Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, October 4, 2011

Hudud: Kewajiban umat Islam

KUALA LUMPUR: Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata hudud bukan isu politik sebaliknya ia tuntutan agama untuk umat Islam dan diharap tiada kengkangan, halangan serta campur tangan mengutuk umat Islam menghayati kewajibannya.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan Pas berkata atas sifat saling menghormati dan toleransi beragama, golongan bukan Islam boleh tidak menyokong hudud, tetapi MCA jangan membuat tuduhan liar, hudud penghalang kebebasan beragama dan hak asasi individu.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media, baru-baru ini, mengulas resolusi persidangan MCA menolak pelaksanaan hudud kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, menghalang kebebasan beragama dan hak asasi individu.

“Ia mendedahkan pelbagai kelemahan yang sangat ketara khususnya dari sudut maklumat dan pengetahuan asas tentang Islam dalam Umno dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Tambah beliau, Enakmen Jenayah Syariah Kelantan (1993) dan Terengganu (2003) yang telah diluluskan dalam kedua Dewan Undangan Negeri (Dun) harus diterima kerana ia melalui proses sistem demokrasi yang diperakui oleh perlembagaan negara.

“Kedua enakmen ini hanya dikenakan kepada orang Islam sahaja manakala golongan bukan Islam dikecualikan dari perundangan syarak kerana mereka bukan Islam,” ujarnya.
Katanya, tidak timbul soal Islam menyekat kebebasan agama lain, atau menyekat amalan dan penghayatan agama lain.

“PAS melihat suasana saling menghormati, memahami dan tidak mencampuri urusan agama lain perlu dikekalkan demi keharmonian negara. Rakyat Malaysia mesti memahami bahawa di sisi umat Islam melaksanakan perundangan Islam adalah sebahagian dari ajaran Islam yang mesti dilaksanakan, sebagaimana kewajipan sembahyang, puasa dan lain-lainnya,” katanya.

Beliau berkata, perundangan Islam bersifat kawalan dan pencegahan agar masyarakat selamat dari anasir yang boleh merosakkan keharmonian masyarakat dan negara, di samping menjamin keselamatan nyawa, harta, maruah, akal dan agama.

“Kerana itu, melaksanakan peraturan Islam adalah tuntutan maqasid syariah, bukan sebalik sebagaimana yang didakwa oleh sebahagian golongan yang kurang arif tentang Islam,” katanya.

Beliau juga menyeru golongan yang tidak mengerti tentang perundangan Islam dan bukan ahlinya agar tidak membuat komentar yang bertentangan dengan realiti perundangan Islam itu.

“PAS mengharap pakar perundangan dan mereka yang berautoriti dari sudut syarak tampil memberikan pandangan mereka, seperti para mufti, alim ulama dan lainnya agar membantu masyarakat memahami sistem perundangan Islam ini.

“Kepada yang tidak menyokong perundangan Islam, anda boleh terus tidak menyokong, namun ingin ditegaskan bahawa adalah amat tidak adil sekiranya anda juga menyeru umat Islam melupakan hasrat ini selama-lamanya,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP