Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, April 20, 2011

Seorang India untuk pembunuh 1Malaysia

MELIHAT wajah Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed di akhbar, terdetik hati saya rasa macam pernah berjumpa.

Rupanya beliau sering makan di kedai Razak di Masjid Subang, Selangor, selepas solat Jumaat. Saya jadi ingat apabila kawan saya, Yaakob Subang menceritakan Sarbani selalu berbual politik di tempat perniagaan di masjid itu.

Bukan soal untuk menilai Sarbani salah atau tidak tetapi kematian beliau di pejabat Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) amat tragis dan memilukan apabila dikenang kematian sama menimpa Teoh Beng Hock.

Apakah SPRM hanya perlu menunggu seorang sahaja lagi iaitu daripada kaum India untuk mencukupkan nama suruhanjaya pembunuh rakyat Malaysia sebagai gelaran pembunuh 1Malaysia.

Sepatutnya kejadian pertama sudah diambil pengajaran. Sebaliknya SPRM masih belum bertaubat, nyawa rakyat Malaysia tidak ada harga langsung.

SPRM boleh biarkan hidup orang yang dia rasa mahu orang itu hidup dan matikan orang yang dia rasa mahu orang itu mati. Ambil nyawa orang semacam dia rasa berkuasa macam tuhan.

Perangai itu seumpama Firauan yang mengaku tuhan, membunuh orang yang dia mahu matikan dan membiarkan hidup orang yang dia hendak hidupkan.

Sementara Kesatuan Kastam memutuskan untuk mendapatkan penjelasan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan mahu nama agensi itu dibersihkan selepas seorang penolong pengarahnya, yang disoal siasat di bawah Operasi 3B, ditemui mati di pejabat SPRM.

Kesatuan Pegawai-pegawai Kastam Semenanjung juga mahu SPRM membuat penjelasan mengenai kematian Ahmad Sarbani Mohamed di aras satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane kelmarin dan membersihkan namanya daripada dilabel “kes bunuh diri.”

“Kami berharap nama Sarbani akan dibersihkan daripada perkataan bunuh diri,” kata presidennya Ibrahim Ahmad kepada pemberita selepas pertemuan kira-kira dua jam dengan Cuepacs, badan induk kesatuan sekerja awam itu di Kelana Jaya dekat sini.

Turut hadir pada majlis hari ini ialah Persatuan Pengawai-pegawai Kanan Kastam, Kesatuan Pegawai-pegawai Kastam Sarawak.

“Kami mahu mengadakan pertemuan dengan perdana menteri untuk dapatkan penjelasan dan membersihkan nama Kastam,” kata beliau.

“Kami juga mahu bertemu dengan ketua SPRM dan dapatkan penjelasan dan apa yang SPRM mahu lakukan selepas ini,” kata Ibrahim.

Beliau juga meminta SPRM supaya bertindak profesional dalam proses soal siasat mereka dan tidak menyebabkan sebarang kecederaan ke atas saksi dan suspek.

Tubuh suruhanjaya

“Suruhanjaya Siasatan Diraja mesti ditubuhkan untuk mensyiasat kematian Allahyarham Sarbani dengan serta-merta dengan melibatkan masyarakat sivil serta menyiasat struktur dan organisasi SPRM dalam kes ini,” kata Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Wartawan Rasmi Laman Reformasi (wrlr.blogspot.com) melaporkan DAP melahirkan rasa marah di atas kejadian seumpama ini sedangkan tragedi kematian Teoh Beng Hock masih belum dapat diselesaikan. Adakah SPRM masih belum bangun dan mendapat pengajaran?

Setiausaha DAP, Lim Guan Eng berkata kematian Ahmad dan beberapa rantaian peristiwa yang menyebabkan kematian mengingatkan kembali kematian tragis Setiausaha Politik DAP, Teoh Beng Hock di Ibu Pejabat Bangunan SPRM, Selangor.

Walaupun SPRM telah berjanji bahawa kes seperti itu tidak akan berulang selepas kematian Teoh Beng Hock dan tempoh jawatan Pengarah yang lepas tidak disambung, namun kematian Penolong Pengarah Ahmad pagi tadi menunjukkan bahawa SPRM tidak pernah belajar daripada kematian tragis Teoh.

Rakyat Malaysia tidak mempercayai kata-kata beberapa pemimpin BN bahawa Teoh telah membunuh diri. Malahan mereka percaya bahawa Teoh dibunuh. Persoalannya terletak kepada kerajaan, sejauh manakah kerajaan serius dalam mencari siapa yang bertanggungjawab dan seterusnya mengambil tindakan.

Kematian tragis Ahmad akan menimbulkan kecurigaan yang lebih mendalam dan seterusnya menghancurkan kepercayaan orang ramai terhadap kaedah operasi dan cara penyiasatan SPRM.

DAP menyeru agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat kematian Ahmad.

Suruhanjaya ini akan menentukan punca kematian, menghukum mereka yang bertanggungjawab dan melaksanakan langkah perlindungan bagi memastikan suspek yang dipanggil tidak akan cedera ataupun mati ketika dalam tahanan SPRM.

Dayak penentu nasib Pakatan

Green Cresent (greencresent-wanibrah.blogspot.com) menulis sejarah pilihan raya Sarawak pada kali ini mencipta rekod tersendiri, apabila berlaku persaingan di semua kerusi Dun.

Ini bermakna, semua Dun berlaku penyertaan semua parti untuk bertanding untuk menduduki Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak bagi penggal ke-10. Sekaligus memberi maksud, pilihan raya kali ini amat mencabar, terutama bagi Barisan Nasional (BN) berikutan setiap kali pilihan raya sebelum ini, sentiasa ada kerusi Dun yang menyaksikan BN menang tidak bertanding.

Demikian pula, pilihan raya penggal ke-10 negeri Sarawak ini turut menyaksikan pertembungan langsung parti penyandang majoriti dengan parti oposisi.

Pembahagiaan demografi pengundi Dun di Sarawak amat ditentukan peluang menang atas sentimen suku kaum. Sebanyak 30 kerusi Bumiputera/Dayak amat signifikan bagi BN dan Pakatan Rakyat (PR). Ia diikuti dengan 26 kerusi (36.62 peratus) Melayu/Melanau dan Cina hanya 15 Dun (21.13 peratus).

Apa pun PR (khasnya bagi DAP dan PKR) berpeluang dan berpotensi besar di Dun kawasan bandar yang majoriti Cina, di samping turut meletakkan harapan besar di semua kerusi Bumiputera/Dayak.

Sementara di Dun Melayu/Melanau nampaknya pihak PBB masih utuh, kecuali di beberapa Dun sekitar Batang Seribas dan Batang Lupar seperti Lingga, Sebuyau dan Beting Maro.

Ditambah lagi dengan perkembangan terkini, nampaknya beberapa isu pilihan raya berkaitan dominasi Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang sudah di penghujung dan isu politik pembangunan yang menghambat undi BN dianggap relevan menentukan pola sokongan kepada Pakatan rakyat.

Ia mungkin dirancakkan lagi dengan kesedaran pengundi yang amat sangsi dengan polisi tanah adat (native customary rights) yang selama ini dikelirukan oleh pihak berkuasa negeri pimpinan PBB.

Walau pun begitu, isu tempatan dan keupayaan calon memikat hati pengundi amat penting dalam konteks politik perkauman Sarawak. Maka faktor sentimen perkauman menuntut semua parti bertanding mengolah cara tersendiri untuk mendekati dan memenangi hati pengundi.

Sarawak: BN tumbang?

Yang Ku Dengar dan Ku Lihat (newkk.blogspot.com) menceritakan diseberang sungai tempat saya menginap, puluhan ribu orang ramai berduyun-duyun seperti pesta untuk mendengar ceramah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walau pun ada usaha untuk 'pelaga' Anwar dan Ezam bersyarah ditempat yang sama dengan dipisahkan tempat parking kereta tapi ternyata orangramai berpihak kepada ceramah Anwar.

Sambil menunggu Anwar sampai saya diminta supaya memberi ceramah tapi saya menolak dengan alasan saya belum boleh bersyarah politik kerana saya tidak menjadi ahli mana mana parti politik lagi.

Insya Allah bulan Mei nanti akan saya serah borang untuk menyertai parti politik yang pastinya bukan parti Umno.

Isu liwat, video lucah yang dijaja oleh Ezam tidak melemahkan penyokong PR terus setia bersama Anwar. Ini dapat dilihat puluhan ribu pendengar tidak berganjak sehingga ke selesai majlis dan mereka berasak-asak untuk bersalam dengan Anwar.

Yang paling teruja apabila Anwar menyebut nama Tok Guru Nik Aziz (Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mata) yang juga berada di Sarawak. Lantas suara takbir bergema menanda sokongan rakyat terhadap Tok Guru dan Pas. Suara PR memang kuat di Sarawak kini.

Di warung khatulistiwa ditepi sungai Sarawak kini rakyat sedang bertanya-tanya kenapa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak seperti kucing jatuh anak sanggup mahu datang berkampung di Sarawak.

Apakah Najib dapat merasakan bahawa Taib Mahmud sudah menjadi beban kepada BN Sarawak dan kerajaan BN akan tumbang di Sarawak.

Itulah barangkali nasib yang akan menimpa BN Sarawak sekiranya Najib tidak cepat memberi perhatian yang serius.

Najib tidak mahu BN akan kalah isu Taib Mahmud. Najib tahu sekiranya BN masih bercadang mengekalkan Taib Mahmud jadi Ketua Menteri itu bermakna menyerahkan kerajaan BN kepada PR.

Tsunami politik di Sarawak akan lebih teruk lagi bermula esok apabila perpecahan berlaku diantara penyokong Taib Mahmud dengan penyokong Najib berhubung dengan kuasa di Sarawak.

Persoalannya siapa lebih berkuasa antara Taib dengan Najib di Sarawak akan berkumandang mulai esok setelah ada ura-ura satu pengumuman akan dibuat bahawa selepas BN menang pilihan raya nanti Taib Mahmud tidak lagi akan dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Siapa akan ganti Taib akan menyebabkan BN Sarawak akan hilang sebuah kerajaan.

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP