Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, January 31, 2012

Orang Asli tersepit antara dua kontraktor Umno bergaduh

Penduduk Orang Asli dari tujuh kampung mengadu teraniaya dan dihalang mendapatkan hak asasi mereka akibat pergaduhan dua kontraktor, kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Kuala Lumpur, tengahari tadi.

Dua kontraktor dipercayai penyokong Umno bertindak memutuskan paip poly berukuran 4 inci dan menafikan hak asasi itu kepada penduduk di Kampung Kuala Serting, Kampung Lubok Perah, Kampung Lengot, Kampung Petir, Kampung Lubok Tambangan, Kampung Pasal dan Kampung Durian Kuning.

Projek Kementerian Luar Bandar itu dilaporkan siap dan Orang Asli di situ telah menikmati bekalan air bersih dipam dari bawah tanah tetapi hanya sempat merasai kesenangan itu selama empat hari.

Difahamkan, tindakan tidak bertanggungjawab itu dilakukan akibat pertelingkahan di antara sub-kontraktor yang mahu memberi tekanan kepada kontraktor utama.

Kontraktor utama, Rossington Sdn Bhd. menerima projek tersebut pada 2009 dikatakan gagal melunaskan bayaran sebanyak RM2.9 juta kepada sub-kontraktor seperti yang dijanjikan. Sebaliknya kontraktor utama dalam kenyataan berasingan pula berkata bayaran telah dibuat.

Berikutan itu, Orang Asli mahu membuat laporan polis berhubung kerosakan itu tetapi dihalang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemayan, Datuk Mohd Hayani Abd Rahman.

Bagaimanapun atas bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik, Manolan Mohamad mewakili penduduk Orang Asli membuat laporan polis menghubung kejadian itu.

Mereka menggesa polis siasat dan mengambil tindakan keatas pihak yang tidak bertanggungjawab dalam merosakkan bekalan air itu.

Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sha'ani Abdullah mendengar aduan Manolan itu menyifatkan tindakan sub-kontraktor itu sebagai tindakan jenayah kerana memusnahkan harta awam.

Beliau berjanji akan memanjangkan perkara itu kepada pihak berwajib berkata, sub-kontraktor tidak sewajarnya mengambil tindakan sesuka hati sehingga menyebabkan kesusahan orang lain.

"Bila sebut harta awam, ia bukan lagi harta kerajaan. Kalau musnahkan harta awam, itu satu tindakan jenayah.

"Agensi penguatkuasa harus menjadi contoh yang baik dalam perkara ini dengan membuat pemantauan," katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada pihak yang membuat aduan bagi membolehkan Suhakam menjalankan peranannya.

"Banyak peruntukan yang diluluskan untuk penduduk Orang Asli dengan menjual nama mereka, tapi orang lain yang dapat untung.

"Perkara-perkara begini harus didedahkan supaya orang ramai tidak terpedaya dengan janji-janji dan pengumuman kerajaan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman berkata, pihaknya akan membawa wakil Orang Asli ini bertemu dengan Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Seri Shafei Afdal bagi mendapatkan penjelasan beliau.

Beliau berkata, Shafei harus menyatakan peruntukan sebenar projek tersebut, dan ia diberikan secara runding terus atau tender terbuka.

"Saya mengesyaki projek ini dijalankan secara runding terus kerana kalau buka tender, semestinya ada dokumen perjanjian dan sub-kontraktor boleh menyaman kontraktor yang belum bayar.

"Tapi kalau secara runding terus, beginilah jadinya dan amalan runding terus ini diamalkan oleh orang politik," kata Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Tambahnya, projek yang dimusnahkan itu adalah sebahagian daripada projek bekalan air ke seluruh Negeri Pahang semasa kempen pilihan raya umum (PRU), 2008 lalu bernilai RM112 juta.

“Memang tidak masuk akal, bertahun-tahun kerja memasukkan bekalan air bila dah siap dimusnahkan pula. Orang siuman tak akan buat kerja seperti itu. Kesian orang kampung, menunggu bekalan air bersih berpuluh tahun bila dah dapat cuma bertahan empat hari sahaja," katanya.

Wakil penduduk kampung Orang Asli Bera, Bob Manolan Mohamad berkata, pihaknya mahu Suhakam menjalankan siasatan berhubung perkara itu termasuk mendapatkan maklumbalas daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

"Kami berharap Suhakam dapat memberi tekanan kepada kontraktor dan kementerian yang terbabit kerana perkara ini menyulitkan orang kampung yang baru sahaja mendapat bekalan air bersih.

"Kami juga meminta Suhakam menghubungi Jabatan Kebajikan Orang Asli yang sampai sekarang belum membuat sebarang kenyataan walaupun aduan sudah dibuat," kata beliau sewaktu membentangkan perkara tersebut kepada Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sha'ani Abdullah. (Gambar atas)

Kerja-kerja membuka semula saluran paip itu dilakukan secara berperingkat pada minggu kedua bulan ini menyebabkan hampir semua projek itu musnah.

Dimaklumkan, penduduk baru empat hari menerima bekalan air bersih setelah bertahun-tahun terpaksa mengangkut air dari perigi dan sungai.

Enam kampung yang terlibat dalam projek bekalan air bersih itu ialah Kampung Kuala Serting, Kampung Lengot, Kampung Lubuk Perah, Kampung Patil, Kampung Lubuk Tambangan dan Kampung Pasal.

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP