Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, May 4, 2012

Najib dijemput Istighasah al-Kubra

PERDANA Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak bersama pemimpin kerajaan dan pembangkang serta umat Islam pelbagai lapisan dijemput menghadiri Majlis Istighasah al-Kubra di Anjung C, Dataran Masjid Wilayah Persekutuan, di sini pada 19 Mei ini yang mensasarkan 10 ribu pengunjung.

Naib Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Shamsul Najmi Shamsuddin, berkata majlis itu bermula pukul 4 hingga 9 pagi bermula mendirikan solat malam atau qiamullail diketuai oleh imam dari Masjid Negeri Selangor, Sheikh Abdul Karim Omar.

“Pihak Yadim menjemput Prof Dr Said Agil Husain al-Munawir, bekas Menteri Agama Republik Indonesia sebagai penceramah khas program berkenaan,” katanya dalam sidang media di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, pagi tadi.

Menurut beliau, istighasah bermaksud meminta pertolongan yang diertikan sebagai zikir atau wirid dilakukan secara beramai semata untuk mendapatkan petunjuk dan pertolongan daripada Allah SWT.

“Keamanan dan kesejahteraan rakyat merupakan tunggak kejayaan dalam sesebuah negara. Dalam negara kita terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Ia memerlukan kepada persefahaman dan juga toleransi antara kaum dan agama agar keamanan dan kesejahteraan ummah serta rakyat terus terpelihara dan dilindungi oleh Allah SWT.

“Justeru bagi memohon keamanan negara agar terus berkekalan disamping kesejahteraan ummah sentiasa dibawah peliharaan dan perlindungan Allah SWT maka satu majlis `Istighasah al-Kubra’ akan diadakan pada Sabtu,” ujarnya.

Majlis anjuran Yadim dengan kerjasama Masjid Wilayah Persekutuan serta 180 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam mengharapkan perpaduan dan ukhuwah semasa muslim akan lebih erat dan persefahaman antara semua pihak yang cintakan keamanan, perpaduan dan kesejahteraan ummah terus subur dan terpelihara.

Menjawab pertanyaan wartawan apakah program itu dianjur berikutan perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu, Najmi berkata majlis itu tidak ada kena mengena dengan Bersih 3.0.

Tambah beliau, ia telah lama dirancang dan sehingga kini sebanyak lima kali mesyuarat bagi menjayakan program itu telah diadakan.

Ditanya bilakah tarikh mesyuarat kali pertama, beliau berkata; “Saya tidak ingat, maaf ya.”

Presiden Jati, Datuk Dr Hasan Ali turut hadir dalam sidang itu diminta wartawan memberi pandangan perhimpunan Bersih 3.0 sebaliknya beliau berkata; “Saya hadir di sini menghormati majlis ini dan tidak mahu komen tentang itu. Itu kena sesi yang lain.”

Najmi berkata program itu memohon pertolongan Allah SWT dalam bentuk zikir dan berdoa beramai bagi mengelak negara dan rakyat daripada ditimpa bala dan bencana.

“Menyatukan jiwa, fikrah ummah dari pelbagai fahaman dan pertubuhan dari pelbagai lapisan pemimpin dan rakyat agar beristiqamah menjaga keharmonian negara dan ummah.

Menguatkan ummah dalam kesatuan akidah. Memberi mesej cara risalah dakwah islamiah sebenar yang cintakan keamanan dan kesejahteraan,” katanya.

Beliau, program itu di isi dengan membaca fatihah, istighfar, hauqolah, selawat, doa, tahlil, memuji Allah dan bacaan istighasah.

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP