Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, December 21, 2011

Hasan Ali mahu betulkan PAS terkeluar dari landasan

KUALA LUMPUR: Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali menyifatkan PAS mula dikuasai oleh golongan bukan ulama yang lebih cenderung mengamalkan politik akomodasi hingga sanggup mengorbankan prinsip perjuangan parti yang telah dipertahankan sejak penubuhannya.

Beliau mengucap penghargaan kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Harun Taib dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasaruddin Tantawi serta mereka yang bersimpati dengan beliau memperjuangkan prinsip perjuangannya.

“Prinsip saya adalah meletakkan semula PAS di landasan asal,” katanya yang juga Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, dalam sidang media di rumahnya di sini, Selasa lalu.

Ketika menjawab pertanyaan wartawan, Hasan berkata beliau pernah memberi tarikh untuk mengadakan perundingan tetapi pemimpin PAS Selangor tidak memberi maklum balas.

Beliau berkata demikian mengulas perkara ditimbulkan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman menggesa Hasan Ali berbincang dengan parti dalam menyelesaikan isu dan masalah yang wujud dalam sidang akhbar berlainan, di Shah Alam.

Abdul Rani dan timbalannya, Khalid Samad mendakwa Hasan dan bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa mengambil sikap tidak mahu dihubungi dan tidak memberi respons kepada usaha pemimpin parti itu yang cuba berhubung dengan mereka.

Hasan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Gombak Setia berkata beliau tidak kecewa tidak dilantik Pesuruhjaya PAS Selangor kerana semasa memegang jawatan itu beliau pernah mencadangkan kepada PAS supaya jawatan itu dipegang empat tahun sekali.

“Saya tidak kecewa kalau ketiadaan pencalonan untuk mempertahankan kerusi tetapi masa yang diumum oleh Saari itu tidak sesuai ketika saya dan keluarga meraikan anugerah sultan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan pemimpin tertinggi mengambil tindakan disiplin terhadap Ketua Penerangan PAS Selangor itu kerana beliau yang mula menyemai bibit perpecahan dikalangan ahli dan penyokong parti,” katanya.

Mengenai tuduhan Setiausaha Agung PAS, Hasan berkata beliau sedang melakukan pengukuhan dan memperkuatkan PAS supaya PAS tidak dilihat terumbang-ambing dan dilihat tidak konsisten dengan dasar perjuangan menegakkan Islam.

“Saya mempunyai fakta dan bukti bahawa masyarakat yang selama ini menyokong PAS mula mempersoalkan dan bercadang menarik diri daripada memberi sokongan kepada PAS lantaran landasan utama perjuangan parti telah dikesampingkan,” ujarnya.

Dalam soal itu beliau merujuk kepada seorang ulama Dr Aziz Hanafi dan Profesor yang beliau tidak sebutkan namanya.

Mustafa sebelum ini mendakwa beliau dan Nasharudin telah terperangkap dengan agenda Umno.

Hasan juga menyifatkan kenyataan Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar supaya beliau keluar PAS sertai Umno sebagai manusia yang bengkrap pemikiran dan jelas tidak mengikuti perkembangan mutakhir sesuatu isu.

Sementara itu Khalid dan Dr Rani menekankan bahawa parti tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas Hasan dan Nasharudin atas alasan kedua mereka masih boleh diselamatkan.

“Kami mahu menyelamatkan kedua-dua mereka, khususnya Hasan memandangkan kritikan beliau dituju kepada PAS Selangor, jangan rosakkan diri anda.

“Ada kerusi-kerusi lain yang boleh ditawarkan meskipun (Hasan) tidak mendapat pencalonan untuk tanding di Gombak Setia, kepimpinan parti boleh meletakkan di mana-mana tempat,” kata Khalid.

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP