Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, October 24, 2011

Himpun: Saya mohon pandangan berbeza

PADA 22 Oktober, umat Islam hadir ke Stadium Shah Alam untuk menyuarakan bantahan terhadap peningkatan kes murtad dilaporkan di Malaysia.

Keengganan PAS untuk tidak menyatakan sokongan dilihat sedikit sebanyak menempangkan gerak langkah gabungan NGO ini.

Walaupun masih lagi dinaungi oleh NGO lain, namun kegagalan menarik PAS turut sama terlibat dalam Himpun ini dilihat bakal memberikan impak yang bukan kecil.

Mengapa Himpun? Agaknya, apa perasaan kita, selaku orang Islam, tatkala penganut Buddha beramai berkumpul menyatakan kebimbangan mereka apabila 'murtad'nya penganut Buddha dengan kembali kepada Islam?

Apa jeritan hati kecil kita, tatkala para pendokong Hindu, menyuarakan bantahan dengan berkumpul beramai, mencela penganutnya yang menganut Islam?

Soalnya, mana sensitiviti kita terhadap konsep keharmonian agama yang selama ini kita junjung bersama?

Harus diingat, kita sepatutnya gusar, seandainya golongan hadir ke Himpun hanyalah mereka yang sudah sebati dengan Islam sekaligus meninggalkan puak yang masih hanyut, jauh di belakang.

Target mad'u terlalu terbuka seperti ini dilihat menyukarkan perkembangan dakwah yang sepatutnya menjadi titik permulaan bagi membasmi gejala murtad yang kian membarah di bumi ini.

Sasaran utama kita haruslah mereka yang masih tidak sedar gejala murtad merebak dalam diam, namun, akan datangkah golongan sebegitu dalam perhimpunan seumpama ini?

Usah menuding jari kepada agama lain. Lihat sendiri, apa orang Islam laksanakan untuk menyuburi hati orang Islam. Sebenarnya, di mana kita dalam menangani isu murtad?

Berapa banyak bajet dalam belanjawan diperuntukkan untuk menangani gejala sosial dalam kalangan anak muda? Berapa program realiti yang menjarakkan manusia dengan nilaii Islami dihentikan? Berapa konsert hiburan yang berjaya dibatalkan?

Sejauh mana dakwah Islam benar-benar konsisten menyirami hati-hati gersang warga Islam di Malaysia? Berapa banyak gerakan dakwah dijana pada peringkat kerajaan? Cukupkah dengan sekadar penganjur Musabaqah al-Quran saban tahun?

Dan, benarkah kita percaya, dengan Himpun, barah murtad bakal sembuh? Berapa ramai non-muslim akan kembali pada fitrah mereka, yakni Islam? Berapa ramai pula orang Islam yang sudah murtad akan insaf, dan bertaubat dengan pulang ke pangkuan Islam?

Saya berpendapat idea Himpun, adalah cukup baik. Namun, saya bimbang seandainya dengan Himpun, persepsi non-muslim terhadap muslim akan lebih buruk. Mungkin jurang antara agama akan wujud dengan lebih besar selepas ini. Dan secara langsung akan memberi kesan kepada usaha dakwah di bumi Malaysia.

Pandangan saya, Himpun hanya satu cara, dan kita masih punya beraneka alternatif lain bagi menangani gejala murtad seperti ini. Jangan semakin bezakan kita dengan mereka, jika tidak bagaimana mereka akan menuruti kita? Jadi, saya mohon tampil berbeza.

Nukilan Mohamad Izzat Ghazali, UIAM.

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP