Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, February 5, 2012

Penghayatan Rasulullah saw lebih penting daripada sambut maulid

SYEIKH Yusuf Qardawi telah memberi komen mengenai maulid ini. Beliau berkata: “Semua telah sedia maklum bahawa sahabat Rasulullah saw tidak merayakan hari kelahiran Rasulullah saw.

Ini adalah kerana mereka telah menyaksikan secara langsung setiap gerak-geri Rasulullah saw dan seterusnya ingatan terhadap Rasulullah saw itu kekal dalam hati dan juga ingatan.

Sa’d Abi Waqas mengatakan bahawa beliau begitu ghairah untuk menceritakan mengenai Rasulullah saw kepada kanak-kanak sama sepertimana keghairahan mereka mendidik anak-anak itu dengan al-Quran.

Oleh kerana mereka sering menceritakan sejarah perjuangan Rasulullah saw, maka tidak perlulah mereka merayakan sepertimana dirayakan Maulid ar-Rasul kini.

Penghayatan mengenai sirah dan sunnah Nabi saw serta memahami perjuangan menegakkan Islam lebih penting daripada sambutan maulid ar-rasul.

Berarak sakan pelbagai sepanduk dan selawat, tetapi tidak pernah tahu akan sejarah Muhammad saw.

Pelbagai slogan dicanang tetapi hadis yang ditinggalkan tidak diamalkan.

Bersemangat berbicara sejarah kerasulan dan kehebatan Islam hanya pada tanggal 12 Rabi'ul awwal sahaja.

Sebenarnya tidak ada kelebihan atau hadis pun tentang sambutan ini, hanya dakwah yang digunakan pada hari tersebut untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang siapa itu Muhammad Rasulullah saw.

Tanda kita cintakan Nabi ialah dengan mengikut segala sunnahnya dalam kehidupan kita dengan merujuk kepada perlembagaan utama agama yang suci ini iaitu al-Quran dan al-Hadis melalui penjelasan ulama muktabar. Itulah sebenarnya cinta kepada Nabi saw.

Memperingati kelahiran nabi s.a.w dengan mengkaji sirahnya adalah lebih utama untuk lebih mengenali dengan lebih tepat fakta yang berkaitan.

Ia membantu untuk menimbulkan perasaan kasih dan seterusnya mencontohi segala sifat mahmudah yang ada pada Nabi saw.

Jika anda berminat untuk mengkaji sirah Rasulullah, saya cadangkan buku yang sesuai untuk dijadikan rujukan. Buku ini telah diterjemah dan mempunyai 3 jilid, Muhammad Sa'id Ramadan al-Buti (2008), Fiqh al-sirah.

Sejarah ringkas sambutan Maulidur Rasul telah diasaskan oleh kerajaan Fatimiah di Mesir yang meraikannya secara besar-besaran.

Mereka bukan sahaja meraikan hari keputeraan Rasulullah, tetapi juga yang membabitkan ahli keluarga baginda Zainab, Hassan, Hussain.

Bagaimanapun, semua perayaan ini telah dihentikan pada tahun 488 Hijrah atas perintah Perdana Menteri, al-Afdal Shahindah yang berpegang kuat pada sunnah seperti tercatit di dalam buku Al-Kamel, karangan Ibnu Al-Atheer.

Ia berhenti diraikan sehingga Al-Ma’moon Al-Bataa’ni memegang kuasa kerajaan.

Apabila kerajaan al-Ayubbiyyah merampas kuasa, semua perayaan itu sekali lagi dihentikan.

Namun begitu, masyarakat tetap merayakannya di kalangan keluarga mereka secara tertutup.

Pada Abad ke-7, Putera Muzafar Al-Deen Abi Sa’d Kawakbri Ibn Zein Ed-Deen ‘Ali- Ibn Tabakatikin telah mewartakan perayaan Maulid Nabi di Bandar Irbil.

Muzafar yang merupakan seorang sunni mengambil berat akan perayaan Maulidur Rasul hingga memerintahkan persediaan seperti mendirikan khemah, menghias khemah dan pelbagai lagi dilaksanakan seawal dan sebaik mungkin.

Setiap kali selepas solat Asar, Muzafar akan menyaksikan perayaan itu dalam khemah yang telah didirikan.

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP