Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, June 5, 2012

Belia world class berani bersama himpunan hijau

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu menutup kebimbangan Umno terhadap Himpunan Hijau ke Putrajaya pada 1 Jun lalu di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah, dikatakan mendapat sambutan sehingga dihadiri 100 ribu.

Katanya, jumlah besar membanjiri program PAS di Kedah tidak akan diterjemahkan di kertas undi. Sebagaimana biasa untuk mengubat rasa cemas Umno beliau mendakwa mereka yang hadir itu dibayar. Dakwaan yang sama oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pemimpin Umno dan Mahathir tahu perhimpunan anjuran parti itu mengeluarkan wang berjuta ringgit untuk mengangkut dan memberi imbuhan supaya hadir dalam program mereka. Malah menjadi perkara biasa sekiranya ada laporan terutama kakitangan kerajaan mengatakan mereka dipaksa hadir ke program Umno.

Himpunan Jutaan Belia yang diadakan sempena sambutan Hari Belia Negara 2012 di Putrajaya pada 23 hingga 27 Mei dikatakan melibatkan belanja RM15.1 juta.

Himpunan bertema ‘Hari Ini Lebih Baik Berbanding Hari Esok’, 500 aktiviti membabitkan 38 segmen dengan 1,000 persembahan, memperlihatkan kerajaan lebih ghairah menghidangkan elemen hiburan berbanding kerohanian.

Aktiviti hiburan seperti tarian dan nyanyian juga bertentangan dengan konsep wasatiyyah yang dicanang Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Kerajaan mengutamakan konset K-Pop dari Korea dan menghalau kuliah perdana Ustaz Azhar Idrus dijadualkan di Putrajaya Internasional Convension Centre (PICC) pada 26 Mei iaitu sehari sebelum berakhir Hari Belia Negara 2012 pada 27 Mei.

Difahamkan Setiausaha Politik Najib, Datuk Jailani Ngah telah menghubungi dan meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) agar membatalkan kuliah tersebut. Kuliah tersebut kemudiannya dipindah ke Masjid As-Salam, Puchong Perdana.

Jailani memberi alasan kononnya dikhuatiri akan berlaku pertembungan program dan kesesakan lalulintas yang teruk di Putrajaya kerana kuliah itu akan berlangsung serentak dengan sambutan belia yang juga diadakan di Putrajaya.

Perhimpunan itu turut mengundang malapetaka apabila satu kemalangan berlaku ketika acara perlumbaan drag di Lebuh Wadi Ehsan di Presint 19 pada 26 Mei. Seramai 17 penonton perlumbaan drag cedera termasuk empat parah apabila sebuah kereta perlumbaan terbabas sebelum melanggar penonton.

`Orang yang suka berak tengah jalan dia akan tuduh orang lain juga berak tengah jalan’. Itu tuduhan yang dilontar Mahathir dan Muhyiddin kepada perhimpunan hijau bagi mengatasi rasa gerun Umno terhadap kebangkitan pembangkang.

Kalau PRU ke 12 pada Mac 2008 dikatakan berlaku tsunami mengubah secara senyap landskap politik bahagian utara semenanjung tetapi kali ini ia berlaku secara spontan keterampilan rakyat menyatakan secara berterus terang mahu buat perubahan politik.

Mereka menyatakan secara lahiriah bermula 28 April dalam perhimpunan Bersih 3.0 di Kuala Lumpur. Selepas itu Umno membalas dengan sambutan ulang tahunnya pada 11 Mei lalu dan mendakwa dihadiri 100 ribu orang.

Umno mengambil kesempatan diwar-warkan kononnya program Umno pada Hari Belia Negara 2012 di Putrajaya yang dihadiri lebih sejuta orang.

Namun perhimpunan hijau di Kedah melenyapkan sama sekali keyakinan Umno dalam menghadapi PRU ke 13 kerana kehadiran orang PAS begitu memberangsangkan walaupun tanpa pemimpin PKR dan DAP.

PAS seolah menunjukkan kekuatan tersendiri tanpa bergantung kepada Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tetapi sambutan tetap diluar dugaan.

Mereka bukan sahaja berhimpun malah diuji dengan hujan lebat tetapi orang ramai tetap tidak berganjak dan sanggup `basah kuyup’. Kalau mereka ini dibayar rasanya separuh yang ada di stadium itu hilang kerana mencari perlindungan apabila menghadapi ujian tersebut.

PAS ternyata menunjukkan kehebatannya tersendiri kerana mampu menarik sebahagian besar dalam perhimpunan itu adalah terdiri orang muda.

Kehadiran golongan belia itu bukan untuk mendengar dan melihat K-Pop atau hiburan semata-mata tetapi diatas kesedaran politik yang tinggi. Mereka mahukan perubahan dan bebas daripada tekanan hidup.

Bagi mereka hiburan hanya mampu melenyapkan keserabutan dalam tempoh sementara tetapi ia bukan penyelesaian kepada masalah mereka `dililit’ dengan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Mereka mahukan kebajikan sebagai rakyat terjaga, pendidikan percuma, keselamatan dan keamanan yang lebih sejahtera. Bukan hanya laungan keamanan tetapi hakikatnya rakyat sering terancam pelbagai jenayah bunuh, rompak, curi, rogol dan ragut serta tekanan politik yang menyekat kebebasan mengkritik dan menegur kerajaan serta pihak berkuasa.

Mereka mahu hidup sebagaimana di zaman Khalifah Umar bin al-Khattab yang boleh dikritik walaupun ditempat awam.

Khalifah Umar suatu hari pernah membahagikan kepada rakyatnya pakaian lalu beliau naik keatas mimbar dan berkata: "Wahai manusia dengarlah!"

Tiba-tiba bangun Salman al-Farisi berkata: "Kami tidak mahu dengar."

Lantas Umar bertanya: "Kenapa wahai Salman?"

Jawabnya: Engkau berikan kami semua seorang sehelai, sedangkan engkau memakai dua helai."

Kata ‘Umar: "Jangan tergesa-gesa wahai Salman."

Lalu Umar memanggil anaknya Abdullah.

Kata Umar: “Aku menyerumu dengan nama Allah, bukankah pakaian yang aku pakai ini adalah peruntukanmu yang engkau berikan padaku."

Jawab Abdullah: “Ya!”

Maka kata Salman: "Sekarang kami akan dengar". (Ibn Qutaibah, ‘Uyun al-Akhbar, 1/55).

Tiada hukuman pun keatas orang yang tegur Umar secara terbuka dikhalayak ramai, sedangkan itu ‘Umar bin al-Khattab.

Nabi saw sendiri pernah dipersoalkan beberapa tindakan baginda seperti tentang isi perjanjian Hudaibiah yang baginda meterai.

Baginda tidak menghukum pengkritik. Sedangkan baginda seorang nabi.

Sekiranya Salman dan sahabat yang menegur Nabi saw itu wujud zaman sekarang dan mengkritik pemimpin secara berdepan, mungkin mereka akan di ISAkan atau disaman di mahkamah kerana membuat tuduhan membuta tuli.

Inilah pemuda baru yang begitu ramai hadir dalam perhimpunan hijau di Kedah itu. Minda mereka ternyata berbeza dengan belia yang hadir di konsert K-Pop di Putrajaya.

Sebab itu tidak hairan Muhyiddin mengingatkan jentera pilihan raya BN bahawa PRU ke-13 kali ini adalah penentu `hidup dan mati’ parti tersebut.

"Pilihan raya umum ke-13 kali ini adalah penentu hidup mati Barisan Nasional. Bangkit atau jatuhnya BN akan ditentukan dalam pilihan raya kali ini.

"Justeru saya menggesa setiap jentera parti memberikan keutamaan kepada setiap kerusi negeri dan Parlimen," tegasnya kepada lebih 1,000 jentera BN Kuala Lumpur di Stadium Titiwangsa pada 3 Jun lalu.

Belia di Stadium Darul Aman Kedah adalah `world class’ meletakkan kepentingan masa depan mereka dan orang lain. Malah belia ini menjadi penyelamat belia K-Pop yang tenggelam dalam dunia keseronokan sementara serta bahan penipuan Umno.

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP