Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, April 10, 2012

Bapa Altantuya dakwa anaknya kenal Najib

DATUK Seri Mohd Najib Abdul Razak ketika menjawat Timbalan Perdana Menteri pada Julai 2008 menafikan pernah berjumpa dan mengenali Altantuya Shaariibuu sebaliknya Shaariibuu Setev mendakwa anaknya itu pernah bergambar dengan Najib dan Abdul Razak Baginda.

Ketika itu Najib juga berkata tuduhan mengaitkan dirinya dengan Altantuya adalah pembohongan yang berniat jahat, dengan motif untuk mengalih pandangan rakyat.

Menurut Shaariibuu anaknya, Altantuya pernah menunjukkan gambarnya bersama Najib Razak dan Abdul Razak Baginda, sebelum Altantuya datang ke Malaysia.

Katanya, Altantuya menuding kepada Najib dalam gambar, sambil berkata dirinya mahu datang ke Malaysia untuk bertemu dengan Najib, agar memutuskan sesuatu.

Malah Shaariibuu yakin bahawa beliau mampu mengaitkan kes pembunuhan anak perempuannya dengan pembelian kapal selam dan sudi menampilkan diri sebagai saksi dalam perbicaraan di mahkamah Perancis.

Katanya, beliau sudi tampil sebagai saksi di mahkamah itu untuk membantu mengaitkan kedua kes ini dan bakal mendedahkan lebih banyak butiran.

"Seandainya mahkamah Perancis meminta saya menjadi saksi, saya sudi untuk hadir dan memberi keterangan saya di situ. Apa yang penting, saya mendedahkan apa yang saya ketahui pada masa yang tepat," katanya dalam satu sidang media bersama Pengarah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cynthia Gabriel, di Petaling Jaya, tadi.

Ketika ditanya wartawan, Shaariibuu berkata Altantuya sekadar memberitahu bahawa dirinya datang ke Malaysia untuk bertemu dengan `orang penting’, tanpa menyebut bahawa beliau datang berjumpa dengan Abdul Razak Baginda.

Menurut cerita Shaariibuu, beliau pernah bertanyakan Altantuya yang mahu ke Malaysia. Ketika itu Altantuya menunjukkan satu gambar bersama Najib dan Abdul Razak Baginda, malah mendakwa gambar itu diambil di Perancis.

"Saya beritahunya, tidak memadai untuk berbuat begitu, tetapi beliau (Altantuya) tetap untuk meneruskan (keputusannya)," kata Shaariibuu.

Shaariibuu menambah, "Seandainya saya tahu dia (Altantuya) akan ditimpa malapetaka, saya akan menyimpan gambar tersebut. Ramai saksi yang pernah nampak gambar tersebut."

Beliau mengakui dirinya tidak tahu pada ketika itu, bahawa orang yang dituding dalam gambar itu adalah Najib, iaitu Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, dan menyandang jawatan Perdana Menteri kemudiannya.

Pada 29 Jun 2007, sepupu Altantuya Shaariibuu, iaitu Burma Oyunchimeg ketika tampil di mahkamah, mendakwa dirinya pernah tengok gambar yang diambil bersama Altantuya dengan Najib dan Abdul Razak Baginda. Bagaimanapun, gambar tersebut bukan bahan bukti dalam mahkamah, dan belum terdedah sehingga kini.

Altantuya Shaariibuu mati dibunuh pada usia 28 tahun. Wanita Mongolia ini tiba di Malaysia pada Oktober 2006, dilaporkan hilang antara 18 hingga 19 Oktober.

Pada 6 November, cebisan tulangnya yang diletupkan itu dijumpai di hutan Shah Alam. Kes ini dibicarakan mulai April 2007. Altantuya ialah seorang penterjemah, dikatakan memainkan peranan dalam pembelian kapal selam oleh Malaysia daripada Perancis.

0 comments:

Post a Comment

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP