Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, February 23, 2011

Pelajar Malaysia di Mesir terlalu manja atau MKN ketakutan

PELAJAR Malaysia yang melanjutkan pengajian di Mesir terutama mereka yang mengambil pengajian Islam dilaporkan turut balik ke tanah air bila Mesir bergolak dengan penunjuk perasaan mahu menjatuhkan Presidennya, Hosni Mubarak.

Kenapa mereka ini yang belajar di Mesir, ikut manja? Tidak sanggup menghadapi mehnaj dalam perjuangan? Apakah mereka ke Mesir semata-mata mencari ilmu secara berkitab tanpa mahu mempelajari ilmu perjuangan dalam masyarakat.

Sepatutnya kesempatan itu diambil oleh penuntut untuk mempelajari dan mendalami ilmu perjuangan secara amali kerana ia sesuatu yang sukar didapati dalam universiti.

Pelajar sepatutnya menjadi orang yang berani seperti pemuda pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sanggup keluar negeri membantu rakyat negara lain dalam kesempitan.

Mereka juga perlu ambil contoh rakyat Amerika Syarikat, Rachel Corey yang mati digilis bulldozer ketika mempertahankan tanah orang Palestin apabila diceroboh Israel.

Penuntut juga perlu menanam semangat inginkan cabaran. Sanggup menghadapi risiko dan jangan jadi penakut.

Apa lagi sebagai orang Islam, takut mati kerana sayangkan dunia tidak boleh ada dalam jiwa pejuang. Sepatutnya hati mereka cintakan syahid kerana kematian seumpama itu adalah cita-cita perjuangan.

Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Syaikh Yusuf al-Qaradhawi menfatwakan mereka yang terbunuh kerana turun berdemontrasi mendesak Mubarak berundur, sebagai mati syahid.

Beliau berdalilkan kepada hadis Nabi saw yang bermaksud; “Sebaik-baik orang-orang yang mati syahid ialah Hamzah r.a dan seorang lelaki yang pergi kepada pemimpin yang zalim, lantas menyuruhnya melakukan makruf dan menegahnya dari kemungkaran, lantas dia dibunuh.”

Kalangan pengajian doktor boleh menjadi seumpama Dr Jamilah Mahmood dalam NGO The Mercy, yang sanggup menggadai nyawa membantu rakyat Iraq mangsa serangan Amerika Syarikat dan rakyat Gaza, Palestin di serang Israel.

Sebaliknya kenapa mereka lari daripada medan jihad? Dakwa beberapa orang ustaz bahawa pelajar perlu balik kerana mereka sukar mendapatkan makanan dan wang belanja, jelas menunjukkan kemanjaan pelajar Malaysia.

Kerajaan Malaysia terpaksa menghabiskan wang berjuta ringgit dalam Operasi Piramid bagi menyelamatkan pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir untuk dibawa pulang ke tanah air.

Ops Piramid tersebut adalah atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dengan melibatkan beberapa agensi serta `peralatan' milik kerajaan, NGO dan sektor sawsta yang memakan belanja hingga berjuta-juta ringgit. Bagaimanapun difahamkan ia ditanggung oleh kerajaan.

Dikatakan keputusan serta tindakan bijak Najib dan kerja keras oleh semua pihak bagi menjayakan misi tersebut wajar mendapat penghargaan daripada semua pihak, terutama mereka yang terlibat serta keluarga masing-masing.

Namun disebalik itu, Najib sebenarnya tidak mahu pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir terpengaruh dengan kebangkitan warga Mesir yang boleh dibawa pulang ke Malaysia dan memberi impak kepada pemerintahannya.

Atas nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN), Najib sanggup mengarahkan kerajaan mengeluarkan perbelanjaan berjuta ringgit untuk membawa pulang pelajar terbabit.

Sehingga dilaporkan hanya tinggal dua ratus lebih sahaja yang masih kekal di Mesir kerana mahu menghadapi peperiksaan.

Dalam masa yang sama kerajaan Malaysia menjadikan isu kononnya pelajar ketakutan dan hendak dirogol sebagai alasan munasabah membawa pelajar pulang.

Sedangkan pada hakikatnya kerajaan tidak mahu pelajar terdedah dengan doktrin pembaharuan yang dibawa rakyat Mesir boleh meresap kepada pelajar Malaysia.

Sebagai pelajar ia mudah menerima perubahan maka sudah tentu menjadi ancaman kepada kerajaan Malaysia.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled, secara tiba-tiba menyatakan akan mengkaji pengajian kedoktoran di Mesir sedangkan ia telah diterima oleh kerajaan Malaysia sejak lama lagi.

Mengapa tiba-tiba mahu mengkaji pengajian kedoktoran di Mesir? Kenapa pengajian di Mesir dihebohkan cuti sehingga setahun?

Bagaimanapun perkembangan terbaru di Mesir dikatakan kerajaan mengambil sikap mengalah.

“Kita sebenarnya tiada tempat untuk pelajar dari Mesir menyambung pengajian dalam negara terutama yang mengikuti pengajian perubatan. Lagipun untuk kursus perubatan, kosnya jauh lebih mahal di negara ini berbanding di Mesir.

“Kalau ada tempat dan kosnya murah, sudah tentu mereka belajar di sini dan tidak perlu ke Mesir menyambung pengajian. Kita juga ada memikirkan beberapa alternatif untuk membantu pelajar perubatan di Mesir jika keadaan tidak pulih dengan memindahkan mereka ke beberapa negara yang turut menawarkan pengajian sama seperti Indonesia, Slovakia, Croatia, India dan Russia.

“Kita juga memikirkan kemungkinan pelajar yang terkandas untuk sambung di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Ada juga cadangan supaya tahun pertama dan kedua tanpa kursus klinikal boleh dilakukan di negara ini, namun timbul pula isu kekurangan pensyarah.

“Nisbah pelajar dan pensyarah dalam pengajian perubatan adalah 1:4. Buat masa ini, kita tak cukup tenaga pensyarah. Lagipun jurusan perubatan subjek kritikal yang mana kualiti sangat penting kerana membabitkan kesihatan dan nyawa. Mengenai nasib pelajar persendirian, mereka juga sama dengan pelajar tajaan.

“Soalnya di sini adalah mengenai pilihan, jika mereka memilih Mesir sebagai tempat menimba ilmu, kita tidak sekat terutama dalam pengajian agama. Kita terbuka untuk pelajar agama belajar di dalam atau luar Negara,” ujar Mohamed Khaled.

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP