Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, October 10, 2011

Himpunan anti murtad 22 Oktober

SHAH ALAM 10 OKT : Gabungan pertubuhan Islam akan menganjurkan sebuah himpunan aman pada 22 Oktober ini bagi mengumpul dan menzahirkan suara umat Islam terhadap siri percubaan memurtadkan umat Islam.

Upacara dinamakan Perhimpunan Sejuta Umat (HIMPUN) akan diadakan di Stadium Shah Alam adalah untuk memberi satu mesej jelas bahawa akidah Islam adalah isu penting dan perlu diberikan perhatian, kata Pengerusi Bersama HIMPUN, Dr Yusri Mohamad.

"Sikap tegas, tidak kompromi berkaitan isu sensitif khususnya untuk memurtadkan umat Islam berterusan diambil oleh pihak tidak bertanggungjawab termasuklah kumpulan Kristian. Beberapa kes dirujuk termasuk insiden pemeriksaan JAIS di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

“Panganjuran HIMPUN adalah inisiatif dari pelbagai pertubuhan dan individu Islam sebagai wadah untuk menyedarkan kembali umat Islam tentang cabaran dan ancaman sedang melanda akidah Islam di negara ini khususnya ancaman pemurtadan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, semalam.

Sebagai rekod, pelbagai episod hitam melibatkan ancaman terhadap akidah umat Islam seperti kes Natrah, Jamaluddin Othman, Nor Aishah Bukhari, IFC, Azlina Jailani, dan yang terkini kes DUMC susulan siasatan JAIS pada 3 Ogos 2011 yang lalu.

HIMPUN akan bermula dari jam 2 hingga 5.30 petang hari itu.

Dr Yusri berkata kes DUMC membuktikan betapa pihak mendalangi usaha pemurtadan umat ini semakin berani dan aggresif dalam menggerakkan dakyah mereka.

"Kita melihat usaha Kristianisasi di kalangan orang Islam yang lemah dan terdedah dengan dakyah mereka semakin berleluasa," jelasnya.

Tambah Yusri, HIMPUN juga diharapkan menjadi suatu bukti jelas nyata bahawa umat Islam boleh dan akan bersatu tanpa mengira latarbelakang untuk mempertahankan aqidah mereka daripada diganggu-gugat oleh sesiapa sekalipun.

HIMPUN juga berhasrat menegaskan dan mendokong Institusi Raja-Raja Melayu sebagai payung dan penaung dalam menjaga dan memelihara agama Islam di negara ini.

Sekretariat HIMPUN dipengerusikan secara bersama oleh Mohd Azmi Abdul Hamid mewakili Majlis Perundingan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Dr. Yusri Mohamad mewakili Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) dan setiausahanya, Aminuddin Yahaya, mewakili Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP