Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, October 27, 2011

Fitnah lucah blog Umno makin menjadi-jadi

DUNIA blog Malaysia belum habis dengan cerita tidak bertamadun. Selepas berpenat mencari bahan seks lucah untuk memusnahkan karier politik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim blog pro Umno kali ini menjadikan bahan yang sama untuk menjatuhkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Namun hal ini lebih malang apabila anak Setiausaha Agung DAP itu yang tidak ada kena mengena dengan politiknya turut menjadi mangsa fitnah politik.

Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang, Rahmad Isahak menasihatkan pemimpin Melayu supaya jangan sampai kuasa politik mereka ditolak oleh orang Melayu sendiri atas kesilapan berlandaskan ketamakkan kuasa.

“Orang Melayu harus diyakini bahawa politik lucah dan porno bukanlah falsafah perjuangan pemimpin Melayu di Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di Pulau Pinang, 25 Oktober lalu.

Beliau berkata, orang Melayu juga sudah muak dan letih dengan permainan politik begini.

“Sebagai sebuah NGO Melayu bertapak di Pulau Pinang dan berkecuali, kami dukacita dan rasa terhina sekiranya benar isu tersebut dimainkan oleh pemimpin politik Melayu.

“Bagaimana soal ekonomi Melayu dapat dipertingkatkan jika sesama pemimpin Melayu gemar bermain politik?

“Jika benar pemimpin Melayu jadi dalang terhadap fitnah terhadap pemimpin Cina, (ini) bakal menjadi liabiliti politik yang (hanya akan) merugikan orang Melayu,” katanya mengulas dakwaan penulis blog pro-Umno terhadap anak remaja Guan Eng.

Blog Dr Mim (novandri.blogspot.com) menuduh pelajar sekolah berusia 16 tahun itu mencabul kehormatan rakan sekelasnya dan akibat itu terpaksa dipindahkan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Heng Ee.

Blog binatang

Blog pro-kerajaan, Rakyat Malaysia (hambali1.blogspot.com) namun seorang yang relevan meminta blog pro-Umno berkredibiliti, bukan bersifat `binatang’.

Beliau bertanya benarkah blogger pro-Umno sengaja mahu ‘membunuh karakter’ Lim Guan Eng apabila membawa cerita anak lelakinya ‘meraba tetek’ seseorang pelajar?

Lapornya, pemblog pro-Umno, seperti Papa Gomo (papagomo.com) dan blog ketua Umno Bukit Gelugor, Dr Novandri Hasan Basri (Dr Mim) didakwa memfitnah anak lelaki Ketua Menteri telah mengganggu rakan satu kelas dan telah cuba mengelak hukuman dengan menggunakan nama bapanya.

Sedangkan 'bukti' diketengahkan tidak sedemikian.

Apa buktinya?

Bukti 1: Semalam Pengetua SMK Heng Ee menegaskan dakwaan kononnya anak lelaki Lim Guan Eng pernah mengganggu seorang pelajar perempuan sekolah itu secara seksual tidak benar sama sekali.

Goon Boon Poh berkata beliau terkejut apabila membaca dakwaan itu dalam akhbar dan mahu mengakhiri isu ini kerana ia boleh menjejaskan nama baik sekolah.

“Dakwaan ini sama sekali tidak benar. Sangat mudah, ia tidak benar sama sekali,” kata Goh kepada The Malaysian Insider.

“Blog-blog berkata insiden ini berlaku Mei tahun ini. Anak Ketua Menteri tidak menjadi pelajar sekolah ini sejak awal tahun ini,” katanya lagi.

Malah kata Goh, gambar yang diposkan dalam blog bukan anak Lim dan mangsa yang didakwa juga bukan pelajar SMK Heng Ee.

Bukti 2 : Semalam DAP seperti dilaporkan Malaysiakini mendedahkan gambar, yang digunakan oleh blog pro-Umno untuk melontarkan dakwaan serangan seksual terhadap anak lelaki Lim, sebenarnya merupakan juara catur berusia 21 tahun, Anya Sun Corke dari Hong Kong.

Corke yang kini mewakili England tiada kaitan dengan Pulau Pinang dan tidak pernah belajar bersama dengan anak lelaki Lim di George Town.

Sebaliknya dia sedang mengikuti pengajian di Wellesley College, Amerika Syarikat.

Jadi?

Kenalah cari bukti agar blog Pro-Umno yang setengahnya 'makan upah' tidak seperti ‘binatang’, serta punya kredibiliti.

“Kalau blog berkenaan tidak dapat buktikan, 'mampuslah' kita!” kata Rakyat Malaysia.

Fitnah wanita

Fitnah menggunakan wanita bukan baru dan berlaku zaman para Nabi lagi. Ia menjadi senjata ampuh untuk menjatuhkan musuh dan pemimpin sebagaimana yang berlaku keatas Nabi Yusof as.

Dari Abu Said al-Khudri ra dari Nabi saw bersabda: “Maka hati-hatilah terhadap dunia dan hati-hatilah terhadap wanita, kerana fitnah pertama yang menimpa bani Israel disebabkan wanita.” (Hadis riwayat Muslim) (At-Taghaabun 14-15).

Minda Sejagat.Net (mindasejagat.net) berkata dahsyatnya fitnah wanita telah disebutkan dalam al-Quran dan Hadis.

Bahkan surah Ali Imran 14 menempatkan wanita sebagai turutan pertama banyak dicintai manusia dan pada ketika yang sama menjadi fitnah paling berbahaya untuk manusia.

Rasulullah saw bersabda; “Tidaklah aku tinggalkan fitnah yang lebih besar bagi kaum lelaki melebihi fitnah wanita.” (Bukhari dan Muslim).

Ada banyak cerita masa lalu baik yang terjadi di masa Bani Israil mahupun di zaman Rasululullah saw berkait wanita yang dijadikan objek fitnah.

Kisah seorang rahib yang membakar jari tangannya untuk mengingatkan diri dari azab neraka ketika berhadapan dengan wanita.

Kisah penjual minyak wangi yang mengotori dirinya dengan kekotoran agar wanita yang menggodanya lari.

Nabi Yusof difitnah

Cerita nabi Yusuf as yang diabadikan al-Quran. Itu kisah mereka yang selamat dari fitnah wanita.

Sedangkan kisah mereka menjadi korban fitnah wanita hasil daripada perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab lebih banyak lagi.

Ini adalah persitiwa lalu hasil daripada perbuatan manusia tidak bertamdun. Allah SWT mewahyukan kisah lama supaya menjadi peringatan kepada ummah sekarang dan akan datang supaya peristiwa kotor itu tidak berulang.

Namun manusia lalai daripada peringatan Allah kerana tidak membaca al-Quran dan mereka membacanya tidak memahami apa yang Allah SWT sampaikan.

Ederan Salindah (edaransalindah.com) mengingatkan ummah dengan maksud ayat daripada surah al-Hujurat; “…dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain…”

Dan maksud ayat 11, surah al-Qalam; “Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai).”

Sekiranya dapat disabitkan pihak melakukan kesalahan fitnah, ia boleh dikenakan hukuman qazaf atau takzir mengikut jenis kesalahannya.

Katanya Allah SWT memberi peringatan dalam surah al-Hujurat, ayat 6; “Wahai orang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Himpun gagal Pas disalahkan

Himpunan Sejuta Umat pada 22 Oktober lalu diadakan di Stadium Shah Alam menunjukkan kegagalan pihak penganjur apabila tidak sampai 10 peratus hadir daripada jangkaan 100 ribu orang.

Ameno World (amenoworld.blogspot.com) pula mempertikai laporan media yang menyalahkan Pas apabila himpun itu gagal.

“PAS buat apa pun salah. Pergi salah. Tak pergi pun salah. Sokong salah. Tak sokong pun salah. Awang Selamat tak boleh macam neh. Dia tak boleh salahkan PAS dalam semua hal. Dia tak boleh menuduh PAS sebagai punca kegagalan Himpun.

Katanya, PAS tiada kaitan dengan Himpun dan tidak melarang ahlinya menyertai Himpun tetapi PAS tegaskan ahlinya tidak akan menyertai himpuan atas label politik.

“Tapi ahli pas masih boleh menyertai himpun atas kapasiti orang Islam. Ko nak pergi, ko pergi. Ko tak nak pergi ko punya pasal. Larang? Tak pernah. Jadi, kat sini tang mana pas bersalah pula,” soalnya.

Sebaliknya kata beliau kenapa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Muhyiddin Yassin tidak hadir di program itu sedang beliau membuat lawatan ke Selangor

“Kenapa dia tak hadir himpun? Kenapa tak persoalkan ketua sendiri tapi sibuk pasal orang lain?

“Mana pergi menteri agama Malaysia yang nama Jamil Khir? Mana ustazah cantik yang nama Mashitah? Setiap satu negeri ada mufti, mana pergi semua mufti negeri? Dan mana pergi 3 juta ahli Umno?

Ikatan Muslimin Malaysia (ismaweb.net) pula mendakwa himpun berjaya menzahirkan sikap sebenar sesetengah pihak terhadap isu survival Islam di negara ini.

Penegasan Artikel 11 (4) berhubung ‘kebenaran untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama (lain) di kalangan orang Islam’, ia seolah-olah telah dikesampingkan.

Kejayaan program ini juga dapat dilihat melalui iltizam kesemua pembentang untuk tidak menzahirkan atau mempromosikan agenda parti atau badan masing-masing.

Seruan kesatuan umat dalam mendaulatkan Islam bertali arus di celah laungan takbir dari mulut semua pembentang.

Ramai yang terharu dengan munajat Datuk Dr. Hassan Ali, yang sanggup hadir bagi menzahirkan keperihatinannya sebagai hamba Allah dan ‘meninggalkan’ jawatan Exco Selangor dan pimpinan Pas Pusat.

Keadaan ini telah memberi isyarat penting kepada ahli politik, di sana telah ada aliran ketiga yang akan memimpin cara fikir dan tindakan umat ini.

Arus ini akan berkembang dan bakal menjadi pengimbang bagi mengatasi keserabutan perebutan kuasa politik yang telah membarah.

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP