Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, April 24, 2012

Isu task force IC; Mohon tidak perkenan bubar Parlimen

JAWATANKUASA Anti Pemalsuan IC (Api) memohon Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenan pembubaran Parlimen selagi tiada penyiasatan dan pembersihan terhadap dakwaan senarai nama lebih 175,000 pengundi diragui berhubung isu task force pemberian IC. Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar, hari ini, menyerahkan senarai nama lebih 175,000 pengundi diragui kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad, di pejabat Penyimpan Mohor itu, di Jalan Bukit Petaling di sini. "Kita menuntut agar Tuanku tidak memperkenankan pembubaran parlimen sehingga Suruhanjaya Diraja selesai menjalankan siasatan dan mengambil tindakan yang perlu bagi membersihkan daftar pemilih daripada warga asing yang mendapat kerakyatan melalui pasukan khas ini," ujarnya kepada media selepas penyerahan tersebut. Beliau turut menggesa agar mereka yang didakwanya terlibat dalam 'task force' itu digantung tugas sehingga siasatan selesai. Memorandum tersebut dikatakan mempunyai semua bukti berhubung dakwaan wujudnya task force IC itu. Selain itu, Mahfuz juga turut memohon agar Tuanku menitahkan penggantungan tugas pegawai kerajaan terlibat dalam task force. Turut serta dalam pertemuan sebelum itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar dan Dr Siti Mariah Mahmud. Ahli Parlimen, Mohd Firdaus Jaafar, Adram Musa serta dua orang peguam yang menganggotai jawatankuasa Api. Selain melampirkan nama anggota task force, memorandum turut menyatakan sebahagian nama daripada 175,388 nama pemilih di seluruh negara itu tiada rekod dalam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Turut dikemukakan juga sebanyak 17,000 nama yang mempunyai nombor kod kelahiran 71 yang bukan berbangsa Melayu, Cina mahupun India. “Senarai itu mengandungi nama pengundi dengan kod kelahiran dengan "angka-angka pelik" dalam kad pengenalan,” ujarnya. Sejumlah nama yang ada dalam daftar pemilih itu juga didakwa terdiri daripada warga Nepal, Myanmar dan Filipina. "Kedatangan mereka boleh menggugat sistem beraja kerana di negara mereka tidak ada sistem raja berperlembagaan. "Malah di Nepal juga mereka telah menggulingkan raja mereka sebelum ini," kata ahli Parlimen Pokok Sena itu. Beliau berkata dengan penyerahan bukti itu, Majlis Raja-Raja dan juga Yang di-Pertuan Agong diharap berkenan untuk menubuhkan satu Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat perkara itu. "Kita juga turut mencadangkan Tuanku melantik Bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Kamil Awang untuk mengetuai suruhanjaya ini berdasarkan pengalaman dan keberanian beliau, atau mana-mana individu yang diyakini oleh Sri Paduka Baginda," katanya. Penyerahan senarai itu dibuat Mahfuz susulan dakwaan beliau sebelum ini bahawa wujud 'task force' yang beroperasi dari Pejabat Perdana Menteri dan memberikan kewarganegaraan kepada warga asing. Mengulas penafian Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Omar tentang penglibatannya dalam 'task force' itu, Mahfuz berkata Wan Ahmad hanya menafikan penglibatannya tetapi tidak menafikan kewujudan 'task force' itu sendiri.

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP