Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, May 25, 2012

Bertaubatlah NST, Rahim Noor tarik balik sebelum meninggal

SABDA Nabi saw dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim; “Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh),” maka New Straits Time dinasihatkan bertaubat, memohon maaf dan menarik balik siaran kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor mengkafirkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad berkata demikian dalam protes di hadapan ibu pejabat New Straits Time Press (NSTP), Bangsar, Kuala Lumpur dihadiri kira-kira 200 penyokong Pas selepas solat Jumaat.

Sehubungan itu, beliau turut berkempen boikot serta menyeru syarikat menghentikan Iklan di akhbar tersebut sekiranya gagal pihak media tersebut gagal berbuat demikian sebagaimana yang dituntut iaitu menarik balik, memohon maaf kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Penyokong Pas berkumpul selepas solat Jumaat di Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar, membantah penyiaran laporan berita menggelar Mursyidul Am Pas itu sebagai bapa kafir serta mengutuk Rahim sambil berarak satu kilometer ke NSTP.

Mereka membawa poster antaranya tertulis: "Damn You NST" dan "Boikot NST" sambil melaungkan takbir, "Hidup Islam", "Sayang Tok Guru" dan "NST Fitnah".

Mereka juga mengadakan gimik dengan memijak dan mengoyak akhbar berkenaan dalam perhimpunan selama lebih 30 minit bermula jam 2 petang.

Protes itu diketuai Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob, Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan turut disertai beberapa exco Pemuda termasuk Kamaruzaman, Ketua Pemuda Pas Selangor, Hasbullah Ridzwan dan Timbalannya, Mohd Sany Hamzan.

"Berita itu tidak dapat diterima oleh Pas dan umat Islam," kata Khairul Faizi dalam ucapannya sambil diiringi laungan "jahanam NST" dan "boikot NST".

Menurutnya lagi, sekiranya akhbar berkenaan enggan berbuat demikian, pihaknya mengancam untuk membakar akhbar itu dalam perhimpunan Pas pada 1 Jun ini di Kedah.

Manakala Mohd Sany dalam ucapannya pula berkata pihaknya boleh menerima dakwaan bahawa menteri besar Kelantan itu tidak pandai memerintah negeri atau negeri itu mundur dengan menjawab kembali tuduhan itu.

Beliau yang juga pengarah jabatan pilihan raya Pemuda PAS bertanya kepada penyokongnya yang hadir, bolehkah mereka menerima tuduhan Nik Aziz bapa kafir.

"Tidak," jawab penyokong yang hadir.

Sementara itu, Kamaruzaman menyifatkan laporan tersebut "sangat biadab".

Bercakap dalam sidang media selepas perhimpunan itu, beliau berkata, perhimpunan hari ini adalah langkah susulan selepas mereka menghantar memorandum minggu lalu, menuntut akhbar itu menarik balik laporannya dan memohon maaf.

"Tetapi kita dapat surat balas menyatakan berita itu sah, maka kita tuntut sekali lagi (hari ini) permohonan maaf dan laporan itu ditarik balik," katanya.

Kamaruzaman berkata pihaknya memberi tempoh seminggu lagi kepada NST untuk berbuat demikian, jika tidak pihaknya akan memboikot akhbar terbitan syarikat tersebut.

Sebelum itu, sejurus selesai ucapan dan doa dibacakan, Mohd Sany serta beberapa pemimpin dewan itu, bertindak memijak naskhah akhbar tersebut.

Pada mulanya, mereka mahu memijak akhbar tersebut di dalam kawasan pejabat NST, tetapi dihalang oleh anggota polis. Kira-kira 10 anggota polis berkawal di situ.

Dalam siaran 8 Mei lalu New Straits Times melaporkan kenyataan Rahim Noor mengatakan Nik Abdul Aziz sebagai father of kafir (bapa kafir).

Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bercadang mengemukakan saman ke atas Rahim dan New Straits Times dalam masa terdekat.

“Tuduhan yang dikeluarkan oleh Rahim sangat kurang ajar dan melampau batas. Pas menggesa beliau memohon maaf secara terbuka dan menarik balik tuduhan yang tidak berasas dan fitnah semata-mata.

“Pas turut mempertimbangkan saman terhadap akhbar NST yang sanggup menyiarkan berita fitnah tersebut tanpa usul-periksa. Melaporkan kenyataan Rahim Noor telah merosakkan lagi imej NST yang tercalar kerana memutar-belit kata-kata Senator Australia, Nick Xenophon,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, Pas mengingatkan pihak terbabit bahawa menuduh seseorang individu sebagai kafir merupakan tuduhan paling berat dalam persoalan aqidah.

Menurut beliau, tuduhan berbentuk peribadi tidak sama dengan menuduh kumpulan apatah lagi jika dalam kumpulan tersebut memang mempunyai ahli dalam kalangan kafir.

Sebuah portal berita melaporkan Rahim menyifatkan Mursyidul Am Pas sebagai father of kafir (bapa kafir) yang didakwanya cuba memesong orang Islam bahawa perhimpunan Bersih 3.0 adalah tanggungjawab agama.

Menurut laporan itu, Akhbar NST memetik Rahim sebagai berkata perkara itu bukan kali pertama Nik Abdul Aziz mengeluarkan kenyataan seperti itu yang didakwanya “mengelirukan” rakyat.

1 comments:

' 1 TANAH MELAYU' June 6, 2012 at 6:53 AM  

Hai kena batang hidung sendiri cepat2 suruh orang bertaubat. Yang selama ni Nik Aziz senang2 kafir orang tak apa. Pee dah...,

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP