Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, April 8, 2010

Dua darah muda calon berpotensi wakili MIC?

Oleh G. Manimaran

Kuala Lumpr; Khamis, 8 April: Kerusi Parlimen Hulu Selangor sudah sah kekal ditandingi MIC sebagai komponen Barisan Nasional (BN), tetapi bakal calon yang dicari masih menjadi spekulasi dengan dua nama baru mula muncul akhir-akhir ini.

Pucuk kepimpinan tidak mengesahkan sama ada Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu ada mengemukakan lebih daripada satu nama, tetapi dua personaliti yang menjadi tumpuan banyak pihak ialah Ketua Penerangan MIC P. Kamalanathan dan Timbalan Ketua Pemuda MIC pusat V. Mugilan.

Nama kedua-dua mereka ini muncul selepas Samy Vellu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Selasa lalu untuk mengemukakan nama Datuk G. Palanivel agar diturunkan semula.

Palanivel, timbalan presiden MIC, kalah dengan perbezaan tipis 198 undi walaupun BN menguasai ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri.

Bagaimanapun Kamalanathan dan Mugilan yang dihubungi The Malaysian Insider enggan mengulas lanjut desas-desus nama mereka juga menjadi sebutan pertimbangan parti.

Kamalanathan, 44, juga merupakan penyelaras sayap Putera MIC dan aktif dalam MIC Selayang sebagai salah seorang ketua cawangan dalam bahagian itu.

Beliau dilantik sebagai ketua penerangan oleh Samy Vellu selepas perhimpunan agung MIC September lalu bagi memperkukuhkan parti.

Berkelulusan jurusan perhubungan awam ini merupakan pengurus perhubungan awam di syarikat berkaitan dengan kerajaan.

Kerusi Parlimen Selayang merupakan jiran kepada bahagian Hulu Selangor.

Bertolak daripada kriteria muda dan menetap di kawasan tidak jauh Hulu Selangor, satu lagi nama yang menjadi bahan mulut ialah Mugilan, seorang ahli perniagaan berusia 35 tahun, juga merupakan Ketua Pemuda MIC Hulu Selangor.

The Malaysian Insider difahamkan beliau sudah menjadi tumpuan penduduk tempatan Hulu Selangor sejak lebih enam bulan yang lalu.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider malam tadi, Mugilan berada di kawasan Hulu Bernam untuk menyelia kerja pembentukan jentera pilihan raya tetapi enggan mengulas lanjut.

“Saya pun ada dengar khabar angin macam ini... tapi saya tidak mahu komen apa-apa,” kata beliau dipilih sebagai timbalan ketua Pemuda MIC tahun lalu.

Akhir minggu lalu, Samy Vellu ketika dihubungi enggan mengulas sama ada beliau ada mengemukakan dua nama lagi.

Bercakap kepada pemberita selepas berucap pada Konvensyen BN Selangor di Shah Alam petang semalam, Najib yang juga Perdana Menteri berkata selain isu nasional, soal pemilihan calon juga adalah aspek penting dalam mana-mana pilihan raya kecil.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut apabila ditanya sama ada MIC ada mengesyorkan lebih daripada satu nama untuk dipertimbangkan.

“Kami akan membuat pengumuman apabila tiba masa kelak,” kata Najib yang juga Presiden Umno.

“Presiden parti komponen boleh menghantar nama yang mereka inginkan tetapi keputusan akhir dibuat oleh Pengerusi BN,” katanya.

Beberapa hari lalu Najib memberitahu, beliau ada memaklumkan keputusan mengenai calon bakal diturunkan BN kepada timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang akan membuat pengumuman mengenainya 15 April.

Pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor akan diadakan pada 25 April manakala penamaan calon pada 17 April.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lalu.

Daripada 64,500 pengundi, kaum Melayu merupakan pengundi majority dengan 34,020 pengundi atau 52.7 peratus manakala kaum Cina dan India masing-masing mencatatkan bilangan 16.964 atau 26.3 peratus dan 12,453 atau 19.3 peratus. - The Malaysian Insider

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP