PELAKON dan penulis lirik terkenal, Mohd Hakim Lokman atau lebih dikenali dengan nama Bob Lokman sudah bersedia menghadapi apa jua cabaran serta halangan yang bakal dilaluinya ekoran keputusan menyertai Pas pada Sabtu lalu.
Beliau berkata demikian apabila mendapat berita kemungkinan akan digam oleh Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) yang tidak senang dengan pengisytiharan beliau menyertai Pas.
Cicit kepada ulama terkenal di Kelantan, Tok Kenali (1870 - 1933) tampil dengan mengubah gaya hidup serta prinsip yang meyakinkan apabila berkata beliau redha dan bersedia menerima ketentuan Allah swt.
Menurut beliau, kematian rakan seni secara mengejut membuatkan dirinya semakin mahu mendekati dan mentaati Allah.
“Allah yang memberikan rezeki dan Allah yang menarik semua itu, saya tidak takut atau bimbang begitu juga dengan isteri saya kerana dia redha dengan apa yang saya mahukan dalam hidup ini,” ujarnya apabila menceritakan ada teman yang mahu mengadukan hal beliau kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim apabila sah menyertai Pas.
Pada 19 Februari lalu, penulis lirik lagu ‘Isabella’ ini telah mengejutkan banyak pihak kerana telah menyerahkan borang menjadi ahli Pas kepada Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Razak, Menteri Besar Kedah pada Majlis Himpunan 30 ribu pemuda Pas di Kompleks Pas Kota Sarang Semut, Alor Star, Kedah.
Beliau yang ditemui di sebuah restoran di ibu kota petang itu agak janggal dengan imej baru, berjanggut, berpakaian jubah, berserban dan bertongkat tidak seperti di zaman rokersnya berbaju t-shirt atau berkemeja dengan seluar jean sendat.
Tambah beliau, beliau tidak kisah kalau benar digam kerana sebelum ini beliau memang hidup senang dan dilimpahi kekayaan tetapi kekayaan itu membuatkan dirinya lupa dan lalai.
“Sebelum ini saya kaya, pendapatan 30 ribu hingga 50 ribu sebulan hasil perniagaan tetapi kekayaan itu tidak memberi ketenangan dan ketenteraman kepada saya. Kemudian saya jatuh, kejatuhan pertama menjadikan saya lupa dunia,” akuinya jujur.
Kemudian beliau kembali dilimpahi kekayaan yang berganda namun kekayaan itu membuatkan isterinya lari dan dirinya mengalami masalah tulang belakang hingga lumpuh selama lapan bulan.
“Kekayaan waktu itu tidak menjamin kebahagiaan kepada saya hingga isteri lari dan saya mengalami lumpuh. Kejatuhan kali kedua ini membuatkan semangat saya bertambah kuat dan saya lebih mendekati Allah walaupun ketika itu pendapatan saya tidak ada langsung.
“Saya tahu semua itu adalah atas kehendak Allah, ada masanya dia beri dan ada masanya dia tarik, saya redha atas apa yang berlaku. Bagaimana pun saya tetap akan berusaha mencari rezeki yang bersesuaian dengan diri saya,” katanya.
Bob anak kelahiran Kelantan Darul Naim ini juga mengakui hatinya telah lama untuk menyelami Islam secara syumul, namun kehidupan sebagai anak seni membuatkan dirinya agak terbatas ke arah tersebut.
“Saya tidak tahu bila akan mati tetapi dapat rasai umur tidak panjang kerana sudah dua kali sepatutnya mati akibat serangan jantung tetapi Allah masih memberi peluang, panjangkan umurkan saya.
“Saya mahu mati dalam Islam, tidak mahu mati dalam keadaan leka mencari wang”, ujarnya yang banyak membaca buku agama, mendengar ceramah dan mendekati golongan agama dan seterusnya menyertai jemaah kerana melalui cara itu beliau akan memperolehi apa yang dikehendaki selama ini.
Selepas apa yang berlaku ini, beliau mungkin akan meninggalkan dunia yang selama ini menjadi kegemarannya termasuklah dunia lakonan kerana baginya perjuangannya kini hanyalah untuk Allah.
Sunday, February 27, 2011
Cicit Tok Kenali, Bob Lokman dapat hidayah
Friday, February 25, 2011
Satu target silap daripada tiga pilihan raya kecil
SAYA dapat maklumat awal antara Ustaz Kamal Ashaari dengan Hasanuddin. Saya beranikan diri target Kamal kerana daripada Hasanuddin. Tuan Ibrahim mungkin tidak ada dalam kepala kerana imej.
Tetapi Pas mengambil keputusan untuk meneruskan calon yang sudah bertanding dalam pilahan raya umum lalu.
Di Merlimau mungkin berlaku kesilapan ejaan kerana Uhaizad. Sedangkan nama sebenarnya Yuhaizad tetapi ia merujuk kepada orang yang sama.
Tajuk Siasah Calon muda wakil Pas di Kerdau dan Merlimau
KUALA LUMPUR: Kamal Ashaari antara nama pemuda yang menjadi calon Pas di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau sementara Uhaizad Abdullah, Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Melaka turut disebut sebagai calon Pas di Dun Merlimau.
Dun Kerdau dan Merlimau dijangka akan menyaksikan pilihan raya kecil pada 6 Mac depan manakala penamaan calon pada 26 Februari.
Bagaimanapun sehingga berita ini dilaporkan ia bukan keputusan rasmi kerana terdapat dua nama tersenarai berpotensi menjadi calon Pas di Dun Kerdau iaitu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Hasanuddin Salim bekas calon Pas pada pilihan raya umum 2008.
Begitu juga di Dun Merlimau dikatakan Naib Ketua Muslimat Pas Melaka, Kintan Man sedangkan kuat melobi untuk menjadi calon. Ketua Pemuda Pas Melaka, Kamarudin Sidek juga antara yang disebut.
Sementara itu Barisan Nasional (BN) telah mengumumkan Ketua Bahagian Umno Kuala Krau, Syed Ibrahim Ahmad sebagai calonnya.
Setiausaha Perhubungan Pas Pahang, Roslan Zainal berkata banyak isu yang boleh dibela oleh calon Pas dalam pilihan kecil itu termasuk soal tanah dan air.
Menurut beliau, tanah yang diduduki penduduk kampung diwarisi secara turun temurun di Kerdau sampai sekarang masih tidak bergeran.
“Setiap kali pilihan raya, pemimpin Umno berjanji mahu memberi geran kepada mereka tetapi sampai sekarang penduduk boleh dikatogerikan setinggan atau pendudukan haram,” ujarnya.
Sementara di Merlimau heboh memperkatakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam takut menyahut cabaran debatnya sendiri.
Sebelum itu, beliau mencabar Pas berdebat tetapi setelah cabaran itu disahut Perhubungan Pas Melaka, sebaliknya beliau pula diam membisu.
Thursday, February 24, 2011
Ustaz Mansor meninggal... Innalillah....
MEMANG kalau ikut hati rasa nak balik. Lagipun mak yang call bagi tahu Ayah Dee, Ustaz Mansor meninggal tapi rasa penat tak hilang kerana kerja 48 jam berturut-turut dari Isnin dan Selasa.
Hari Rabu dapat rehat tapi rasa macam tak cukup. Jadi hanya mampu ucap takziah je la. Ikut hati memang nak pulang ingatkan banyak sejarah lalu bersama keluarga Ayah Dee Mansor.
Masa budak dulu boleh dikatakan selepas solat isyak selalu makan rumah Ayah Dee. Masa remaja ada pulak main story.
Lepas remaja Ayah Dee dan isterinya pulak tengok aku semacam. Nak buat macam mana aku selalu dengar kaset ceramah Ustaz Ghazali Hazbullah dan Tuan Guru Abdul Hadi serta yang lain itu sampingan.
Rupanya yang sampingan itu politik maka terikut aku dengan politik Pas. Perjuangan Islam.
Tapi aku mulanya minat Islam. mahu dalami Islam. Terikut dengan Tabligh. Tidak la keluar 40 hari. Cuma tiga hari. Tapi tiga hari tu kesan dia bawa aku letak sembayang lima waktu.
Pasal tu bila kawan-kawan kutuk Tabligh, aku lawan. Ala kadar la... bukan lawan prinsip. Cuma pendekatan dia je yang boleh orang lekat sembahyang.
Mungkin itu tidak kisah sangat tapi bila aku ikut sama perjuang dalam Pas habis satu kampung kata aku ikut ajaran sesat.
Ayah Dee tak adalah marah sangat kat aku tapi aku tak tahu dia kata apa kat mak aku. Tapi sejak itu aku dah ada prinsip. Orang tidak boleh permainkan aku.
Susah ke senang ke kita tetap tenang dengan apa yang kita pegang.
Namun sejak isu Anwar 1997. Aku pernah jumpa Ayah Dee bila pulang ke kampung. Dia bertanya khabar tentang Anwar.
Ayah Dee nampak macam ikut minat bila aku bercerita. Tapi aku rasa dia lebih ikut perkembangan Anwar bukan daripada cerita aku.
Kerana aku tahu anaknya Naimah yang giat dalam Abim mungkin dapat bawa perubahan pada Ayah Dee.
Lagipun tidak mustahil. Ayah Dee sebenarnya pun, dahulunya orang Pas. Cuma dia beralih angin dapat guru tahmir. Tapi lepas pencen mungkin boleh beralih angin balik.
Kepada Mohamad, Kasmani dan anak bungsu Ayah Dee, naimah atau apa dah lupa pulak nama dia.
Naimah sebuah nama story kat Siasah tapi nama anak Ayah Dee kalu tak silap lebih kurang je dengan Naimah... atau Nor Hashimah atau Hashimah. Ah! lupa...
Takziah diucap kepada keluarga Ayah Dee. Harap banyak bersabar dibawa bersolat.
Wednesday, February 23, 2011
Pelajar Malaysia di Mesir terlalu manja atau MKN ketakutan
PELAJAR Malaysia yang melanjutkan pengajian di Mesir terutama mereka yang mengambil pengajian Islam dilaporkan turut balik ke tanah air bila Mesir bergolak dengan penunjuk perasaan mahu menjatuhkan Presidennya, Hosni Mubarak.
Kenapa mereka ini yang belajar di Mesir, ikut manja? Tidak sanggup menghadapi mehnaj dalam perjuangan? Apakah mereka ke Mesir semata-mata mencari ilmu secara berkitab tanpa mahu mempelajari ilmu perjuangan dalam masyarakat.
Sepatutnya kesempatan itu diambil oleh penuntut untuk mempelajari dan mendalami ilmu perjuangan secara amali kerana ia sesuatu yang sukar didapati dalam universiti.
Pelajar sepatutnya menjadi orang yang berani seperti pemuda pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sanggup keluar negeri membantu rakyat negara lain dalam kesempitan.
Mereka juga perlu ambil contoh rakyat Amerika Syarikat, Rachel Corey yang mati digilis bulldozer ketika mempertahankan tanah orang Palestin apabila diceroboh Israel.
Penuntut juga perlu menanam semangat inginkan cabaran. Sanggup menghadapi risiko dan jangan jadi penakut.
Apa lagi sebagai orang Islam, takut mati kerana sayangkan dunia tidak boleh ada dalam jiwa pejuang. Sepatutnya hati mereka cintakan syahid kerana kematian seumpama itu adalah cita-cita perjuangan.
Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Syaikh Yusuf al-Qaradhawi menfatwakan mereka yang terbunuh kerana turun berdemontrasi mendesak Mubarak berundur, sebagai mati syahid.
Beliau berdalilkan kepada hadis Nabi saw yang bermaksud; “Sebaik-baik orang-orang yang mati syahid ialah Hamzah r.a dan seorang lelaki yang pergi kepada pemimpin yang zalim, lantas menyuruhnya melakukan makruf dan menegahnya dari kemungkaran, lantas dia dibunuh.”
Kalangan pengajian doktor boleh menjadi seumpama Dr Jamilah Mahmood dalam NGO The Mercy, yang sanggup menggadai nyawa membantu rakyat Iraq mangsa serangan Amerika Syarikat dan rakyat Gaza, Palestin di serang Israel.
Sebaliknya kenapa mereka lari daripada medan jihad? Dakwa beberapa orang ustaz bahawa pelajar perlu balik kerana mereka sukar mendapatkan makanan dan wang belanja, jelas menunjukkan kemanjaan pelajar Malaysia.
Kerajaan Malaysia terpaksa menghabiskan wang berjuta ringgit dalam Operasi Piramid bagi menyelamatkan pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir untuk dibawa pulang ke tanah air.
Ops Piramid tersebut adalah atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dengan melibatkan beberapa agensi serta `peralatan' milik kerajaan, NGO dan sektor sawsta yang memakan belanja hingga berjuta-juta ringgit. Bagaimanapun difahamkan ia ditanggung oleh kerajaan.
Dikatakan keputusan serta tindakan bijak Najib dan kerja keras oleh semua pihak bagi menjayakan misi tersebut wajar mendapat penghargaan daripada semua pihak, terutama mereka yang terlibat serta keluarga masing-masing.
Namun disebalik itu, Najib sebenarnya tidak mahu pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir terpengaruh dengan kebangkitan warga Mesir yang boleh dibawa pulang ke Malaysia dan memberi impak kepada pemerintahannya.
Atas nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN), Najib sanggup mengarahkan kerajaan mengeluarkan perbelanjaan berjuta ringgit untuk membawa pulang pelajar terbabit.
Sehingga dilaporkan hanya tinggal dua ratus lebih sahaja yang masih kekal di Mesir kerana mahu menghadapi peperiksaan.
Dalam masa yang sama kerajaan Malaysia menjadikan isu kononnya pelajar ketakutan dan hendak dirogol sebagai alasan munasabah membawa pelajar pulang.
Sedangkan pada hakikatnya kerajaan tidak mahu pelajar terdedah dengan doktrin pembaharuan yang dibawa rakyat Mesir boleh meresap kepada pelajar Malaysia.
Sebagai pelajar ia mudah menerima perubahan maka sudah tentu menjadi ancaman kepada kerajaan Malaysia.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled, secara tiba-tiba menyatakan akan mengkaji pengajian kedoktoran di Mesir sedangkan ia telah diterima oleh kerajaan Malaysia sejak lama lagi.
Mengapa tiba-tiba mahu mengkaji pengajian kedoktoran di Mesir? Kenapa pengajian di Mesir dihebohkan cuti sehingga setahun?
Bagaimanapun perkembangan terbaru di Mesir dikatakan kerajaan mengambil sikap mengalah.
“Kita sebenarnya tiada tempat untuk pelajar dari Mesir menyambung pengajian dalam negara terutama yang mengikuti pengajian perubatan. Lagipun untuk kursus perubatan, kosnya jauh lebih mahal di negara ini berbanding di Mesir.
“Kalau ada tempat dan kosnya murah, sudah tentu mereka belajar di sini dan tidak perlu ke Mesir menyambung pengajian. Kita juga ada memikirkan beberapa alternatif untuk membantu pelajar perubatan di Mesir jika keadaan tidak pulih dengan memindahkan mereka ke beberapa negara yang turut menawarkan pengajian sama seperti Indonesia, Slovakia, Croatia, India dan Russia.
“Kita juga memikirkan kemungkinan pelajar yang terkandas untuk sambung di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Ada juga cadangan supaya tahun pertama dan kedua tanpa kursus klinikal boleh dilakukan di negara ini, namun timbul pula isu kekurangan pensyarah.
“Nisbah pelajar dan pensyarah dalam pengajian perubatan adalah 1:4. Buat masa ini, kita tak cukup tenaga pensyarah. Lagipun jurusan perubatan subjek kritikal yang mana kualiti sangat penting kerana membabitkan kesihatan dan nyawa. Mengenai nasib pelajar persendirian, mereka juga sama dengan pelajar tajaan.
“Soalnya di sini adalah mengenai pilihan, jika mereka memilih Mesir sebagai tempat menimba ilmu, kita tidak sekat terutama dalam pengajian agama. Kita terbuka untuk pelajar agama belajar di dalam atau luar Negara,” ujar Mohamed Khaled.
Qaradawi fatwa bunuh Muammar Gaddafi
KETUA Persatuan Ulama Muslimin Sedunia, Sheikh Yusuf al-Qaradawi menyeru tentera Libya supaya menembak pemimpinnya, Muammar Gaddafi sebagai jalan menyelamatkan mereka daripada menghala senjata kepada rakyat yang menuntut pembebasan daripada penindasan pemimpin itu.
"Sesiapa dalam tentera Libya mampu menembak peluru ke arah Gaddafi maka mereka harus melakukannya," kata Qaradawi kepada saluran berita al-Jazeera yang berpusat di Qatar.
Sehubungan itu petugas di Kedutaan Libya di Malaysia membuat protes sekitar satu jam meneriak: “Game Over, Gaddafi!”
Sementara di India, Duta Kedutaan Libya, Ali al-Essawi, meletak jawatan sebagai tanda bantahan terhadap kerajaannya menggunakan kekerasan keatas para demontrasi di negeri itu.
Bagaimanapun petugas pejabat Kedutaan Libya di Malaysia, Usamah Saleh berkata duta besar dan sebahagian staf tetap kembali bekerja pada Rabu dan tiada diplomat mengundur diri dari jabatan tersebut.
Yusuf al-Qaradawi, dipandang sebagai pemimpin spiritual kumpulan pembangkang Ikhwanul Muslimin di Mesir, membuat seruan tersebut pada hari Isnin lalu melalui sebuah fatwa menentang pemimpin Libya yang telah berkuasa selama lebih daripada 40 tahun.
Libya ketika ini turut menerima tekanan daripada penunjuk perasaan pro-demokrasi yang bangkit oleh arus inspirasi revolusi rakyat di Mesir dan Tunisia, yang berjaya menggulingkan presiden kedua-dua negara tersebut.
"Membunuh Gaddafi akan menyingkirkan rakyat Libya dari dirinya," kata Qaradawi yang juga mengetuai Persatuan Antarabangsa untuk Cendekiawan Muslim. Beliau kembali ke Mesir selepas 30 tahun tidak boleh memasuki negeri itu.
Qaradawi mengatakan agar tentera Libya untuk tidak mematuhi perintah menyerang rakyat mereka sendiri, dan mendesak duta besar Libya di seluruh dunia untuk memisahkan diri dari rejim Gaddafi.
Gaddafi telah mengerahkan jet pejuang untuk menembak para penunjuk perasaan bagi menghalang kebangkitan yang bakal menjadi sebuah revolusi dalam waktu terdekat.
Pasukan yang setia kepada Gaddafi juga dikatakan telah menggunakan peluru tajam terhadap para demonstran di tengah laporan yang menunjukkan adanya tentera upahan asing bersenjata di ibukota, Tripoli.
Para demonstrasi Libya, bagaimanapun, telah dilaporkan berjaya merebut beberapa kota.
Persekutuan Antarabangsa untuk Hak Asasi Manusia berkata sebanyak 400 orang setakat ini telah terbunuh selama demontrasi itu diadakan.
Ali al-Essawi menyeru masyarakat antarabangsa untuk menghentikan tindakan keras pemerintah Libya terhadap para demontrasi.
"Mereka sewenangnnya membunuh orang tidak berdosa, hal itu tidak dapat diterima. Kita harus menghentikan pertumpahan darah di Libya kerana ia merupakan tanggungjawab masyarakat antarabangsa,” katanya.
Kedutaan Besar Libya di Malaysia mengutuk tindakan `barbar’ membunuh warga awam yang berdemontrasi menentang kerajaannya.
Dalam sebuah kenyataan di keluarkan di sini, berkata kedutaan mengatakan bahawa mereka akan berdiri bersama dengan warga negara Libya.
"Kami sangat mengutuk pembunuhan, tindakan barbar criminal terhadap warga awam kami yang tak berdosa."
Thursday, February 17, 2011
Ijtihad: Kesesuaian atau keras kepala ulama
RAMAI orang Melayu menyertai Komunis kerana terpengaruh dengan tawaran kawin dengan orang Cina. Ini pendapat Ibnu Hasyim ketika persidangan meja empat segi di restoran orang Kelantan, dekat Keramat malam tadi.
Tetamu khas diundang, editor Harakah, Tarmizi Mohd Jam dengan trade mark Sanggah Tok Sago. Tarmizi! baik daftar awal-awal. Nanti kalau orang lain buat trade mark sanggah tu... terlepas la kamu.
Sambung cerita… Orang Cina putih, orang Melayu gelap. Jadi tidak munasah kalau Melayu berminat dengan tawaran itu.
Memang gelap pun (respon kepada Ahmad Jaafar yang minat komen). Gelap punya pasal sampai saya pun baru perasan kawan sorang lagi tak masuk.
Tapi kalau Ahmad Jaafar nak tahu parti baru, upload tu sampingan bila dah penat cakap politik UG.
Ya! Mungkin juga agenda Komunis untuk menarik orang Melayu menyertai Komunis maka mesti ada tawaran.
"Eh! Orang Pas sekarang suka DAP... ada tawaran amoi ke?" bisik hati.
Setakat ini tak ada lagi dengar orang Pas kawin dengan orang DAP. Tapi ada disebut Pas kawin DAP, tidur lain-lain.
Walaupun begitu Hasyim tidak menafikan kalangan mereka ini juga merupakan perjuang kental.
Menyertai Komunis atas prinsip perjuangan demi untuk membebaskan negara daripada cengkaman penjajah.
Masa zaman penjajah, orang Komunis inilah yang berjuang menentang orang Inggeris mahu membebaskan tanah air.
Malah bila tanah air ditawan Jepun, orang Komunis ini juga yang menentang Jepun.
British yang sudah tak terlawan dengan Jepun ambil kesempatan guna Komunis untuk halau Jepun.
Habis orang Melayu dok buat apa?
Ini sejarah perspektif Komunis. Cerita pejuang Islam tentang British itu ada, tapi kita korek kemudian.
Kali ini nak cerita komunis yang orang Melayu terhasut dengan British kononnya komunis jahat.
Dia gambarkan macam filem baik dan jahat. Hero dan kruk.
Sedangkan dalam Islam bukan soal baik atau jahat tetapi pendapat sama ada betul atau salah.
Kalau kita gambarkan komunis itu jahat maka keseluruhannya orang itu dibayangkan komunis orang jahat.
Orang Melayu dibasuh mindanya sampai begitu sekali sehingga serongnya masyarakat
kepada komunis sehingga orang Melayu takut nak jumpa komunis.
Anak-anak dilarang bergaul komunis. Jumpa komunis tangkap… ISA.
Bila ada orang Melayu jumpa komunis. “Eh! Baik je dia layan kita..”
Itulah nak gambarkan betapa teruknya otak orang Melayu dibasuh begitu sekali terhadap komunis.
Menyetuh tentang ketuhanan. Orang komunis pun ada mazhab dia.
Memang ada orang Melayu bermazhab komunis sehingga tidak percaya wujud tuhan.
Lebih kurang je dengan orang percaya ada tuhan tapi engkar.
Ada orang Melayu masuk komunis tetapi kekal sebagai orang Islam. Hanya ideologinya komunis.
Macam juga orang Melayu masuk sekular. Ideologinya sekular tapi tetap amal Islam.
Mungkin banyak lagi cerita sejarah itu kita boleh rungkai. Yang penting jangan jadi terkatup.
Macam bincang UG… ambil pendapat sebelah pihak. Maka pandangan kita sebelah pihak dan menyalahkan orang itu jahat.
Sedangkan ia adalah pendapat. Kita bincang. Boleh diterima dan ditolak.
Maka jangan kita pakai perangai tidak boleh terima pandangan orang lain. Seolah macam juga kita dok kata komunis tu jahat.
Orang Islam bila disampaikan berita kena mengkaji. Jangan terima bulat-bulat kerana mungkin saiwar. Bukan betul pun.
Kerana apa? Kerana nak naik dalam politik. Jatuhkan musuh politik.
Biasalah bergaul dengan orang politik. Penuh dengan agenda tersembunyi.
Maka perbincangan memasakkan kita bukan hanya satu pegangan pendapat.
Kalau orang itu terlalu taksud dengan mazhab Syafie, hanya satu aliran pendapat maka dia rugi. Maka payahlah dia nak bayar zakat pakai duit.
Tetapi bila fikiran terbuka maka perubahan dan dinamik yang berlaku boleh diterima berdasarkan hujah ulama masa itu.
Jadi tak gaduhlah kalau orang perempuan dalam Pas sekejap boleh bertanding sekejap tak leh bertanding.
Di Kedah qariah boleh masuk bertanding mengaji. Tapi di Kelantan, qariah tak leh masuk tanding ngaji.
Kan bertentangan tu. Tetapi ia menunjukkan kepada kita bahawa itulah pendapat ulama. Bila tidak ada nas yang kukuh maka ijtihad mereka boleh berubah mengikut kesesuaian dan keras kepada ulama.
Sunday, February 13, 2011
Terkejut bila anak aku usia 4 tahun mahu ikut jalang
“Abu Ya nak ke mana” tanya anak aku usia empat tahun bila lihat aku bersiap mahu ke kedai.
“Nak gi jalan-jalan.” Jawab aku.
“Nak ikut nak ikut jalang,” kata anak aku. Aku terkejut tertanya dalam hati apakah dia faham apa yang diucapkan atau kombinasi pertuturan keluarga aku antara Terengganu dan Kuala Lumpur turut mempengaruhi anak aku.
Slang atau loghat Terengganu sebut jalan ada bunyi `g’ belakang macam bacaan berdengun idgham.
Aku balas balik; “Sapa nak ikut jalang. Abu ya nak gi jalan-jalan,”
“Nak ikut jalang,” balas anak aku lagi. Aku jadi nak ketawa.
Ketawa aku bertambah besar bila anak aku merayu nak ikut jalang.
Ini semua mengingatkan cerita-cerita sahabat tentang kisah mereka bersama dengan orang Terengganu semasa menunaikan ibadah haji.
Tanya mereka kepada orang Terengganu yang tinggal satu dom; “Kenapa lambat balik?”
“Tak jumpa cari jalang,” balas kawan itu.
Balas balik orang yang bertanya yang kelihatan terkejut; “Kita datang sini nak buat ibadah ke nak cari jalang?”
Sahabat satu dom yang memahami loghat Terengganu mendengar perbualan itu gelak besar.
Kedua mereka terpinga sehingga diceritakan perkara sebenar menyebabkan kedua mereka ikut ketawa,
Kah Kah Kah mahu tergelak habis satu rumah.
Apa Allah mahu bagi tahu kita
DISEBALIK kematian wakil rakyat berpanjangan dan pilihan raya kecil berterusan sudah tentu ada sesuatu pada kejadian tersebut.
Tetapi akal kita tidak mampu meneroka apa yang mahu diberitahu Allah kepada kita. Terasa makin cetek ilmu kita. Terasa kecilnya diri kita bila kita hanya mampu melihat kematian sama Adun atau ahli Parlimen berturutan.
Najib pada awal penggal selepas pilihan raya umum ke 12, mengumumkan tidak mahu menyertai plihan raya akibat kekalahan berterusan BN kepada Pakatan Rakyat (PR).
Bagaimanapun bila BN menang berterusan sejak akhir ini, seolah BN berdoa semoga ada wakil rakyat mati dan pilihan raya kecil memberikan kemenangan kepada BN untuk menunjukkan BN sudah berubah dan kembali menarik sokongan rakyat.
Ghairah PR terhadap pilihan raya kecil cukup bersemangat seolah mahu pilihan raya kecil diadakan setiap bulan kerana sentiasa menang dalam pilihan raya kecil.
Apa lagi Pas turut mencatat pencapaian hebat bila menang di kerusi Parlimen yang dimenangi Umno pada pilihan raya umum 2008. Parlimen Kuala Terengganu itu akhirnya dirampas Pas dalam pilihan raya kecil.
Pas juga dapat mengekal kemenangan pada pilihan raya kecil yang telah dimenangi pada pilihan raya umum kecuali Dun Galas.
Begitu juga PKR yang pada awal penggal cukup kemas tetapi mula lemah sejak gagal mempertahan kerusi Parlimen Hulu Selangor.
Namun DAP dapat mengekalkan prestasi walaupun penghujung penutup pilihan raya kecil bagi penggal ini apabila dapat menawan Parlimen Sibu.
Pening juga untuk kita analisis bila ia tidak menguntungkan Pas. Selepas Galas, Tenang, akan datang Merlimau dan mungkin Kerdas, ia memberitahu betapa lemahnya Pas. Mengharap sokongan Cina tetapi tidak mampu menarik pengundi kaum mereka.
Dalam masa orang bukan Islam tidak hirau isu negara Islam kalangan pemimpin Pas masih lagi mahu berselindung tentang negara Islam. Akhirnya undi orang Islam lari.
Umno sudah masuk kampung memberitahu tahu pengundi bahawa; “Siapa kata Pas mahu negara Islam. Lihat kenyataan Dr Zul Parlimen Kuala Selangor kata; “Pas tidak perjuangkan negara Islam.”
Nabi saw memang tidak meletakkan rasulullah pada perjanjian Hudaibiyah tetapi tetap diakui sebagai Rasulullah pada orang Islam.
Tolenrasi itu pun jangan sampai undi orang Islam lari tinggalkan Pas kerana tidak percaya Pas mahu tegakkan negara Islam. Apa lagi orang Johor banyak terdidik secara Islam terutama sekolah agamanya.
Walaupun pemahanan Islam itu masih jauh pada orang Johor tetapi mereka terdidik dengan sekolah agama itu rasa mereka lebih Islam daripada Pas.
….Wa Allahu aklam.
Friday, February 11, 2011
Nik Aziz pun lama perintah tetapi dia tidak tamak
“Nik Aziz pun lama memerintah kenapa tidak ada orang suruh dia letak jawatan. Kenapa Taib Mahmud sahaja disuruh letak jawatan. Nik Aziz pun apa kurangnya lama memerintah,” kata kawan saya.
(Gambar rumah Nik Aziz) Mungkin sekali imbas mudah sahaja kita terikut dengan hujah tersebut. Faktor lama sehingga Taib Mahmud dijadikan sasaran penulis blog supaya meletak jawatan.
Siasah terbaru diruangan blog menyiarkan cerita Anwar Ibrahim memberi tekanan kepada Taib Mahmud supaya meletak jawatan. Dakwaan Anwar ialah kebangkitan rakyat Mesir mendedak Presidennya, Hosmi Mubarak meletak jawatan kerana sudah 30 tahun memerintah.
Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak lebih 36 tahun. Ada persamaan dengan Mubarak.
Mungkin juga Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan boleh dikaitkan persamaan tersebut.
Desakan rakyat Mesir sebenarnya bukan sahaja lama memerintah tetapi kegagalan Mubarak mengwujudkan peluang pekerjaan. Mubarak juga gagal menarik pelaburan kerana Mesir dibawah pemerintahan beliau penuh dengan rasuah.
Mesir dikenali dengan negeri budaya ilmu tetapi ketamadunan serta daya fikir tidak kearah itu. Mesir penuh dengan diktator, rasuah, penyelewengan, pemerasan golongan miskin. Ia seolah mengambarkan negeri tidak bertamadun.
Taib Mahmud mungkin tidak mewarisi sepenuhnya sifat Mubarak tetapi usia pemerintahan beliau ada persamaan. Selain itu Taib Mahmud juga mewarisi kekayaan Mubarak. Kebiasaan sifat pemimpin diktator atau pemimpin yang mengambil kesempatan dibawah pemerintahan akan mengaut dan mengumpul harta kekayaan.
Ia sudah hilang amanah. Kekayaan Taib Mahmud boleh diekses melalui internet. Harta luar negeri dan dalam negeri.
Kerana sifat ketamakan harta dan pangkat bagi melindungi harta itu menyebabkan amanah keatas kepala pemimpin seperti itu hilang.
Inilah yang membezakan Taib Mahmud dengan Nik Aziz. Ya! Memang Nik Aziz juga lama memerintah tetapi ia tidak tersentuh dengan tamak harta, rasuah dan penyelewengan.
Nik Aziz masih tinggal di rumah kayunya di Pulau Melaka. Mungkn kalau dilelang mungkin harganya mahal kerana nilai beliau seorang menteri besar. Tetapi kalau dijual dengan harga pasaran… agaknya tak sampai ratus ribu.
Beliau tidak ada rasuah. Kalau ada, sudah lama Umno dan SPRM menjatuhkan beliau. Taib Mahmud selamat walaupun rasuah kerana Umno tetap membela pemimpin BN yang rasuah.
Jadi ia bukan isu lama memerintah tetapi lama perintah terpalit dengan ketamakan mengumpul harta peribadi sehingga peluang rakyat terabai. Ini yang patut ditukar.
Tidak semestinya lama itu tidak bagus. Kalau dia perintah lama tetapi kuasanya yang ada pada dia tidak digunakan sewenangnya untuk peribadi malah cara pemerintahan tidak ada rasuah, orang ini lebih baik memerintah.
Ini kerana belum tentu orang yang ganti dia lebih baik daripada dia. Nak cari orang seumpama itu bukan senang kerana orang baik yang fikir tentang rakyat dan dosa sangat jarang ditemui.
Maka lebih baik orang baik seperti ini memerintah lebih lama sampai dia akhir hayat.