Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, March 2, 2012

Azizan patut tahu bila perlu berundur

MEMINJAM kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengingatkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bahawa seorang pemimpin, perlu tahu apabila sudah tiba waktunya untuk berundur.

"(Beliau) mesti fikirkan kesan kepada parti. Jangan terlalu sayangkan jawatan terlalu banyak,” kata beliau yang juga bekas Presiden Umno, kepada pemberita pada sidang media selepas ucapan sulungnya sebagai Canselor Universiti Perdana di Serdang, pada 14 Februari lalu.

Walaupun Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dikata tidak akan mendengar pandangan Umno, PKR, DAP atau dari mana-mana parti, kalau ada yang memberi tekanan kepada beliau meletak jawatan tetapi pergolakan yang tercetus hasil kepimpinannya memerlukan beliau membuat penelitian kepada kesan baik dan buruk kepada PAS.

Seperti pandangan Mahathir iaitu mesti fikir kesan kepada parti dan jangan terlalu sayang kepada jawatan, maka patut Azizan berlapang dada dan berbesar hati serta merendah diri untuk mengakui hakikat bahawa kepimpinannya membawa masalah kepada maufakat pemimpin parti.

Kenapa hilang kepercayaan timbul dalam masa pemerintahan beliau yang tidak sampai sepenggal? Sedangkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh memerintah lebih 20 tahun dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memerintah sepenggal Terengganu tidak berlaku pecah belah kepimpinan.

Apakah ini yang dikatakan gila kuasa kerana belum sampai sepenggal memerintah sudah tidak disenangi pemimpin dibawahnya? Melihat pergolakkan yang tercetus di negeri itu memang patut Azizan berundur.

Rakyat Kedah tidak mahu melihat perpecahan kepimpinan Kedah maka PAS perlu melakukan rombakan sebelum berlaku sebagaimana kepimpinan Umno di Terengganu.

Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Nawawi dalam kenyataannya berkata beliau sendiri membuat keputusan untuk tidak menyambung tugasnya sebagai exco kerajaan negeri Kedah. Ini kerana hubungan beliau dengan Azizan sudah mencapai tahap kritikal.

Katanya, beliau enggan dilantik semula sebagai exco kerana mempunyai perbezaan pendapat dengan Menteri Besar itu berhubung soal pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau menambah tindakan untuk tidak menyambung tugas itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak seperti yang dikaitkan sebelum ini iaitu Anwarism atau Erdogan untuk mendesak Azizan melepaskan jawatannya dalam kerajaan.

"Hal berkaitan khilaf atau berbeza pendapat tidak boleh dielak dalam mana-mana kepimpinan organisasi. Kadangkala dalam 10 perkara mungkin empat lima perkara tidak sependapat, tidak apa lagi tetapi kalau enam tujuh perkara tidak sependapat tidak wajarlah kita duduk dalam organisasi ini.

"Kenapa sekarang? Saya melihat tahun pertama PAS Kedah mula mentadbir parti masih terumbang-ambing lagipun tentulah tidak banyak keputusan kita buat, tetapi sekarang banyak perkara dan keputusan dibuat," katanya.

Semalam lapan anggota exco kerajaan negeri mengangkat sumpah jawatan di Istana Anak Bukit, Alor Setar.

Phahrolrazi antara dua exco sedia ada yang tidak termasuk dalam senarai mengangkat sumpah termasuk Datuk Dr Ismail Salleh.

Menurut akhbar rasmi Umno itu, Phahrolrazi mengakui sudah lama 'tidak sebulu' dengan Azizan berkata, ia melibatkan hal berkaitan pentadbiran kerajaan negeri yang meliputi isu kecekapan dan dalam perkara membuat sesuatu keputusan.

Menyentuh kemungkinan beliau akan menerima semula tawaran sekiranya dilantik sebagai exco, Phahrolrazi memberitahu, beliau sedia berbuat demikian, namun dengan beberapa syarat.

"Saya tidak boleh dedahkan syarat itu, biar ia jadi rahsia dulu," katanya.

Phahrolrazi juga mengakui bahawa Dr Ismail sependapat dengan beliau dalam soal pentadbiran kerajaan negeri.

"Selepas empat tahun mentadbir kita boleh menilai keberkesanan kerajaan negeri, jadi saya memilih untuk tidak lagi bersama barisan kepimpinan negeri," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan beliau bercita-cita mahu menjadi menteri besar, Phahrolrazi berkata, perkara tersebut tidak benar kerana beliau sepatutnya perlu terus berada dalam kerajaan negeri jika mahu memegang jawatan itu.

1 comments:

INSAN BIASA March 2, 2012 at 10:35 PM  

Kepimpinan PAS Pusat perlu buat tindakan segera kerana MB kedah dok rajin bela musuh dalam pentadbiran. cth :Pengarah PKB.

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP