Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, April 17, 2012

NFC buka ladang Kazakhstan atasi import daging?

AHLI Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin mempersoalkan tindakan National Feedlot Corporation (NFC) buka ladang di Kazakhstan kerana sasaran kerajaan berkaitan dengan projek lembu untuk mengurangkan import daging negara.

“Mengapa meneruskan kerjasama dan pembukaan ladang di Kazakhstan sedangkan sasaran projek ini adalah bagi mengurangkan kebergantungan daging import," soalnya dalam kenyataan media, hari ini.

Ketua Wanita PKR itu turut mempersoalkan tindakan kerajaan membenarkan NFC meneruskan perniagaan walaupun dimaklumkan projek akan ditender semula serta akaunnya dibekukan.

Pada 27 Mac lalu, Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa projek NFC akan ditender semula dan akaun syarikat dibekukan sementara bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Beliau merujuk kebenaran kepada Pengerusi NFC Datuk Sri Dr Mohamad Salleh Ismail untuk ke Singapura dan Kazakhstan masing-masing 23 April dan 5 Mei ini.

"Mengapa beliau dibenar ke Singapura dan Kazakhstan bagi tujuan lawatan perniagaan seolah-olah operasi perniagaan berjalan seperti biasa?” ujarnya.

Mahkamah Tinggi sebelum ini membenarkan Mohammad Salleh untuk menggunakan pasport beliau bagi tujuan perjalanan perniagaan dan mengarahkan ianya dipulangkan semula kepada mahkamah pada 16 Mei 2012.

Laporan akhbar The Star dan News Straits Time pada 14 April lalu melaporkan Mohamad Saleh perlu keluar negara bagi urusan perniagaan NFC.

Beliau akan berada di Singapura dari 23 hingga 26 April bagi memastikan perjalanan perniagaan di negara itu lancar.

Lawatan ke Kazakhstan pula akan diadakan pada 5 hingga 11 Mei bagi tujuan pembukaan ladang baru.

Manakala pada 11 hingga 15 Mei pula Mohammad Salleh didakwa mahu melawat anak perempuannya, Wan Izzana Fatimah Zabedah yang belajar di London.

"Saya mendesak agar Perdana Menteri dan Menteri Pertanian bertanggungjawab kepada persoalan-persoalan ini.

"Walaupun kes ini masih dalam siasatan pihak mahkamah namun kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan kes penyelewengan dana awam ini diselesaikan dengan adil dan bijaksana, bukan seperti melepaskan batuk ditangga," kata Zuraida.

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP