Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, January 21, 2011

Azizi mahu jerit tengok Nik Aziz menggigil

ADA peristiwa besar berlaku pada 15 Januari bagi blogger Pakatan Rakyat yang mereka boleh tanda sebagai peristiwa bersejarah.

(Gambar: Azizi bersama Rosem dan YB Kelantan di malam blogger 15 Januari)

Keadaan ini bertambah syahdu apabila dikenangkan bagaimana Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap gigih menghadirkan diri di Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra bersama blogger di sebuah hotel di Kuala Lumpur, walaupun jelas kelihatan keuzuran beliau.

Bagaimanapun peristiwa di hotel malam itu banyak dilaporkan blog pro Pakatan Rakyat (PR) dan tidak lagi sekadar menulis dari kedai kopi.

Penulis dan blogger, Azizi Abdullah (aziziabdullah.blogspot.com) berkata: “Saya hampir-hampir hendak menjerit ketika melihat Nik Abdul Aziz, tergagah-gagah, terketar-ketar dengan tenaga lemahnya menaiki pentas di Dewan Ballroom Hotel Grand Season Kuala Lumpur pada malam itu.

Mahu saya mengutuk pihak penaja yang mengadakan dialog dengan blogger kerana menjemput Tuan Guru malam itu kerana melihat kedaifannya, lemah tenaganya memaksa Tuan Guru datang. Sedangkan siangnya beliau di Terengganu dan datang ke Kuala Lumpur untuk dialog bersama blogger, naik kereta selama 4 jam.”
Soal beliau Kenapa tak naik saja kapal terbang.

Tulis Azizi, tapi hasrat mahu mengutuk beberapa Exco Kelantan, terutama YB Dr. Mohamed Fadzli Dato’ Hassan, selaku meneraju utama malam itu, kebetulan beliaulah yang memeluk dan beramah mesra sangat dengan saya sebelum acara, apa lagi YB Zainuddin Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Limbong yang awal-awal lagi menyambut, tidak jadi dan perasaan saya bertukar serta merta apabila mendengar ucaputama Nik Abdul Aziz.

‘Itulah Tuan Guru,’ bisik saya kepada Supian dan Marzuki Sharif yang menemani saya malam itu.

Saya cuba bandingkan YB yang bertaraf menteri, exco kerajaan BN, pasti tidak akan melakukan hal seperti itu. Setidak-tidaknya sebuah bilik eksklusif bertaraf ***** disediakan untuk berehat sebelum majlis.

Kemudian apabila mendengar ucaputama mengapa setua itu pun beliau masih tidak meletak jawatan atau berhenti, saya sangat teruja walaupun itu sudah berkali-kali beliau berucap.

Pertemuan bloger malam itu, walaupun negeri-negeri lain juga mengadakannya, bagi saya ia satu peluang untuk melihat apa yang selama ini terlindung dan tidak terdedah sewaktu Pas Kelantan memerintah.

Saya hadir atas tiket blogger yang mahu mencemuh kepimpinan Pas Kelantan kerana nada memperjuangkan syariat Islam berbeza dari tahun-tahun 60an, 70an, 80an, 90an dan apa lagi setelah bersama DAP, PKR. Hudud tidak pernah saya dengar sekarang.

Ternyata kepimpinan ulama negeri Kelantan bijak dengan maqasid syariyahnya, pendekatan hikmahnya. Saya terkedu apabila ‘adinda’ YB Exco Takiyuddin menjelaskan satu persatu.

“Kalau tak mampu menanggung beras seguni, jangan tinggal semuanya. Bawa sekadar mampu,” jelas Tuan Guru.

Saya teringat beberapa komen dalam blog saya beberapa kawan yang tidak bersetuju dan menuduh Pas sudah dicucuk hidung, sudah menggadai maruah Islam kepada DAP. Malam itu jika mereka sempat bersama, persoalan dan cemuhan ini akan menolong mereka mengerti sedikit sebanyak.

“Kalau Umno baik dengan MCA, dengan MIC, tolak Islam tak apa. Tapi kenapa Pas baik dengan DAP dan Pas tak tinggal Islam, tak boleh kita terima?” tanya Tuan Guru.
Ini pertanyaan fanatik tapi jika kita mahu menjawab dengan jujur, sangat besar ertinya.

Atas nama pentadbiran Islam, Kelantan boleh berbangga dari segi hutang, dari segi rasuah, dari segi ketelusan, dari segi amanah, dari segi kejujuran jika dibanding dengan pentadbiran negeri lain. Semua ini digarispandu oleh Islam dan hidup di dalam roh Islam dan diamal oleh tubuh-tubuh berjiwa Islam.

Lebih 200 blogger malam itu, saya dapati ia merupakan angkatan yang sering mengintai kelemahan kerajaan Pas Kelantan untuk dikritik dan ditegur. Mereka nampaknya sedia membantu jika ia mempunyai satu garis panduan yang jelas.

“Sepatutnya penulis-penulis juga patut mengadakan satu dialog dengan kepimpinan Tuan Guru, seperti malam ini,” kata kartunis Rosem.

Bagaimanapun pertemuan malam itu tidak sehangat perang blogger BatuApi@FireStone (batuapi-firestone.blogspot.com) dengan kumpulan blogger Tulang Besi (malaysiawaves.com) dan Aduka Taruna (adukataruna.blogspot.com).

Mungkin menghormati majlis Abdul Aziz atau Batu Api tidak timbul. Tulang Besi pada malam itu juga tidak kelihatan maka tidak ada pihak yang boleh menguji kekuatan tulang beliau.

Namun perangai mahu melagakan Mursyidul Am Pas (Nik Abdul Aziz) dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Aziz Nik Mat tetap wujud apabila EdyesDotCom (edyesdotcom.blogspot.com) ketika mengemukakan pertanyaan sempat berkata beliau bernazar akan sujud syukur jika Presiden Pas berani buat dialog sebegini.

Sehubungan isu perang dan fitnah maya hingga melarat kepada menantu Abdul Hadi, Zaharuddin Muhammad. Bermula daripada tuduh-menuduh melalui tulisan blog, ia melarat kepada debat dengan blogger Wan Ji @ al-Bakistani (g-82.blogspot.com) yang juga berpendidikan Islam. Debat itu bertajuk Pimpinan Pas Tidak Boleh Ditegur? pada 1 Februari, di Dewan Perhimpunan Cina di Kuala Lumpur.

Ummi Hafilda: Anwar jangan angkuh, Namrud kalah kerana nyamuk

Akhbar melaporkan Ummi Hafilda Ali mencabar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdebat dengannya terlebih dahulu berhubung kebenaran kes salah laku seks beliau sebelum mencabar pihak lain.

Katanya, Anwar tidak perlu berdebat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tentang Pelan 100 Hari yang dicadangkan pakatan pembangkang kerana ia tidak memberi sebarang faedah.

“Saya cabar Anwar berdebat dengan saya. Saya juga cabar Azmin Ali untuk berdebat dengan saya sebelum berdebat dengan Perdana Menteri,” katanya pada sidang akhbar pada 13 Januari.

Sebaik laporan itu tersiar, maka banyak blog mengungkit kembali cerita Ummi yang telah lupa daripada ingatan seperti mana kata Tun Dr Mahathir Mohamad; “Melayu mudah lupa.”

Banyak blog pro Pakatan Rakyat melakukan posting kembali cerita lama Ummi. Milo Suam (milosuam.blogspot.com) membangkitkan skandal beliau dengan bekas Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Lapor Milo Suam satu lagi skandal Mike Tyson terbongkar iaitu beliau mempunyai hubungan sulit bagi tujuan seks dengan Ummi Hafilda.

Pada 23 April 2001 ( Isnin) yang lalu, sekitar jam 9.00 pagi, isteri Muhammad Taib telah menyerang Ummi Hafilda di sebuah restoren di Sri Hartamas.

Ummi yang baru selesai 'breakfast' dan sedang membuat pembayaran di kaunter, telah diheret ke dalam kereta dan diserang oleh isteri Tan Sri Muhammad Taib.
Ummi Hafilda pandai juga menjawab sindiran Anwar. Srikandi 7 (srikandi7.blogspot.com) mengambil kisah Raja Namrud diserang nyamuk untuk menasihatkan Anwar supaya tidak angkuh berhubung cabaran debat beliau.

Anwar sebelum itu menyifatkan cabaran debat Ummi Hafilda tersebut sebagai soal nyamuk yang mungkin membawa maksud perkara kecil.

Pilihan raya umum Julai 2011

Perbincangan tarikh pilihan raya umum ke 13 masih hangat dilaporkan dalam blog. Bagi orang politik yang tersingkir daripada dicalonkan semasa pilihan raya umum ke 12 atau sebelumnya tetapi mengintai peluang pada pilihan raya akan datang.

Ia bukan perkara yang lekang. Kerusi sudah jadi simbolik. Bacaan politik mesti tajam untuk mencari ruang agar terpilih sebagai calon. Itu baru dalaman parti, belum lagi pertembungan parti lawan parti.

Kuda Kepang (kuda-kepang.blogspot.com) melaporkan tahun ini juga berhadapan dengan persoalan sama ada Pilihan Raya Umum (PRU) 13 akan diadakan dalam tempoh terdekat, mungkin selari dengan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak Jun atau Julai 2011.

Tambah beliau, banyak penganalisis dan pemerhati sentiasa memperkatakan kemungkinan PRU13 diadakan tahun 2011 iaitu dua tahun lebih awal daripada tempoh tamatnya Parlimen ke-12 pada Mac 2013.

Blog ini telah memberikan pendapatnya menerusi posting pada Jumaat 10, Disember 2010, dengan tajuk Persoalan Strategik Menjelang PRU13.

Antara komen yang menarik mengenainya adalah daripada Spycatcher yang mengketengahkan soal perisikan terhadap kesiapsediaan BN di peringkat akar umbi.

Saya amat setuju dengan Spycatcher kerana perisikan memainkan peranan penting untuk menentukan kesediaan BN mengadakan PRU13 pada bila-bila masa sebelum Mac 2013.
Selain itu, BN perlu mewujudkan sistem perisikan multi-sumber, jangan hanya bergantung kepada risikan rasmi Kemas, Jasa, Seranta Felda, MIO dan SB sahaja.

BN perlu mempunyai satu mekanisme khas untuk double check seluruh laporan rasmi pihak-pihak ini, bukan kerana tidak mempercayai mereka yang selama ini pun sudah menjalankan tugas cemerlang, tetapi untuk menentukan segala-galanya adalah sahih dan benar kerana PRU13 adalah amat mencabar dan penuh dugaan.

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP