Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, February 27, 2011

Cicit Tok Kenali, Bob Lokman dapat hidayah

PELAKON dan penulis lirik terkenal, Mohd Hakim Lokman atau lebih dikenali dengan nama Bob Lokman sudah bersedia menghadapi apa jua cabaran serta halangan yang bakal dilaluinya ekoran keputusan menyertai Pas pada Sabtu lalu.

Beliau berkata demikian apabila mendapat berita kemungkinan akan digam oleh Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) yang tidak senang dengan pengisytiharan beliau menyertai Pas.

Cicit kepada ulama terkenal di Kelantan, Tok Kenali (1870 - 1933) tampil dengan mengubah gaya hidup serta prinsip yang meyakinkan apabila berkata beliau redha dan bersedia menerima ketentuan Allah swt.

Menurut beliau, kematian rakan seni secara mengejut membuatkan dirinya semakin mahu mendekati dan mentaati Allah.

“Allah yang memberikan rezeki dan Allah yang menarik semua itu, saya tidak takut atau bimbang begitu juga dengan isteri saya kerana dia redha dengan apa yang saya mahukan dalam hidup ini,” ujarnya apabila menceritakan ada teman yang mahu mengadukan hal beliau kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim apabila sah menyertai Pas.

Pada 19 Februari lalu, penulis lirik lagu ‘Isabella’ ini telah mengejutkan banyak pihak kerana telah menyerahkan borang menjadi ahli Pas kepada Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Razak, Menteri Besar Kedah pada Majlis Himpunan 30 ribu pemuda Pas di Kompleks Pas Kota Sarang Semut, Alor Star, Kedah.

Beliau yang ditemui di sebuah restoran di ibu kota petang itu agak janggal dengan imej baru, berjanggut, berpakaian jubah, berserban dan bertongkat tidak seperti di zaman rokersnya berbaju t-shirt atau berkemeja dengan seluar jean sendat.

Tambah beliau, beliau tidak kisah kalau benar digam kerana sebelum ini beliau memang hidup senang dan dilimpahi kekayaan tetapi kekayaan itu membuatkan dirinya lupa dan lalai.

“Sebelum ini saya kaya, pendapatan 30 ribu hingga 50 ribu sebulan hasil perniagaan tetapi kekayaan itu tidak memberi ketenangan dan ketenteraman kepada saya. Kemudian saya jatuh, kejatuhan pertama menjadikan saya lupa dunia,” akuinya jujur.

Kemudian beliau kembali dilimpahi kekayaan yang berganda namun kekayaan itu membuatkan isterinya lari dan dirinya mengalami masalah tulang belakang hingga lumpuh selama lapan bulan.

“Kekayaan waktu itu tidak menjamin kebahagiaan kepada saya hingga isteri lari dan saya mengalami lumpuh. Kejatuhan kali kedua ini membuatkan semangat saya bertambah kuat dan saya lebih mendekati Allah walaupun ketika itu pendapatan saya tidak ada langsung.

“Saya tahu semua itu adalah atas kehendak Allah, ada masanya dia beri dan ada masanya dia tarik, saya redha atas apa yang berlaku. Bagaimana pun saya tetap akan berusaha mencari rezeki yang bersesuaian dengan diri saya,” katanya.

Bob anak kelahiran Kelantan Darul Naim ini juga mengakui hatinya telah lama untuk menyelami Islam secara syumul, namun kehidupan sebagai anak seni membuatkan dirinya agak terbatas ke arah tersebut.

“Saya tidak tahu bila akan mati tetapi dapat rasai umur tidak panjang kerana sudah dua kali sepatutnya mati akibat serangan jantung tetapi Allah masih memberi peluang, panjangkan umurkan saya.

“Saya mahu mati dalam Islam, tidak mahu mati dalam keadaan leka mencari wang”, ujarnya yang banyak membaca buku agama, mendengar ceramah dan mendekati golongan agama dan seterusnya menyertai jemaah kerana melalui cara itu beliau akan memperolehi apa yang dikehendaki selama ini.

Selepas apa yang berlaku ini, beliau mungkin akan meninggalkan dunia yang selama ini menjadi kegemarannya termasuklah dunia lakonan kerana baginya perjuangannya kini hanyalah untuk Allah.

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP