Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, September 23, 2010

Kerajaan PAS Kedah terima nasib PAS Terengganu

Sekiranya tiada usaha bersungguh dilakukan PAS Kedah daripada sekarang menarik sokongan rakyat dan mengandakan kerja daftar pemilih, kebarangkalian kerajaan PAS Kedah jatuh pada pilihan raya umum akan datang seperti nasib kerajaan PAS Terengganu pada 2004 akan berulang.

PAS Terengganu memerintah negeri itu pada 1999 apabila memenanginya dalam pilihan raya umum ke 10 bagaimana tumpas pada pilihan raya umum ke 11, 2004. Kekalahan itu menyaksikan PAS Terengganu seolah hilang semangat kerana sampai sekarang gagal merangsang kerja daftar pemilih.

BN dimaklumkan pada pilihan umum ke 13 akan datang dijangka kecundang teruk dan hanya mampu menguasai dua negeri sahaja iaitu Terengganu dan Sabah.

Ini melihat kepada petugas PAS Terengganu hanya berjaya mendaftar 4,291 pengundi baru dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, jauh ketinggalan berbanding BN sebagaimana dicatat 9,477 didaftar oleh Umno manakala MCA (274).

Kemungkinan juga BN memperolehi satu negeri lagi dengan merampas Kedah daripada PAS apabila statistik pendaftaran pengundi baru yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di negeri itu untuk tempoh Januari hingga Jun tahun ini menunjukkan BN seramai 8,553 pengundi melebihi PR (8,080).

Dalam tempoh itu Umno Kedah berjaya mendaftar seramai 8,209 diikuti PAS (6,583). DAP (1,360), MCA (184), MIC (160) dan PKR (137).

Apakah Kedah akan mengulangi sejarah PAS Terengganu yang kecundang pada pilihan raya umum 2004?

PAS mempunyai keahlian kedua terbesar selepas Umno sebaliknya jatuh tempat ketiga dalam usaha mendaftar pemilih baru dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Bagi tempoh itu DAP mencatat paling ramai keseluruhan negeri mendaftar pemilih baru iaitu 55,321 diikuti Umno (54,872) dan PAS (38,631).

Penilaian tugasan tersebut menunjukkan prestasi yang tidak seimbang dengan banyak program yang dianjurkan parti itu jika dibandingkan parti politik lain.

Dalam usaha mendekatkan parti dengan pengundi baru PAS tidak segigih DAP dan Umno sedangkan konsep tarbiyah PAS `kerja ikhlas dapat pahala' mampu membentuk ahlinya bekerja kuat untuk rapat dengan pengundi baru disamping mendaftar mereka sebagai pemilih baru.

Bagaimanapun Kelantan menunjukkan prestasi yang memberangsangkan berjaya mendaftar seramai 15,853 berbanding Umno (5,474), PKR (362) dan MCA (62) bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini. Di sini DAP tidak menumpukan pemilih baru.

Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Kelantan, Datuk Abdul Fatah Harun, berkata PAS negeri itu mempunyai strategi tersendiri dalam usaha menarik pengundi baru mendaftar.

"Daftar pemilih satu kerja yang orang yang kata kalau tak gigih tak boleh buat, kalau tak bersemangat betul tak boleh buat dan kita ada strategi sendiri yang tak boleh didedahkan," katanya.

Pakatan Rakyat (PR) dijangka dapat menguasai kembali Perak Daruk Ridzuan sekiranya berdasarkan penilaian jumlah daftar pemilih baru yang diusahakan parti dalam PR seramai 8,920 berbanding BN (3,685).

Barangkali faktor ini juga menjadi pengaruh kuat sehingga BN tidak berani membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak untuk mengadakan pilihan raya kecil sebagaimana dicabar PR.

Perak dirampas BN pada 6 Februari 2009 apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PR mengisytiharkan sebagai calon bebas menyokong BN. PR mendesak dibubarkan Dun dan mencabar BN mengadakan pilihan raya kecil negeri itu tetapi tidak diendahkan BN.

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin membawa kes tersebut ke mahkamah. Pada 9 Februari 2010, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dengan sebulat suara mengisytihar Dr Zambry Abdul Kader sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

DAP mencatat jumlah teramai mendaftar pemilih baru sejak Januari hingga Jun tahun ini di Perak dengan 5,627 orang. PAS pula seramai 2,110 dan PKR (1183).

Umno di tempat kedua selepas DAP di negeri itu, berjaya mendaftar seramai 2,782. Bagaimanapun MCA, MIC dan Gerakan tidak mencapai jumlah yang memberangsangkan masing-masing sekitar 654, 179 dan 70.

Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Sarawak kemungkinan menjadi negeri tidak selamat bagi BN. Sekiranya penilaian tersebut menjadi kenyataan, jalan ke Putrajaya menjadi cerah bagi PR.

Buat pertama kali rakyat Malaysia akan menikmati dunia politik baru yang sering menjadi impian kepada penuntut perubahan dengan negara adil, pendidikan terbuka luas, kebebasan bersuara dan keselamatan terjamin tanpa perlu takut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan paling penting suara rakyat didengari pemerintah.

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, PR Johor mendaftar pengundi baru seramai 18,129 manakala BN (14,768). Umno mencatat pengundi baru teramai iaitu 13,125 diikuti DAP (10,693), PKR (5,362), PAS (2,074), MCA (1,201), MIC (424), Gerakan (14) dan PPP (4).

Dalam tempoh yang sama juga PR Negeri Sembilan mencatat 1,427 pengundi baru melebihi BN seramai 1,258 orang. Sekali lagi DAP menguasai pengundi baru seramai 1,281 diikuti Umno (1,233), PKR (96), PAS (50) dan MIC (25).

Begitu juga keadaannya di Melaka PR tetap didepan mendaftar pengundi baru iaitu 982 orang berbanding BN (624). DAP masih lagi mengekalkan prestasi dengan mengumpul seramai 626 pengundi, Umno (593), PAS (356) dan MCA (31).

Negeri pantai Timur, Sarawak juga tidak ketinggalan akan dikuasai PR apabila DAP mendaftar pengundi baru seramai 1,335 manakala PKR (972).

Persaingan sengit PR dan BN dijangka berlaku di Pahang apabila PAS berjaya mendaftar seramai 2,028 diikuti DAP (639) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini manakala daripada BN, Umno mencatat 2506 pengundi, MCA (88) dan MIC (28).

PAS pula diramal menawan Perlis berdasarkan gerak aktif petugas PAS Perlis sejak Januari hingga Jun tahun ini, berjaya mendaftar seramai 464 pengundi baru berbanding BN (64) iaitu 55 orang daripada Umno dan selebihnya MCA.

Sementara itu PR dijangka tidak menghadapi masalah mengekalkan pemerintahan di Selangor dan Pulau Pinang serta terus menguasai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Di Selangor PR dapat mendaftar pengundi baru seramai 13,721 manakala BN (6,683) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. DAP daftar baru seramai 7,831, Umno (6,014), PAS (4,516), PKR (1,374), MCA (329), Gerakan (243) dan MIC (106).

Jurang ketara berlaku di Pulau Pinang antara PR dengan BN. Dalam tempoh yang sama DAP mendaftar pengundi baru seramai 20,274 orang. Dicampur dengan PKR dan PAS (22,195) berbanding BN (3,133).

Begitu juga di Kuala Lumpur, PR mendaftar seramai 7,316 orang manakala BN (543). Pendaftaran pengundi baru DAP teramai iaitu 5,319 diikuti PKR (1,984), Umno (375), MIC (160), PAS (13) dan MCA (8).

Sementara kenyataan terbaru Pengerusi jawatankuasa panel pendaftaran dan penyediaan daftar pemilih SPR, Datuk Zainal Abidin Mat Said, berkata jumlah pemilih berdaftar di seluruh negara kini meningkat kepada 11,381,193 orang dengan pewartaan daftar pemilih tambahan (DPT) suku kedua tahun ini yang mengandungi 191,970 pemilih, hari ini.

Menurut beliau, DPT bagi tempoh 1 April hingga 30 Jun itu terdiri daripada 164,821 permohonan pemilih baru dan 27,149 permohonan pertukaran alamat pusat mengundi.

"Dalam masa yang sama SPR telah mengeluarkan sebanyak 58,303 orang pemilih daripada rekod pemilih berdaftar atas sebab-sebab seperti meninggal dunia dan dilucut hak warganegara," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Zainal Abidin berkata bagi DPT suku pertama tahun ini, seramai 157,327 pemilih telah didaftarkan dengan 134,298 daripad adalah pemilih baru manakala 23,029 merupakan permohonan pertukaran pusat mengundi, menjadikan jumlah pemilih berdaftar pada ketika itu adalah 11,247,525 orang.

Beliau berkata pendaftaran pemilih pada tahun ini juga mencatatkan peningkatan mendadak daripada tahun lalu, yang mencatat purata 85,000 pemilih pada setiap suku.

Dengan itu, jumlah pemilih yang layak tapi masih belum berdaftar kini berjumlah 2,241,565 orang dan SPR akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mencapai sasaran untuk mengurangkan kadar itu kepada sekurang-kurangnya 50 peratus, katanya.

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP