Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, April 12, 2010

Calon BN: Umno terpaksa berdepan `keras kepala' Samy

Artikal ramalan ini telah disiar Harakah edisi Jumaat, 5 April lalu. Bagaimanapun bahagian hujungnya telah dipotong kemungkinan ruang pagenya terlalu padat.

Akibat potongan tersebut nama calon yang disukai Umno Hulu Selangor hilang dan maksudnya tidak tercapai.

Oleh itu sesiapa yang mahu membaca artikal penuhnya adalah seperti berikut:

Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu sudah masak dengan gertak Umno sebab itu beliau yakin MIC dan calon kesayangannya Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel sebagai bakal calon pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Tindakan MIC mengutarakan hanya satu nama bakal calon sama seperti tekanan yang dialami Bahagian Teluk Kemang bila menghantar satu nama calon iaitu ketua bahagiannya, Tan Sri Isa Samad kepada Umno Pusat semasa pilihan raya kecil Bagan Pinang pada 11 Oktober lalu.

Sedangkan Umno Pusat ketika itu `bertegang leher' mahukan Bahagian dan Perhubungan Umno Negeri Sembilan menghantar senarai calon lebih daripada seorang. Apakah Samy Vellu selepas ini akan menggunakan taktik sama yang dipakai Isa Samad?

Umno Hulu Selangor dan Umno Selangor dikatakan tidak senang dengan calon Palanivel yang disifatkan mereka sebagai kalah teruk pada pilihan raya umum ke 12, Mac 2008 lalu kepada calon PKR, Allahyarham Datuk Zainal Abidin Ahmad yang meninggal dunia Khamis lalu.

“Akar umbi dan Umno mahu calon Umno,” kata Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno Selangor, Abdul Shukur Idrus sebagaimana dilaporkan akhbar.

Mereka mempersoal kenapa Palanivel hilang begitu banyak sehingga 5,981 undi walaupun beliau kalah tipis dengan majoriti 198 undi. Ini kerana jumlah majoriti kemenangan Barisan Nasional (BN) di tiga Dewan Undangan Negeri (Dun) di Parlimen Hulu Selangor iaitu Hulu Bernam, Kuala Kubu Bharu dan Batang Kali ialah 6,179 undi.

Umno bertanding dua kerusi Dun iaitu Hulu Bernam menewaskan calon PAS dengan majoriti 3,549. Calonnya, Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mohamed Idris Abu Bakar memperolehi 7,985 undi. Pengundi berdaftar seramai 17,549 dan Shukor hanya memperolehi 4,436 undi.

Manakala Dun Batang Kali ditandingi Mohd Isa Abu Kasim mendapat 11,724 dengan menewakan calon PKR, Mohd Nasarudin Abdul Aziz dengan majoriti 2,179 undi. Nasaruddin hanya dapat 9,545 undi daripada pengundi seramai 27,832 orang.

Sementara Dun Kuala Kubu Bharu mempunyai 18,212 pengundi memberikan kemenangan kepada calon MCA ,Wong Kun Moon menewaskan calon DAP Annamalai Ramu dengan majoriti 448 undi. Beliau dapat 6,107 undi manakala Ramu 6,555.

Bagaimanapun Umno dikatakan sukar meletakkan calon yang berwibawa di Hulu Selangor selain nama yang tidak asing di situ iaitu Tan Sri Muhammad Muhammad Taib anak kelahiran Kalumpang. Beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali dan bekas Ketua Umno Bahagian tersebut.

Sekiranya Umno menamakan Muhammad bermakna Umno bersedia menanggung risiko serangan politik bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Muhammad juga bukan orang Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kalah teruk kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam merebut jawatan Timbalan Presiden Umno dengan majoriti 659 undi pada pemilihan Mac 2009. Muhyiddin mendapat 1,575 undi manakala Muhammad hanya 916 undi.

Umno menamakan Muhammad kerana mengambil kira kemenangan Isa Samad dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang tetapi Isa masih menguasai Teluk Kemang sedangkan Muhammad sudah dikira orang yang telah bersara dalam politik tetapi disebabkan Umno ketandusan calon maka Umno di Selangor dan Bahagian terpaksa menamakan Muhammad yang juga digelar `Mike Tyson'.

Mohamed Idris juga antara nama yang disebut kerana populariti beliau menawan Dun Hulu Bernam dengan bergaya tetapi beliau dikatakan banyak terpalit dengan isu tidak berdisiplin kerana lebih sibuk dan mengutamakan projek serta golf.

Begitu juga dengan jawatankuasa Umno di situ yang dinilai lebih kurang berperangai sama sementara harapan kepada Ketua Penerangan Hulu Selangor, Datuk Zainal Abidin Sakom yang juga bekas Exco Selangor tidak mampu menjanjikan peluang yang baik kepada Umno.

Kalangan pemuda Umno pula tidak ada ketokohan jika mahu dibanding pemuda PKR, PAS dan DAP. Dalam banyak segi mereka jauh ketinggalan berbanding pimpinan pemuda Umno di bahagian lain.

Semua lapisan masyarakat kenal siapa ketua dan naibnya yang mementing wang berbanding pemuda parti komponen BN seperti MCA, MIC dan Gerakan kesemuanya dipimpin golongan berkelulusan dan berpendidikan.

Menurut sumber juga barisan jawatankuasa pemuda Umno itu juga mempunyai rekod yang tidak baik di mata masyarakat kerana terdapat khabar dikalangan exconya terlibat dalam masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah, `kaki perempuan' dan `kaki botol'.

Tambah sumber berkenaan, kepimpinan peringkat bahagian beria-ia mahukan mereka dan begitu juga wakil rakyat kerana ia mudah dikawal disebab pemuda ini bergantung hidup dengan mereka.

Begitu juga dengan kepimpinan wanita yang masih ditakuk lama. Jadi apakah pemimpin Umno Pusat menganggap relevan untuk mereka betanding atau akhirnya terpaksa mengambil calon import?

Melihat kepada senario tersebut maka Samy Vellu akan berkeras mempertahankan kerusi milik MIC walaupun terdapat ura-ura parti baru Makkal Sakti akan diberi ruang jika berbanding calon India.

Ini kerana terdapat pihak Umno yang membuat `poll' melalui web menunjukkan sokongan kepada calon daripada Makkal Sakti mendapat 8 peratus berbanding MIC hanya 6 peratus. Bagaimanapun sokongan kepada calon Umno bertanding di situ lebih tinggi iaitu 82 peratus.

Namun begitu Makkal Sakti tidak termasuk perjanjian asal parti dalam BN maka mudah bagi Samy Vellu mengenepikan cabaran tersebut tetapi bagaimana beliau mahu menyakinkan Umno bahawa partinya mampu menawan kembali Hulu Selangor.

Apakah Samy Vellu perlu sedikit kudrat seperti Isa Samad namun belau tidak berpengaruh di Hulu Selangor tidak seperti Isa di Teluk Kemang. Cuma yang ada pada Samy Vellu sehingga menguntung MIC sampai sekarang ialah keras kepala. Sebab itu beliau payah mahu turun daripada tahta Presiden MIC.

Mungkin keras kepala beliau boleh melemahkan Najib tetapi harus diingat sekiranya Najib boleh luntur maka Mahathir akan masuk campur sebagaimana kritikan keras Mahathir terhadap Samy dalam pemilihan MIC tahun lalu.

Apakah mudah bagi Najib tunduk kepada Samy Vellu? Ini kerana difahamkan Najib mungkin boleh mengalah dan Umno sedia memberi ruang MIC bertanding disitu tetapi calon kesukaan Samy mungkin tercabar.

Umno Hulu Selangor juga dikatakan bosan dengan calon Samy Vellu dan kemungkinan mendesak MIC meletakkan Timbalan Ketua Pemuda MIC, V Mugilan yang juga Ketua Pemuda MIC Bahagian Hulu Selangor sebagai calon sekiranya Umno ditolak bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor nanti.

Keadaan itu menyebabkan Samy dalam keadaan amat tertekan dan dikatakan juga Mahathir sedang bersiap menyusun serangan keatas Samy Vellu kerana Mahathir cukup tidak berpuas hati dengan Samy yang mengatasi beliau dalam soal usia kepimpinan.

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP