang dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz dan Zahrain.

Bagaimanapun kata Zulkifli, beliau tidak dapat menyertai kunjungan lalu kerana terpaksa menghadiri persidangan antarabangsa di Korea Selatan.

“Pemilihan saya agar menyertai kokus bukan berdasarkan kedudukan parti tetapi dibuat oleh Parlimen,” kata wakil rakyat Bebas ini.

Ahli-ahli Parlimen berkenaan telah diberi taklimat kunjungan ke Washington, Isnin lalu.

Bulan lalu, Nazri memberitahu, pihaknya berharap Najib akan berada di Washington untuk melancarkan semula Kokus (Kongres) Malaysia-AS yang sudah wujud sejak 10 tahun lalu.

Menurut Nazri, kokus itu akan bertindak sebagai platform untuk memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua negara dan melalui kokus, ia boleh merangka program melibatkan anggota Kongres AS dan ahli-ahli Parlimen Malaysia.

Zahrain yang dihubungi dua hari lalu berkata, beliau tidak pasti sama ada dijemput menyertai rombongan itu ataupun sebaliknya.

“Saya tidak tahu, saya tiada maklumat ini,” kata beliau yang dihubungi The Malaysian Insider awal minggu ini tetapi gagal dihubungi semalam. - The Malaysian Insider.com

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP