Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, January 13, 2012

Tolong muslimat jawab tulisan Nasrudin Tantawi


MANA lebih kuat nas dengan budaya setempat. Ini nak jawab hujah Nasrudin Hasan Tantawi dia kata ke muslimat kena jaga budaya kita. Saya rasa budaya kita Melayu banyak berasaskan tatasusila Islam.

Dalam klik video di atas tidak nampak pun muslimat menyalahi budaya Melayu. Kalau tuduhan mengatakan muslimat menjerit, pada saya tidak keterlaluan. Berbanding dengan wanita dan puteri lagi teruk. Tapi kita sedih kerana Tantawi turut ikut terpengaruh dengan Utusan.

Dalam hadis Ummul Mukminin ‘Aishah r.aha:

Bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Nabi s.a.w berada di sisinya. Ketika itu ada dua penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi s.a.w bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dr Maza (Dr Asri Zainul Abidin) menjawab persoalan nyanyian ini. Harap pemuda PAS jangan keterlaluan.

Dalam riwayat Muslim yang lain menyatakan mereka memukul gendang sebagai alatan muzik iringan nyanyian mereka. Hadis ini menunjukkan sikap lunak Nabi s.a.w yang tidak melarang hiburan dalam bentuk nyanyian sekalipun berlaku dalam rumah baginda. Nabi s.a.w tidak bersikap keras mengenai hiburan seperti sesetengah mereka yang menggunakan nama agama untuk membenteras hiburan habis-habisan. Bantahan Abu Bakr ditolak oleh Nabi s.a.w secara berhikmah.

Ada sesetengah pandangan yang cuba menyatakan bahawa Nabi s.a.w tidak menolak dakwaan Abu Bakr bahawa nyanyian suara syaitan, cumanya hanya diizinkan disebabkan hari raya. Penghujahan seperti ini tidak kukuh. Sebabnya, apakah jika nyanyian suara syaitan maka pada hari raya ia tidak menjadi suara syaitan lagi dan selepas itu kembali menjadi suara syaitan semula?! Atau apakah pada hari raya maka suara syaitan dibenarkan? Cukuplah dengan teguran Nabi s.a.w itu sebagai satu bantahan umum atas kenyataan Abu Bakr. Suara syaitan sepatutnya bukan dikaitkan dengan hari dan waktu, tetapi dengan isi kandungan!.

Dalam riwayat al-Bukhari, juga dari ‘Aisyah r.a. bahawa

“Seorang wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka baginda bersabda: Wahai ‘Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan”. Maka, dalam hadis ini menunjukkan Nabi s.a.w prihatin dengan kecenderungan hiburan sesuatu kaum dalam majlis-majlis yang bertujuan untuk kegembiraan dan kesukaan seperti majlis perkahwinan. Mungkin hal ini boleh diluaskan kepada majlis sambutan kesukaan yang lain seperti majlis keluarga atau pejabat dan seumpamanya. Bahkan mengenai majlis perkahwinan Nabi s.a.w pernah bersabda: “Perbezaan antara yang haram dan yang halal adalah kompang dan suara dalam perkahwinan”. (Riwayat al-Nasai dan al-Tirmizi, hadis ini bernilai ‘hasan’).

Maksudnya perkahwinan yang halal dilakukan secara terbuka dan diistiharkan. Berbeza dengan perzinaan yang biasanya dilakukan secara senyap-senyap. Kegembiraan pada hari perkahwinan dizahirkan secara nyata dengan hiburan kompang atau alatan yang lain dan suara. Suara di sini ada yang menafsirkannya sebagai iklan pernikahan. Juga boleh ditafsirkan sebagai nyanyian.

Maka menjadi sunnah ketika majlis perkahwinan adanya hiburan seperti pukulan kompang dan suara nyanyian. Maka apa yang diamalkan dalam tradisi melayu ketika perkahwinan diadakan pukulan kompang dan nyanyian adalah tidak becanggah dengan ajaran Nabi s.a.w.

Dalam riwayat Muslim, Anas bin Malik menceritakan bahawa Nabi s.a.w mempunyai seorang pemandu unta yang akan menyanyi ketika dalam dalam perjalanan. Nama beliau Anjasyah. Kata Anas:

“Bahawa Rasulullah s.a.w mempunyai seorang pemandu unta yang mempunyai suara yang lunak. Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: “Perlahan wahai Anjasyah! Jangan pecahkan kaca (wanita-wanita)” (Riwayat Muslim).

Ulama hadis berbeza pendapat tentang maksud Nabi s.a.w dalam hadis ini. Namun, maksud yang dipaling dapat difahami ialah baginda meminta agar Anjasyah memperlahan lagunya kerana ia telah menyebabkan unta semakin pantas, sedangkan wanita-wanita iaitu isteri-isteri baginda mungkin tidak termampu bergerak sepantas itu. Ini menunjukkan bagaimana baginda tidak melarang nyanyian, sebaliknya menggunakannya untuk menggalakkan perjalanan. Cumanya, apabila menyebabkan kesusahan wanita, baginda meminta agar ia diperlahankan.

Dalam hadis lain, ‘Aishah menceritakan:

“Pada hari raya orang Sudan membuat pertunjukan permainan perisai dan lembing. Aku tidak pasti sama ada aku yang meminta, atau baginda yang berkata: “Apakah engkau ingin menontonnya?” Jawabku: “Ya”. Lalu baginda menjadikan aku berada belakangnya, pipiku menyentuh pipinya sambil baginda berkata: “Teruskan wahai Bani Arfidah (orang-orang Sudan)”. Sehinggalah aku jemu. Kemudian baginda berkata kepadaku: “Sudah cukupkah (jemukah)?”. Jawabku: “Ya”. Kata baginda: “Kalau begitu, pergilah”. (Riwayat al-Bukhari).

Demikian Nabi s.a.w memberi ruang untuk isterinya menikmati hiburan.

Ada sesetengah pandangan yang agak ketat dan ‘tidak luas’ terutama sebahagian mereka yang beraliran salafis yang menghadkan hiburan hanya pada hari raya sahaja atau dengan bentuk kompang tertentu sahaja. Mereka memahami hadis-hadis ini secara literal.

Bagi saya, pandangan ini boleh menyempitkan urusan muamalat dan kehidupan yang diluaskan oleh Islam. Soal hiburan bukan seperti ibadah khusus yang memang tidak boleh ditokoh tambah. Hiburan adalah sesuatu yang bermula dari titik tolak ‘harus’ atau keizinan umum syarak yang tidak boleh diharamkan melainkan dengan dalil yang jelas.

Hiburan adalah hak inovasi dan kreativiti insan yang diizinkan secara luas selagi tidak menyanggahi prinsip dan hukum yang Islam tetapkan. Apatah lagi baginda Nabi s.a.w apabila mengizinkan hal-hal ini semua menyebut pada hari berkenaan:

“Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah” (Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).

Pada hari ini ramai yang rasa Islam itu sempit dan menyongkong. Nabi s.a.w membuka ruang kegembiraan dan hiburan, agar Islam tidak difitnah dan dituduh demikian rupa.

Namun, sudah pasti di sana ada batasan yang mesti dipatuhi dalam setiap perkara. Hiburan juga ada disiplin dan batasannya. Al-Rubaiyi’ binti Mu’awwiz menceritakan bahawa:

“RasululLah s.a.w datang ke majlis perkahwinanku, lalu baginda duduk di tempat tidurku seperti engkau duduk. Beberapa orang gadis memukul kompang dan menyanyikan lagu kesedihan mengenang bapa mereka yang terbunuh semasa peperangan Badar sehingga salah seorang mereka berkata: “Di sisi kami ada nabi yang mengetahui apa yang akan berlaku pada hari esok”. Baginda bersabda: “Jangan engkau kata begitu, katalah apa yang engkau katakan sebelum itu” (Riwayat al-Bukhari).

Dalam hadis ini Nabi s.a.w tidak melarang nyanyian gadis-gadis tersebut. Lagu-lagu berlirik sedih yang dinyanyikan mereka juga tidak dilarang oleh Nabi s.a.w. Cumanya apabila mereka menyebut lirik yang salah atau bercanggahan dengan kebenaran maka ia ditegur oleh Nabi s.a.w. Dalam hadis ini Nabi s.a.w menegur ungkapan yang menyatakan baginda tahu apa yang akan terjadi pada esok hari. Hal ini tidak benar. Hanya Allah sahaja yang mengetahui perkara yang bakal berlaku.

Maka, lirik-lirik nyanyian hendaklah dipastikan tidak menyanggahi syarak seperti bercanggah dengan akidah yang sahih, atau mengajak kepada maksiat, atau membohongi fakta dan seumpamanya. Demikian juga jika ia diiringi dengan perbuatan yang haram, maka hiburan dalam bentuk seperti itu diharamkan.

Seorang muslim hendaklah melihat keluasan syarak ini sekalipun dia secara individu mungkin tidak menggemarinya. Mungkin seseorang yang kuat agama itu tidak gemarkan nyanyian, tapi tidak bererti mesti diharamkan terhadap orang lain. Sebaliknya, hendaklah dia amanah dalam memberitahu keluasan syarak dalam hal ini.

Di samping tidak wajar hidup ini disibukkan dengan hiburan sehingga melupai tujuan hidup yang sebenar. Hiburan hanya diambil dengan kadarnya sahaja, jangan dijadikan tumpuan hidup. Jika dijadikan tumpuan sehingga melupai tanggungjawab Islam, maka hiburan itu akan membawa kepada dosa dan maksiat kepada Allah.

1 comments:

ALI MAIDIN January 13, 2012 at 6:33 PM  

Tantawi belum layak jadi ketua muslimat. Inikan pula ketua pemuda. woooo. Kat UPSI pun datang lewat. Dok sibut dengan kenyataan akhbar je. No Action!!!!

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP