Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, April 8, 2011

Blog Revolusi 2013 jana pengundi pilihan raya umum ke 13

HILANG rasa minat menulis di tabloid bila Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (UM), Dr Abu Hassan Hasbullah berkata kajian dari Februari hingga Mac 2008 mendapati blog berada ditangga teratas dengan 39.2 peratus berbanding akhbar 14.8 peratus, televisyen 23.5 peratus dan media baru lain 26.2 peratus.

“Kalau ada pihak mendakwa akhbar masih laku. Itu kata dia. Mungkin ada… Metro,” ujarnya ketika membentangkan kertas kerja di Konvensyen Blogger Pas dan Pakatan Rakyat, Sabtu lalu.

Bagaimanapun kandungan akhbar tersebut, kata beliau tidak mengancam orang politik.

Saya mengikuti perbincangan tersebut dan merasakan penulisan akhbar semakin kerdil berbanding blog.

Walaupun begitu blog tidak ada instrument yang jelas kerana ia bertabur dan pemilikan individu. Kalau ada penulisan yang baik sekalipun kemungkinan ia tidak tercapai oleh pembaca maya disebabkan ia tersiar di blog yang tidak popular.

Mungkin perlu ada satu mekanisme yang boleh menyiarkan artikel bermutu dan satu himpunan daripada pelbagai penulis dan diekses secara mudah seperti portal.

Selain itu, penulis blog juga kena mengakui ia adalah kerja sukarela. Hanya mereka yang mempunyai sumber kewangan dan masa, mampu bergelumang dalam dunia penulisan maya kerana ia melibatkan kelapangan serta perbelanjaan bulanan.

Kemungkinan faktor tersebut maka ramai penulis blog terdiri daripada mereka yang bersara dan anak muda yang bersemangat.

Blog Anak Sungai Derhaka (darisungaiderhaka.blogspot.com) berterima kasih dan tahniah kepada pihak yang telah menganjurkan permukiman bloger pro Pakatan Rakyat (PR) yang telah berlangsung di sebuah hotel pada 2 dan 3 April lalu, yang menyaksikan blogsfera penyokong PR kelihatan agak suram.

Kordinasi

Menurut beliau satu inisiatif yang dilakukan untuk mengkordinasikan gerakan bloger Pro Pakatan dalam menghadapi cyber trooper Umno yang jumlahnya telah meningkat dengan amat ketara selepas pilihan raya umum ke 12 yang lalu.

“Ini juga untuk melakukan serangan bagi menurunkan BN dari tampuk kuasa secara tersusun. Bebaskan Malaysia, selamatkan rakyat dan selamatkan Islam, runtuhkan jahililiyah!” katanya.

Sementara Penangan Blog (bengkelblog.com) melaporkan beberapa tahun lalu, sesiapa yang mengaku mempunyai blog dan bergelar penulis blog atau bloger, adalah sesuatu yang asing dan janggal.

“Namun kini tidak lagi! Anda boleh lihat berbagai blog yang wujud di negara ini. Kemunculan blog mula diperkatakan sejak kebelakangan ini khususnya selepas pilihan raya umum ke-12 pada tahun 2008. Namun tumpuan blog pada masa itu lebih kepada blog politik,” ujarnya.

Bagaimanapun, kata beliau keadaan mula berubah, ramai yang bercakap mengenai blog dan menjadi bloger. Berbagai tema blog telah ada di internet dan ramai juga yang menjadi penulis blog sama ada secara sambilan atau sepenuh masa.

Sebelum itu portal melaporkan pemukiman blogger yang menyokong PR itu, berjaya membentuk satu gerakan melalui wadah blog Revolusi 2013 yang menjurus ke arah membangkitkan kesedaran minda dalam kalangan rakyat menjelang pilihan raya umum ke 13nanti.

Presiden gerakan penulis maya, Datuk Tarmizi Mohd Jam berkata, dengan wujudnya platform ini bakal membolehkan semua blogger PR bertindak dengan lebih pantas, bersepadu dan berkesan.

Katanya, gerakan Revolusi 2013 ini diharapkan menjadi landasan berkesan dalam usaha PR meyakinkan rakyat untuk mereka kembali melihat keperluan terdesak memberikan sokongan kepada PR dan menolak BN.

Revolusi 2013 yang menggunakan tagline Bebaskan Malaysia, Selamatkan Rakyat akan menjalankan peranan mereka menerusi media maya yang dibenarkan oleh undang-undang negara dengan melihat usaha ini perlu dan amat perlu disegerakan.

Abu Hassan yang juga Pengasas Zentrum Future Study Malaysia memberitahu, kajian yang dibuat mendapati blog menjadi pilihan dan rujukan paling utama generasi muda dalam lingkungan usia 21 hingga 41 tahun berbanding media konvensional yang lain.

Dalam kajian dari Februari hingga Mac 2008 itu mendapati blog berada ditangga teratas dengan 39.2 peratus berbanding akhbar 14.8 peratus, televisyen 23.5 peratus dan media baru lain 26.2 peratus.

Lebih menarik lagi, diantara kesemua parti politik yang ada ditanah air, PAS adalah antara parti politik yang paling banyak dibicarakan melaui blog.

Malaysia menggunakan kemudahan internet hampir 92 peratus dalam pelbagai aspek kehidupan berbanding United Kingdom 66 peratus dan Amerika Syarikat 60 peratus.

Ketika ditanya kenapa berlaku perbezaan ketara penggunaan internet Malaysia dengan UK dan USA, Abu Hassan memberitahu ianya bergantung kepada amalan demokrasi negara masing-masing.

Jika sesebuah negara itu mendokong kebebasan bersuara, maka penggunaan internet mungkin tidak begitu tinggi berbanding negara yang mengokong kebebasan bersuara.

Ini kerana, rakyat yang terkongkong akan mencari dan menggunakan alternatif lain untuk menyalur dan mendapat maklumat khususnya saluran internet.

"Kerana lebuh raya yang ada di Malaysia ini satu arah sahaja, dan banyak tol, maka orang akan mencari jalan yang lain, yang ada ini primitif, konservetif dan kuno," kiasnya ketika menjawab soalan mengapa penggunaan internet di Malaysia tinggi.

Tegasnya lagi, mereka yang pandai memanfaatkan media baru ini akan pasti dapat membina pengaruh besar dan Pas katanya harus bijak memanfaatkan kemudahan ini untuk survival parti itu.

Kekayaan wanita aristokrat Sarawak

Blog Addin (addin77.blogspot.com) membongkar kekayaan segelintir wanita Sarawak menceburi perniagaan perladangan menurut rekod di pejabat pendaftar tanah.

Menurut blog itu, mereka ini juga mempunyai jaringan perniagaan dan hubungan kekeluargaan yang baik dengan orang penting di Sarawak. Sebagai contoh Datin Theresa Toyat, yang bersaudara dengan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Katanya, Theresa juga adalah isteri bekas Setiausaha Negeri Sarawak, dan juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi sebuah syarikat yang menguruskan Score (konsep pembangunan hasil cetusan idea Taib), Wilson Baya Dandot.

“Sebagai seorang yang menjawat jawatan yang amat penting, Wilson Baya seharusnya mengelakkan diri dari terjebak dalam konflik kepentingan, maka sebab itulah sebuah ladang yang terletak jauh di kawasan Baram itu didaftarkan di bawah nama isterinya, Theresa?

“Theresa juga pemilik berjaya kepada syarikat Saredah Sdn Bhd (di mana syarikat tersebut digunakan sebagai alamat syarikat Amazing Green). Saredah adalah syarikat pencucian dan telah berjaya meraih banyak kontrak yang mengendalikan kerja pencucian dan pembersihan bangunan dan pejabat kerajaan!

“Maka, kita tidak sukar memahami kenapa ramai orang di Sarawak mengadu tidak berpeluang menjalankan perniagaan atau mendapat kontrak sedemikian tanpa mempunyai talian persaudaraan dengan keluarga Taib Mahmud atau kroni-kroni mereka! Ambil wanita-wanita perladangan terkemuka di Sarawak, Raziah dan Eliah Geneid sebagai contoh – adik dan anak saudara Taib sendiri,” ujarnya.

Anak perempuan Tun Rahman

Menurut Addin, seorang lagi kaum hawa yang diketengahkan adalah pemilik ladang, Fatimah Abdul Rahman. Menurut rekod pendaftar tanah, Fatimah telah mendapat kawasan perladangan yang amat luas di Sri Aman.

“Fatimah merupakan anak perempuan kepada mantan Ketua Menteri dan juga mantan Tuan Yang Terutama Tun Rahman Ya’kub, yang telah berbaik-baik semula dengan anak buahnya, Ketua Menteri sekarang, dan diketahui cuba mengangkat seorang lagi anak perempuannya, Norah, untuk menjadi pengganti Ketua Menteri nanti!

“Norah adalah Ahli Parlimen di Kerajaan Persekutuan untuk kawasan pilihanraya Tanjing Manis, yang mana Taib merancang untuk menjadikan tempat itu sebagai sebuah kawasan perindustrian, yang memfokuskan pandangan jauhnya untuk mencipta sebuah ‘hab daging halal’ antarabangsa.

“Ini telah dirancang setelah Ketua Menteri membuka suatu kawasan seluas 77,000 hektar baki hutan bakau, yang dikatakannya sebagai ‘kawasan pertanian yang paling murni’!” ujarnya

Addin berkata dengan mencampur-adukkan politik dan perniagaan, Taib telah mendapati berbaloi melantik Norah sebagai Pengerusi Eksekutif dalam Industri Tanjung Manis, sebuah inisiatif biayaan kerajaan negeri yang mengendalikan hab halal itu.

“Maka, apakah kaitannya antara perniagaan persendirian, inisiatif-inisiatif negeri dan kepentingan keluarga Taib di Sarawak? Jika diperhatikan, tiada, kerana jika kita ingin mendail nombor telefon yang berdaftar pada nama Fatimah berdasarkan rekod di pejabat pendaftar tanah, kita akan disambungkan ke pejabat syarikat Tanjung Manis Halal Hub Sdn Bhd, yang dikendalikan oleh Norah!” katanya.


Iban nekad sokong Pakatan

Blog Kerabu Bersuara (kerabubersuara.blogspot.com) melapporkan masyarakat Iban yang sebelum ini dianggap penyokong kuat BN kini berpaling tadah dan bertekad untuk memberi undi kepada PR bagi memberi pengajaran kepada kerajaan negeri sedia ada yang bersekongkol merampas tanah adat mereka.

Menurut blog itu ini dapat dilihat menerusi sokongan yang melimpah ruah ketika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan kunjungan di sebuah kampung yang menempatkan Rumah Panjang Bama Nanga Risau Awik di Dewan Undangan Negeri (Dun) Seratok, sedangkan ceramah Pakatan sebelum ini langsung tidak mendapat sambutan.

“Kalau dulu, nak dapat 20 orang hadir ke program Keadilan, memang susah. Tapi sekarang, dengan notis singkat pun kita berjaya kumpulkan seluruh penduduk kampung.

“Ini melambangkan harapan rakyat Sarawak untuk berubah,” kata Ketua Umum PKR itu dalam satu program ramah mesra bersama mereka yang majoritinya berketurunan Iban.

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP