Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, April 3, 2012

Pemuda Umno ada kepentingan perjuang tanah masjid

SEBENARNYA tidak timbul isu tanah masjid di Bayan Mutiara kerana ia merupakan tanah projek perumahan yang didalamnya akan ditempatkan masjid di situ.

Tanah seluas 102.6 ekar itu di Bayan Mutiara telah dijual melalui tender terbuka. Geran tanah tidak dipecah sempadan tetapi dijual secara menyeluruh.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkata pihak pemaju hanya akan memecah sempadan geran selepas pelan baru diserahkan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk kelulusan.

“Pelan baru dan pemecahan sempadan geran belum lagi dibuat, bagaimana pemuda Umno boleh mendakwa bahawa tanah masjid atau sekolah telah dijual atau dilenyapkan?

“Umno mesti ingat bahawa syarat-syarat biasa untuk sekolah dan tempat-tempat beribadat seperti surau atau masjid yang diwajibkan oleh pihak berkuasa tempatan semestinya akan termasuk dalam apa-apa projek pembangunan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan bagi menafikan dakwaan Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Shaik Hussain Mydin.

Pelan asal Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) seperti yang diluluskan oleh MPPP pada 30 Oktober 2006, pelan kebenaran merancang fasa satu Bayan Mutiara mempunyai pelbagai jenis perumahan turut merangkumi pembinaan kompleks penjaja, balai polis, pusat komuniti, tapak sekolah dan tapak masjid.

Apakah sebenarnya yang diperjuangkan oleh Shaik? Apakah tanah masjid atau kerana beliau tidak dapat projek tersebut?

Ini kerana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kongres Melayu Pulau Pinang mendakwa Umno merupakan pihak bertanggungjawab dalam memastikan bahawa tanah masjid di Bayan Mutiara tidak dijual kepada pemaju.

Presidennya Rahmad Isahak berkata, Umno yang menyertai pentadbiran Pulau Pinang sebelum ini sepatutnya telah memastikan bahawa tanah berkenaan dipecahkan kepada lot selepas pelan fasa 1 projek tersebut diluluskan MPPP pada 2006.

Katanya, Umno tidak bertindak untuk menggazetkan tanah berkenaan dalam tempoh satu tahun lima bulan, sebelum Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pentadbiran negeri itu pada 2008.

Rahmad mempersoalkan tindakan yang dilakukan Umno untuk memastikan bahawa tanah itu dipecah lot untuk dimilik Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), memandangkan pelan yang diluluskan itu kini telah tamat tempoh.

Mengikut undang-undang, pejabat tanah tidak dapat mengeluarkan geran milik tanah kepada MAIPP, atau untuk memindahkan milikan tanah itu sekiranya tidak dipecah kepada lot, katanya.

"Apa yang telah Umno lakukan daripada 2006 hingga 2008, sebelum negeri itu diambil alih Pakatan Rakyat.

"Di mana bukti undang-undang bahawa tanah itu telah digazetkan dan dipunyai MAIPP seperti didakwa Umno," kata bekas kakitangan mahkamah itu lagi.

Sehubungan itu, Guan Eng akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Umno, Utusan Malaysia dan akhbar lain daripada mengapi-apikan sentiment kaum dan agama bertujuan melemahkan kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Pakatan Rakyat (PR).

"Telah begitu lama (kita) bersabar apabila Umno menggunakan retorik perkauman dan agama untuk melemahkan pimpinan saya. Permainan yang merbahaya ini sudah melintasi had dengan fitnah oleh Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang bahawa saya telah menjual tanah masjid di Bayan Mutiara," katanya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan, turut berkata, fitnah yang berasaskan kepalsuan ini membuktikan slogan 1Malaysia yang menjadi omongan pemerintah.

“Hanyalah omongan kosong bagi meraih undi menjelang pilihan raya umum yang begitu hampir,” ujarnya.

Adalah difahamkan tanah tersebut telah pun dijual kepada pemaju baru Ivory Group dengan harga RM1.1 bilion secara tender terbuka.

Manakala pelan asal Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang telah diluluskan pada 30 Oktober 2006 oleh MPPP tidak boleh diguna pakai lagi setelah ia dibeli oleh pemaju yang baru.

Serangan bertubi-tubi yang dilakukan oleh pembangkang di Pulau Pinang, terhadap kerajaan negeri juga disifatkan sebagai tindakan terdesak bagi memberi persepsi negatif rakyat khususnya pengundi di negeri tersebut.

“Walau apa jua usaha pembangkang bagi menabur fitnah yang melampau, keyakinan rakyat sememangnya telah melonjak mahukan perubahan yang dilaksanakan oleh kerajaan sedia ada di Pulau Pinang dikekalkan,” ujar Guan Eng.

Sebelum itu lebih 50 orang ahli pelbagai NGO menyertai demonstrasi secara aman pada 30 mac lalu, di Georgetown, Pulau Pinang, mendesak Guan Eng memberi penjelasan mengenai dakwaan kerajaan negeri telah menjual tapak masjid di Bayan Mutiara.

Mereka berarak sejauh satu kilometer dari Masjid Simpang Enam selepas solat Jumaat dan berkumpul di perkarangan Komtar membawa sepanduk dan kain rentang yang tertulis pelbagai kata desakan.

Antara tulisan yang dilihat ialah ‘Kembalikan Tanah Masjid di Bayan Mutiara’ ,’Rakyat Mendesak Tanah Masjid Bayan Mutiara Diwakafkan’ dan ‘Pulangkan Tapak Masjid”.

NGO yang terlibat dalam perhimpunan itu ialah Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Suara Anak-anak Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiyah Malaysia, Persatuan Anak Jati Melayu Islam Pulau Pinang dan Badan Bertindak Rakyat Tertindas Pulau Pinang.

Beberapa wakil pertubuhan itu kemudian naik ke tingkat tiga bangunan Komtar yang menempatkan pejabat pentadbiran kerajaan negeri sebelum menyerahkan memorandum bantahan kepada Pembantu Khas Ketua Menteri, Marziah Mohd Mukhtar.

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP