Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, April 17, 2012

Islam rosak kerana Umno

PRESIDEN PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mendakwa akhlak tidak baik pemerintahan Umno memberi gambaran buruk kepada nama baik Islam dengan nama `Islam rasuah’, `Islam menipu’, `Islam pecah amanah’ dan lain-lain yang mencemar Islam.

“Pas kata haram judi dan arak, DAP kata halal, itu (DAP) hak dia. Umno kata halal jika diberi lesen dan haram jika tidak ada lesen. Ini yang membezakan perjuangan Pas dengan Umno,” ujarnya ketika merasmikan Ijtimak Jentera Pilihan Raya `Satu fikrah gerakan jamaah’ di dewan orang ramai, Kampung Labohan Dagang, di Sepang, malam tadi.

Menurut beliau, kepimpinan Umno gagal dalam membentuk sahsiah pemimpin mereka dengan ilmu dan sahsiah Islam.

“Parti pemerintah itu hanya membentuk pemimpin yang mengamalkan rasuah dan mengutamakan kepentingan peribadi maka menjadi tanggungjawab kita membetulkan negara dan Umno,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu, berkata kepimpinan Umno gagal dalam membentuk sahsiah pemimpin mereka dengan ilmu dan sahsiah Islam.

“Pendekatan semangat kebangsaan Melayu Umno sejak lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan menjadikan Islam sekadar satu religion atau agama, bukan ‘ad-din’ yang dinyatakan oleh al-Quran.

“Umno tidak mampu menempatkan dan melahirkan pemimpin yang perkasa dengan ilmu dan sahsiah Islam, Umno hanya berjaya melahirkan ramai pemimpin yang dicantas kerana kesalahan rasuah sesama sendiri, atau salah laku sesama sendiri dalam perebutan pertandingan kepimpinan negara apabila berjaya memimpin parti,” tegasnya.

Katanya, kepimpinan itu menurut pemimpin Umno dianggap sebagai peluang untuk diri, keluarga dan rakan keliling, bukannya menunaikan amanah memperkasakan bangsa bersama Islam yang sempurna, dengan iman, ilmu dan akhlak dan mampu menguasai berbagai kaum dengan menegakkan Islam adil untuk semua sebagaiman terkandung dalam ajaran Islam.

“Islam mengikut pendekatan Umno, dilaksanakan secara terpilih bagi kepentingan duniawinya, bukannya memperhambakan diri menunaikan amanah daripada Allah yang menjadikan Islam adalah rahmat kepada seluruh alam,” katanya.

Abdul Hadi tiba bersama isterinya Toh Puan Zainab Awang pada pukul 10 malam disambut Yang Dipertua Pas Sepang, Kapten bersara Jaafar Jaafar Pangat, Pengarah Jentera Pilihan Raya Pas Selangor, Ir Mohd Haslin Hassan, Timbalannya, Mohsinon Tahir dan Ketua Dewan Muslimat Pas Sepang, Tohirah.

Beliau menjelaskan, walaupun agama Islam diterima oleh penganut agama lain menjadi agama persekutuan, kerana penganutnya adalah bangsa Melayu yang diakui oleh semua kaum kerana majoritinya.

“Mereka masih lagi tidak berjaya memuliakan bangsa Melayu sendiri dengan iman, ilmu dan akhlak, selagi pemimpin Umno diberi amanah memimpin negara di atas nama Melayu dengan pendekatan Islam terpilih mengikut para pemimpin Umno.

“Walaupun orang Melayu diapikan semangat kebangsaannya yang bertopengkan Islam, sedangkan isi kandungan menipu umat, dengan media upahan dan media abdi kepadanya, akhirnya bangsa Melayu bukan sahaja tidak boleh bertahan dengan Umno, bahkan jatuh terhumban bersamanya,” ujarnya.

Jelasnya lagi, Pas berulang kali mengajak Umno bermuzakarah, bukan berdebat menentukan menang dan kalah, tetapi Umno sepanjang masa tidak bersedia.

“Debat bukannya kerana di musim pilihan raya dan ketika terdesak, bahkan diajak sejak berpuluh tahun. Kalau Umno ada Biro Agama, ilmuan agama, para mufti yang berada di bawah kerajaan yang mampu merujuk sumber Islam dengan bahasa al-Quran.

“Pas juga ada Majlis Syura Ulama dan ahli Dewan Ulama yang terlalu ramai. Tibalah masanya, para pejuang Melayu menyedari dan memahami bahawa slogan yang benar bukannya, pertahankan Melayu dahulu, Islam di belakangnya,” tambahnya.

Menurut Hadi, Melayu tidak selamat dengan diri mereka sendiri tanpa petunjuk Islam, sebagaimana Arab bangsa Rasulullah porak-peranda sekarang, kerana kebangsaan Arabnya mengatasi Islam.

“Islam yang terkandung dalam al-Quran dan hadis itu tidak menolak kasih kepada bangsa masing-masing, tetapi melarang zalim terhadap bangsa selain bangsa kita.

“Islam tidak menghapuskan hak sesuatu bangsa secara tabii, seperti bahasa ibunda masing-masing dan budaya kaum masing-masing, tetapi melarang menjadi jahil dan keruntuhan akhlak dan Islam melarang paksaan dalam anutan agama dan Islam mewajibkan adil terhadap semua.

“Islam membetulkan cara hidup seluruhnya. Di sinilah perbezaan Pas dan Umno,” tegas Hadi.

Sehubungan itu, beliau menggesa, individu dan kumpulan yang mengisytiharkan menjadi pejuang Melayu, seperti yang diwar-warkan di media massa, mereka harus benar ikhlas kerana Allah menjadikan Islam itu petunjuk yang diyakini kebenaran menyelamatkan manusia termasuk bangsa Melayu.

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP