Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, July 12, 2011

Dilema Najib menghadapi protes rakyat

APAKAH Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak sudah mula merasai penghujung pemerintahannya? Gelabah Najib makin ketara apabila beliau membuat kenyataan lintang pukang selepas kejayaan perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Najib kata beliau sanggup menghadapi pilihan raya adil dan bersih. Pengakuan itu jika di spin ia membawa makna memang sah pilihan raya sebelum ini tidak adil dan bersih.

Sepatutnya sebagai kerajaan beliau patut memberitahu bahawa pilihan raya Malaysia adil dan bersih. Najib patut mempertahankan demokrasinya adil dan bersih tetapi kenyataannya itu memberi gambaran sebaliknya.

Presiden Umno itu berkata demikian dalam satu perhimpunan di Dewan Merdeka, PWTC, sehari selepas Himpunan Bersih 2.0 yang dihadiri 6,000 orang.

Najib juga berkata; “Jangan ragui kekuatan kami. Umno ada tiga juta ahli. Jika kami dapat himpunkan sejuta ahli, ia lebih daripada cukup, kami boleh menawan Kuala Lumpur.

“Jika kami hendak mencetuskan huru-hara, kami boleh. Tetapi kami mahu mempertahankan undang-undang Malaysia, kami mahukan keamanan,” katanya.

Kecelaruan Najib sebenarnya ketara sebelum 9 Julai lagi, apabila beliau mahu Himpunan Bersih 2.0 dibuat di stadium tetapi apabila Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Ambiga Sreenivasan bersetuju mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka, beliau pula menuduh bersih pertubuhan haram.

Bersih 2.0 merupakan satu kempen daripada lebih 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan disokong oleh parti politik Pas, PKR, DAP, PSM serta parti di Sabah dan Sarawak. Barisan Nasional (BN) sama ada Umno atau sekutunya dalam BN tidak memberi respon kepada tuntutan pilihan raya bersih dan adil.

Bagaimana Najib boleh menuduh ia perhimpunan haram setelah diberi tawaran stadium kepada Bersih 2.0 akhirnya dirasakan boleh menggoyangkan kerajaannya, kononnya Kabenit membatalkan keputusan Himpunan Bersih 2.0 di Stadium Merdeka.

Sama ada Najib setuju menerima lapan tuntutan Bersih 2.0 supaya berlaku pilihan raya adil dan bersih pada pilihan raya umum (PRU) ke 13 akan datang, ia bukan perkara yang menguntungkan Najib.

Ini bermakna Najib tetap akan memilih jalan kedua iaitu meneruskan agendanya dan tidak melayan tuntutan Bersih 2.0 sebagai langkah penyelamat kerajaan.
Namun begitu jalan kedua beliau belum tentu selamat kerana kebangkitan rakyat sangat amat jelas yang perlu bagi Najib merenung apakah pemerintahannya diterima rakyat.
Najib perlu membuka kembali mindanya memerhatikan bagaimana rakyat di sekat di seluruh negara dan sekatan polis berlapis-lapis di ibu kota tetapi lebih 50 ribu boleh berhimpun di tengah kota.

Semangat tinggi yang ditunjukkan rakyat walaupun berjalan berpuluh kilometer bagi menyatakan kepada kerajaan bahawa mereka tetap mahu kepada pilihan raya adil dan bersih.

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP